Hiasan |
Ada pula parti pembangkang tidak ada modal lain selain mencari salah isteri dan keluarga saya. Mereka amat cemburu kerana keluarga saya lebih berjaya berbanding dengan keluarga Lelaki X. Soal sama ada benar atau tidak tohmahan mereka, itu tidak penting. Percayalah, apa yang isteri saya lakukan adalah demi kebaikan rakyat semata-mata.
CERPEN/SATIRA
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Ayahanda saya seorang pemimpin besar negara. Beliau adalah idola saya sejak kecil hinggalah saya menjadi pemimpin parti. Saya juga adalah berketurunan raja-raja zaman kegemilangan bangsa dahulu.
Isteri saya juga dari kalangan orang-orang baik. Sekarang isteri saya adalah srikandi utama negara rupawan lagi jelita dan sangat berjiwa rakyat.
Hidup kami cukup bahagia. Dari perkahwinan ini kami dianugerahi dengan anak-anak yang comel, bijak, berseri. Cahaya mata kami sudah pun bertemu jodoh dengan seorang jejaka kacak keturunan orang mulia.
Saya bukanlah pemimpin sembarangan. Saya mendapat pendidikan yang tinggi, ini semua adalah berkat hasil usaha gigih saya sendiri tanpa mendapat hak keistimewaan orang Melayu. Saya mendapat ijazah kepujian dari dunia Barat yang terkenal dengan budaya ilmu mereka.
Saya mula bergiat dalam politik setelah ayahanda tercinta meninggal dunia. Dengan ketokohan ayahanda, saya menang tanpa bertanding menggantikan kerusi yang disandang Allahyarham. Saya merupakan pemimpin muda dalam pelbagai bidang, sama ada sebagai wakil rakyat, timbalan menteri, menteri besar dan menteri penuh.
Rekod-rekod saya ini masih kekal utuh tanpa dapat ditandingi oleh sesiapa pun setakat ini, dan saya yakin tidak akan ada ahli politik yang mampu memecahkan rekodnya selagi saya memimpin negara.
Kejayaan saya dan pembangkang yang cemburu
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Namun, pencapaian dan kejayaan saya ini begitu dicemburui oleh pihak pembangkang. Mereka menfitnah dan mengaitkan saya dengan kes yang bukan-bukan. Mereka menggunakan internet dan akhbar-akhbar parti mereka untuk memburukkan saya dan isteri saya.
Hingga kini tiada satu bukti pun yang dapat mengaitkan saya dengan kes-kes itu. Kalau tuan-tuan tidak percaya, bacalah suratkhabar arus perdana atau tonton berita TV. Mana ada cerita yang bukan-bukan. Semua yang disiar dalam akhbar dan TV serta radio adalah benar semuanya. Saya telah pastikan bahawa semua media arus perdana menyiarkan berita-berita yang benar sahaja mengenai diri saya dan keluarga saya.
Maka jelaslah sudah bahawa saya dianiaya oleh oleh parti pembangkang, terutamanya seorang pemimpin yang tak perlu saya sebut namanya, Cukuplah kita gelarkan dia Lelaki X. Mereka yang memfitnah saya, semuanya ini seperti lembu dicucuk hidung oleh Lelaki X.
Cuba tuan-tuan fikir, jika saya ini manusia yang jahat, mustahil pucuk pimpinan parti akan melantik saya untuk memimpin parti dan negara. Tentunya hanya parti saya sahaja yang dapat menjamin nasib dan masa depan rakyat di negara ini.
Sebagai pemimpin yang disayangi oleh rakyat jelata, saya telah melancarkan satu kempen untuk menyatupadukan rakyat tanpa membezakan warna kulit, keturunan, agama dan latar belakang. Apa yang saya gagaskan ini adalah hasil dari pemikiran saya yang tulen lagi asli.
Tetapi ada pula pihak yang iri hati dan mengaku saya meniru gagasan mereka, kononnya saya telah mencuri idea Malaysia Untuk Rakyat Malaysia yang mereka bawakan sejak hampir setengah abad yang lalu.
