Wednesday, February 22, 2012

Rayuan pertuduhan qazaf


Semakan keputusan Mahkamah Syariah difailkan


Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Syariah yang memutuskan kebenaran tidak diperlukan untuk mendengar permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi mengetepikan rayuan ketua pembangkang dalam kes qazaf.

Anwar, 63, memfailkan permohonan terhadap Jamil Khir dan dua lagi di pejabat pentaftar mahkamah itu pagi ini.

Mahkamah Rayuan Syariah pada 30 Januari lalu memberi kebenaran kepada Jamil Khir untuk mendengar permohonan mengetepikan rayuan Anwar berhubung kes itu.

Hakim Datuk Zohdi Toha bersama dua lagi hakim rayuan - Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Harun - memutuskan demikian selepas meneliti surat cara permohonan dan mendengar hujah kedua-dua pihak.

Tindakan itu mengundang perasaan tidak puas hati peguam Anwar yang keluar mahkamah kerana berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih dahulu dan memutuskannya sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri.

Sementara itu, Bernama melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan semakan berhubung satu keputusan yang dibuat dalam prosiding rayuan pertuduhan qazaf yang difailkannya terhadap bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, yang juga Ketua Pembangkang, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftar di Mahkamah Syariah di sini melalui peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzaman dengan menamakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai responden.

Permohonan itu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan Syariah, yang menolak permohonan Kamar Ainiah supaya Shamsuddin, Che Mat dan Jamil Khir memfailkan permohonan kebenaran bagi mengetepikan notis rayuan yang difailkan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak pertuduhan qazaf yang difailkan Anwar terhadap Mohd Saiful.

Pada 30 Jan lalu, panel tiga anggota mahkamah itu iaitu Hakim Datuk Zohdi Toha, Datuk Aidi Moktar dan Datuk Hussin Hasan menolak permohonan Kamar Ainiah dengan alasan mereka (Shamsuddin, Che Mat dan Jamil Khir) tidak perlu membuat permohonan berkenaan kerana ia tidak relevan dan sia-sia.

Dalam permohonannya itu, Anwar mendakwa Mahkamah Rayuan Syariah telah melakukan kesilapan undang-undang yang ketara dan penghakiman yang diberikan adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang dan aturcara mahkamah.

Beliau turut mendakwa mahkamah telah membuat keputusan tanpa membicarakan permohonan responden-responden untuk mendapat kebenaran terlebih dahulu dan turut mendakwa telah berlaku berat sebelah yang mengakibatkan ketidakadilan kepadanya.

Selain itu, Anwar turut memohon supaya mahkamah menggantung sementara semua prosiding rayuan kes itu bagi mendapatkan perintah selanjutnya daripada mahkamah.

Sementara itu, Anwar turut memfailkan afidavit jawapan berhubung permohonannya bagi menghalang seorang peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar daripada mewakili ketiga-tiga responden dalam rayuannya.

Dalam afidavit itu, Anwar berkata mahkamah perlu membuat keputusan terhadap isu-isu yang dikemukakan bahawa peguam syarie itu berkelakuan tidak profesional, tidak bersifat jujur serta wujud percanggahan atau konflik kepentingan memandangkan Zainul Rijal telah dilantik menjadi Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 25 Julai, tahun lepas.

Beliau berkata sebagai anggota Majlis dan pada masa yang sama merupakan peguam syarie yang aktif menjalankan amalan guamannya di hadapan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Zainul Rijal berada di dalam kedudukan yang boleh mempengaruhi Menteri atau ahli majlis dalam pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah kerana pelantikan hakim turut ditentukan olehnya.

Pada 23 April 2010, Anwar, 65, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak permohonannya supaya memerintahkan pihak pendakwaan yang diwakili Shamsuddin, meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Mohd Saiful, 27.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya. Mkini

http://wartablogger.blogspot.com/2012/02/rayuan-pertuduhan-qazaf.html

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...