24 NOVEMBER – Kementerian Kesihatan telah pun mengarahkan semua sos tiram jenama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) ditarik balik kerana ia berbahaya kepada kesihatan dan melanggar Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985.
Ini membuktikan kesahihan penemuan oleh Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang menyatakan sos tiram itu adalah satu daripada tujuh barangan yang melanggar akta berkenaan.
Siasatan Pua mendapati label sos tiram keluaran syarikat lain menggunakan ekstrak tiram sedangkan produk di KR1M dibuat daripada perisa tiram yang sangat kurang protein dalam bahannya.
Adakah pihak-pihak yang mengecam dan mengutuk Pua serta para pemimpin Pakatan Rakyat lain yang telah mendedahkan kepincangan barangan dan iklan KR1M yang telah mengelirukan pengguna?
Sudah tentu tidak. Apabila disemak melalui internet, rata-rata hasil cariannya akan menjurus ke arah laman-laman web pecacai siber UMNO yang tetap menegakkan benang yang basah. Malah bahasa kurang ajar mereka semakin menjadi-jadi.
Bahan makanan berbahaya dijadikan isu perkauman
Mereka cuba mempertahankan pengendali monopoli KR1M, iaitu Mydin, dengan kata-kata “DAPig ni dengki dengan orang Melayu!”, “Orang Cina tak habis habis nak dengki dengan perniagaan Melayu!”, “Nurul Izzah bodoh, ikut telunjuk Tony Puaka”. Ini sekadar beberapa komen dan analisis para bijak pandai di kalangan mereka yang tegar menyokong UMNO yang tidak lucah untuk siaran rencana ini.
Golongan ini percaya bulat-bulat apa yang disampaikan pemimpin parti mereka yang bagaikan maksum, tanpa mempedulikan kesan produk dan bahan makanan yang berbahaya kepada kesihatan, yang mungkin menjejaskan diri dan keluarga mereka sendiri. Kecualilah, jika mereka sendiri membeli-belah di Carrefour, Giant atau Tesco.
Politik mereka yang sudah jauh terbenam dalam kemelut perkauman menjadikan golongan itu seperti buta kepada isu yang sebenar, ia merupakan masalah ketulusan, ketelusan, keselamatan dan kesihatan rakyat.
Amat memalukan, malah mendukacitakan apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri cuba menutup kelemahan kerajaan dengan menjadikannya isu perkauman.
Dalam tulisannya di Facebook dan Twitter, beliau mendakwa: “tony phua DAP ni masih tk habis2 menfitnah KRIM… jelas agenda DAP yg ingin menguburkan KRIM yg rata2 supplier nya terdiri dari IKS bumiputra. Rata2 pembeli nya terdiri dari gol berpendapatan rendah bumiputra. Mydin pun bumiputra. malangnya ada bumiputra spt nurul izah & zulkifli ‘menyalak’ bagi pihak DAP”
Trend menolak kebenaran
Ini bagaikan sudah menjadi trend pemimpin UMNO masa kini. Kalau ada sebarang skandal di mana rakyat dipermainkan dan wang rakyat disalahgunakan, mereka cepat-cepat menuding jari, “ini serangan terhadap UMNO!”.
Kalau berlaku rasuah, ia dipertahankan dengan kata-kata keramat, “jangan dengki dengan dengan orang Melayu!”. Ia sungguh menjijikkan bahawa segala isu di negara kita, mereka mahu sempitkan ke arah isu kaum dan agama.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyaraka Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang terpalit dengan skandal lembu NFC, walau pun tidak membawanya sebagai isu perkauman, tetap cuba bersembunyi di sebalik kenyataan, “ia adalah serangan terhadap Wanita UMNO”. Tidak pasti pula sama ada ratusan juta wang rakyat yang diberi kepada keluarganya untuk menternak lembu tetapi digunakan untuk membeli kondominium mewah itu ada kena-mengena dengan perjuangan Wanita UMNO.
Dalam isu KR1M yang kadangkala dilihat sebagai Kedai rakyat 1Maydin, Pua dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah telah membongkar kepincangan program yang disubsidi oleh wang rakyat itu, termasuk status produk yang tidak menepati perihal dagangan dan kesihatan serta harga sesetengah barang di kedai tersebut lebih tinggi berbanding harga pasaran.
Ini bertentangan dengan tujuan KR1M yang disubsidi demi menjamin harga yang paling murah dipasaran. Bukankah rakyat berhak diberi penjelasan tanpa perlu melibatkan soal kaum? Atau mungkin kerajaan UMNO dan Barisan Nasional merasakan tidak apa untuk menipu golongan berpendapatan rendah, khususnya orang Melayu.
Kuman dan penyakit tidak mengenal parti
Tetapi yang lagi penting ialah pendedahan pemimpin-pemimpin PR tehadap isu ini ialah kajian yang menunjukkan bahawa ada barangan di KR1M yang tidak selamat dan membahayakan kesihatan pengguna.
Walau pun Kementerian Kesihatan telah menolak kajian bahawa ada produk susu di kedai KR1M mengandung 8 kali ganda vitamin A lebih banyak daripada paras yang selamat serta terdapat juga susu yang mengandungi bakteria E.Coli, ramai pengguna mula sangsi dengan tindakan dan amalan kerajaan BN yang semakin sukar dipercayai.
Ini bukannya propaganda ciptaan UMNO-BN di mana semua benda adalah rekaan semata-mata. Ia sudah terbukti bahawa barangan bahaya dan tiada standard di KR1M boleh menjejaskan kesihatan pengguna.
Ini bukan soal politik, kaum atau agama. Kuman tidak mengenal mangsa. Penyakit tidak peduli siapa ahli UMNO, MCA, MIC, DAP, PAS atau PKR. Mungkin kerana kebanyakan keluarga menteri dan pemimpin UMNO tidak membeli barangan di KR1M, maka itu tidak menjadi masalah besar kepada mereka dan sanak-saudara serta keluarga mereka.
Jelas sekali, demi permainan politik, rakyat miskin menjadi mangsa. Selama kita berada di bawah telunjuk UMNO-BN, hanya polemik perkauman sempit sahaja akan terus dimainkan tanpa memikirkan nasib dan kesihatan rakyat. – Roketkini.com