Wednesday, January 18, 2012

Pengganti Hassan Ali mengangkat sumpah


Dr Ahmad Yunus Hairi Dilantik Exco Selangor


SHAH ALAM, 18 JANUARI : ADUN Sijangkang Dr Yunus Hairi dilantik menjadi exco Selangor. Beliau mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Kayangan di sini.

Yunus Hairi menggantikan Dr Hasan Ali yang dipecat oleh PAS pada 8 Januari lepas dan digugurkan menjadi exco Selangor pada 13 Januari lalu.

(Gambar Di atas : Sinar Harian)

Ahmad Yunus HairiYunus Hairi kini memegang Exco Hal Ehwal Islam,Adat-Adat Melayu ,Infrastruktur Dan Kemudahan Awam.

Sebelum ini, beliau merupakan pembantu Exco Pelajaran,Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Perlantikan Dr Ahmad Yunus dicadangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Awang kepada Menteri Besar Selangor.
Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, Dr Ahmad Yunus mengalahkan calon BN yang juga bekas Exco Selangor, Datuk Abdul Fatah Iskandar dengan majoriti 2,081 undi.

Rombakan Kecil Exco Selangor

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan pelantikan Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai exco baru melibatkan rombakan kecil di mana beliau akan dipertanggungjawabkan terhadap portfolio Adat Resam Melayu dan Belia dan Sukan.

Manakala portfolio Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam yang dipegang Dr Hasan Ali sebelum ini diambil alih oleh Abdul Khalid sendiri.

Menurut Abdul Khalid, rombakan yang berkuatkuasa hari ini dilakukan bagi memastikan kesinambungan kerja dan perkhidmatan kepada rakyat dapat berjalan lancar, tambahan Dr Ahmad Yunus sebelum ini adalah pembantu exco untuk portfolio belia dan sukan.

“Saya percaya Dr Ahmad Yunus boleh menjalankan tugas dengan amanah, telus dan bertanggungjawab. Latar belakang beliau sebagai doktor perubatan telah banyak memberi khidmat kepada rakyat dan boleh membantu beliau menjalankan tugas sebagai ahli MMKN secara profesional,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut mengumumkan bahawa Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman dilantik sebagai Pengerusi Skim Mikro Kredit Miskin Luar Bandar (SKIMSEL), manakala Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (PADAT) yang sebelumnya disandang oleh Hasan Ali.

“Seperti yang saya katakan, kita gunakan peluang ini untuk cepat selesaikan pentadbiran. Saya berpendapat, Dr Ahmad Yunus mempunyai pengalaman dalam portfolio belia dan sukan, maka beliau sesuai untuk mengambil alih portfolio itu daripada saya bagi menjalankan tugas.

Oleh kerana Datuk SUK adalah ahli MAIS dan JAIS, maka mudah bagi saya selaku pengerusi untuk melihat perkembangan hal ehwal Islam di Selangor,” katanya.

Dr Ahmad Yunus Hairi merupakan lulusan Ijazah Perubatan dan Pembedahan Universiti Malaya pada tahun 1991 dan mempunyai empat orang anak.

Beliau turut memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Selangor dan Ahli Jawatankuasa Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...