Thursday, January 19, 2012

Saman dari Shahrizat: Kami cukup bersedia dan ‘teruja’- Rafizi

KUALA LUMPUR 19 Jan: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata beliau bersedia untuk berdepan saman dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Ia ekoran Shahrizat hari ini mengemukakan saman terhadap beliau dan Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurutnya, peluang di mahkamah kelak akan digunakan sepenuhnya untuk membongkar lebih banyak penyelewengan yang bakal diikuti lebih ramai rakyat Malaysia.

“Peluang ini memang telah ditunggu-tunggu agar kami boleh menggunakan kuasa mahkamah untuk mencari kebenaran sejauh manakah berlakunya penyelewengan di dalam NFC, selain dari yang didedahkan setakat ini,”

“Oleh itu, kami cukup bersedia dan teruja untuk berdepan dengan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan peguam-peguam Umno di mahkamah kelak,” tegasnya.

Menurut Rafizi, beliau yakin semua pendedahan yang dibuat setakat ini adalah benar belaka kerana ia berdasarkan maklumat kewangan dan operasi yang dibocorkan dari dalam NFC sendiri.

“Sebelum memulakan siri pendedahan skandal, pasukan kami telah pun berbincang dengan peguam-peguam KEADILAN mengenai kemungkinan dikenakan tindakan saman,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, risiko saman itu adalah berat dipihaknya yang berdepan kemungkinan muflis sekiranya kalah, sedangkan Shahrizat hanya perlu membayar kos guaman dan pentadbiran jika saman itu ditolak.

“Dengan kekayaan keluarga beliau, sudah tentu beliau mampu membayarnya,”

“(Namun) jika pimpinan Umno seperti Shahrizat beranggapan mereka boleh menutup mulut dan akal rakyat seperti saya dengan mengemukakan saman seperti ini, mereka tersilap besar,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...