Sunday, January 29, 2012

Suruhanjaya diraja akan ditubuh siasat kondo lembu, jika....

GOPENG, 29 JAN: Jika diberi mandate oleh rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru, Pakatan Rakyat akan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal RM336.64 juta “kondo lembu” NFC.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar telah bersetuju dengan cadangan beliau untuk mewujudkan RCI sebaik Pakatan mengambil alih Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Jelasnya, ini adalah kehendak rakyat sendiri yang kian marah dengan lakonan beberapa kerat pemimpin UMNO yang berdolak dalik cuba menutup skandal itu.

“Rata-rata rakyat Malaysia menyoal siapa (Timbalan Perdana Menteri Tan Sri) Muhyiddin untuk menolak kewujudan RCI sedangkan beliau sendiri, ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, yang meluluskan projek kontroversi itu pada tahun 2006.

“Malah ini menunjukkan konflik kepentingan Muhyiddin sendiri dan beliau sepatutnya tidak layak menyampuk atau berkata-kata langsung berhubung skandal ini,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Pakatan Rakyat Perak di sini semalam.

Tambahnya, Muhyiddin tidak patut memperbodohkan diri semata-mata kerana beliau tidak tahu desakan rakyat Malaysia yang mahukan ketelusan, kecekapan, dan profesionalisme dalam pengurusan negara.

Jelas Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, adalah sangat menyedihkan apabila skandal kondo lembu RM336.64 juta itu telah diperlakukan seperti drama harian tanpa sebarang penyelesaian sehingga hari ini.

Katanya, ini juga mendedahkan lagi kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang lembik melaksanakan dasar gah beliau yang kononnya mahu memerangi rasuah melalui keterbukaan dan ketelusan yang dicanangkannya di bawah program 1Malaysia.

“Jika Najib tak mampu menyelesaikan skandal RM336.64 juta ini, siapa yang akan percaya bahawa beliau ada kekuatan politik melawan korupsi yang telah merugikan negara bertrilion ringgit sejak tahun 2000 hingga 2009?” katanya.

Justeru, Kit Siang berkata, rakyat Malaysia tidak kira pegangan agama, politik mahu pun kaum yang cintakan negara perlu bersuara dan bersatu dalam PRU13 akan datang agar RCI ditubuhkan bagi menyiasat penyelewengan kondo lembu itu. – Roketkini.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...