Isu penyertaan beberapa orang Melayu ke dalam DAP baru-baru ini sedang hangat dibicarakan, terutama sekali di kalangan pemimpin UMNO yang seolah-olah teruja dengan perkara yang sebenarnya tidaklah luar biasa sangat.
Yang terbaru, Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin sendiri telah menyindir bahawa DAP tidak pernah membela kepentingan orang Melayu, manakala Ketua Puteri UMNO pula menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menganaktirikan masyarakat Melayu di sana.
Tuduhan pemimpin-pemimpin UMNO ini jelas palsu kerana sejarah jelas membuktikan bahawa DAP adalah parti yang membela sesiapa sahaja yang ditindas, tanpa mengira warna kulit atau agama.
Lebih sedekad lalu Setiausaha Agung DAP yang kini merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak teragak-agak untuk membela seorang anak gadis Melayu yang tercabul, sehingga beliau sendiri terpaksa meringkuk dalam penjara akibat dimangsakan oleh undang-undang yang berat sebelah.
Ahli Parlimen Kota Melaka waktu itu, Lim Guan Eng dipenjara kerana mempertahankan gadis Melayu yang DIROGOL oleh malaon MELAYU Umno-APCO, Rahim Tamby Chik! (SINI) |
Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO, terutamanya yang bertaraf Puteri atau Putera, malah Pemuda, tidak tahu atau tidak mengingati akan insiden ini. Atau pun pemimpin-pemimpin UMNO sengaja tidak mahu ingat kerana yang terlibat itu adalah seorang pemimpin daripada kalangan parti mereka.
Di Pulau Pinang pula, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng giat melaksanakan program-program kebajikan sosial yang disasarkan kepada pelbagai golongan seperti warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya, keluarga-keluarga muda serta pelajar-pelajar sekolah dan universiti adalah contoh-contoh dasar yang membantu golongan masyarakat yang paling memerlukannya.
Dasar yang dilaksanakan ini jelas tidak bersifat perkauman. Namun, rata-rata golongan yang paling banyak menerima bantuan adalah masyarakat Melayu yang selama ini dipinggirkan dan disia-siakan oleh Kerajaan UMNO yang kononnya memperjuangkan kepentingan mereka.
Bagi hal-ehwal agama Islam pula, Kerajaan UMNO-BN hanya memperuntukkan RM12 juta setahun. Di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, jumlah ini telah dinaikkan setiap tahun sehingga peruntukan untuk tahun 2012 sudah pun mencecah RM64 juta, iaitu lima kali ganda lebih.
Peruntukan besar ini merangkumi usaha-usaha untuk, antara lainnya, pembesaran tapak perkuburan Islam, pembangunan Sekolah Agama Rakyat, elaun-elaun untuk pegawai masjid, guru KAFA, para Huffaz serta progam-program sambutan kebesaran Islam (yang mengikut fitnah UMNO tidak disambut sama sekali di Pulau Pinang). Tidakkah ini membantu masyarakat Islam yang rata-ratanya orang Melayu?
Tambahan pula, sistem tender terbuka yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang telah menampakkan kejayaan kontraktor-kontraktor Melayu yang selama empat tahun sejak perlangsungannya telah memenangi lebih 70% daripada semua tender Kerajaan Negeri. Lebih penting sekali, mereka telah berjaya secara sah dan tanpa bantuan atau pengaruh politik.
Dalam erti kata lain, bukan sahaja usahawan-usahawan Melayu telah berjaya dalam suasana persaingan, mereka juga dimartabatkan kerana berjaya atas daya usaha mereka sendiri.
Sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO merasa bahawa warga Melayu di Pulau Pinang berada dalam keadaan tertindas dan tidak maju, bukankah itu salah kerajaan BN yang telah memerintah selama lebih 50 tahun di Pulau Pinang?
UMNO sudah tidak layak untuk membela nasib orang Melayu. Ini kerana mereka hanya tahu satu jalan penyelesaian, iaitu dalam bentuk skim cepat kaya yakni Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan syarikat-syarikat penjana tenaga elektrik bebas (IPP), konsesi-konsesi berat sebelah dengan syarikat-syarikat pengendali tol lebuhraya, skandal RM250 juta National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarga seorang menteri dan juga penyenaraian Felda Global Ventures yang bakal menguntungkan segelintir kroni elit.
Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah menganaktirikan sesiapa pun. Yang melemahkan orang Melayu adalah pucuk pimpinan UMNO yang mahu mengekalkan kuasa melalui kebergantungan orang Melayu kepada UMNO. Dalam ertikata lain, kuasa UMNO adalah kemudaratan orang Melayu.
Kerana itu, tidak hairanlah kenapa orang Melayu yang makin celik dan sedar akan kemungkaran UMNO dan sekutu-sekutunya tidak akan takut lagi untuk memilih DAP yang mengutamakan rakyat Malaysia dan menawarkan siasah baru yang berteraskan demokrasi, hak asasi dan peluang saksama.
*Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari selaku Setiausaha Politikkepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.