Percayalah tuan-tuan dan puan-puan sekelian, walau pun idea saya baru saja dilancarkan, pihak pembangkanglah yang meniru idea saya walau pun mereka telah lama memperjuangkannya. Sukar untuk difahami? Tak perlu faham. Terima sahaja. Di negara ini, rakyat tidak perlu banyak befikir. Biarlah saya dan kerajaan saya memikirkan masalah-masalah yang ada bagi pihak tuan-tuan dan puan-puan.
Kempen perpaduan ciptaan saya ini bertunjangkan kepada realiti sebenar dan sejarah negara. Kalau pun ada mana-mana fakta sejarah yang bertentangan dengan perjuangan parti saya, sudah tentu kami akan perbetulkannya. Yang penting, sejarah negara kita perlu selaras dengan perjuangan parti saya.
Mereka yang mengkritik saya hanyalah puak-puak pembangkang yang cemburu dengan kejayaan parti saya memperjuangkan kaum saya. Tentunya membantu kaum sendiri tidak ada salahnya, lagi pun ia sesuai dengan perjuangan ketuanan kaum saya di negara ini. Ini adalah kerana parti saya yang menguasai negara, jadi saya berhak untuk utamakan kaum saya sendiri.
Tidak ada salahnya saya melaksanakan slogan mahu mementingkan rakyat semua kaum tetapi dengan memberi keutamaan kepada kaum saya. Formula inilah yang menyatupadukan rakyat negara ini sejak kita merdeka.
Demokrasi dan kebebasan tak sesuai di negara kita
Tuan-tuan dan puan-puan,
Parti-parti pembangkang tidak ada kerja lain kecuali menuntut pilihan raya bebas, hak asasi manusia, hak demokrasi, kebebasan, keadilan dan macam-macam lagi. Mereka tidak sedar ini semua amalan Barat yang tidak sesuai diamalkan di negara kita yang lebih mulia dan tinggi darjat budaya ketimuran.
Soal saya selalu melawat ke Barat untuk mendapat restu pimpinan Barat, itu soal lain. Sama ada penyokong-penyokong saya membayar pelobi-pelobi di Barat untuk menaikkan imej saya, itu bukan perkara yang perlu menjadi perbincangan rakyat.
Seperti mana saya katakan tadi, rakyat tidak perlu membuang masa memikirkan semua ini. Saya tahu apa yang baik untuk rakyat. Yang penting, rakyat mesti terus menyokong kepimpinan saya.
Ada parti parti pembangkang mahu perkenalkan budaya telus, mereka mahu tender terbuka, peluang yang adil dan saksama. Memanglah itu keadilan yang sebenar tetapi dalam konteks negara kita, ia tidak boleh dilaksanakan. Jika kerajaan saya melaksanakannya, tentu parti saya menjadi tidak relevan lagi.
Ada pula parti pembangkang tidak ada modal lain selain mencari salah isteri dan keluarga saya. Mereka amat cemburu kerana keluarga saya lebih berjaya berbanding dengan keluarga Lelaki X. Soal sama ada benar atau tidak tohmahan mereka, itu tidak penting. Percayalah, apa yang isteri saya lakukan adalah demi kebaikan rakyat semata-mata.
Usaha saya tak perlu dipertikaikan
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Saya sudah cipta satu kedai rakyat, lengkap dengan logo ciptaan saya. Tetapi penyokong-penyokong Lelaki X sentiasa cuba mencari kesalahan saya dengan menuduh kedai-kedai tersebut tidak menyediakan barangan berkualiti tinggi, membahayakan kesihatan, lebih mahal, dan macam-macam tuduhan lagi.
Jika mahu barangan bermutu tinggi, pergilah ke pasaraya lain yang saya tidak bagi subsidi. Walau pun wang itu memang wang rakyat, saya sudah diberi mandat untuk menjadi pemimpin negara, jadi saya berhak untuk memberi subsidi kepada pihak-pihak yang menyokong kepimpinan saya.
Yang penting, tuan-tuan dan puan-puan mesti ubah gaya hidup. Barang yang murah tak semestinya bermutu tinggi. Kalau ada pun produk yang membahayakan kesihatan, hanya satu dua produk saja.
Kalau termakan produk yang rosak dan jatuh sakit, jangan bimbang; bukankah saya sudah perkenalkan klinik untuk rakyat? Walau pun tiada doktor, sekurang-kurangnya pembantu perubatan boleh beri ubat penahan sakit. Cukuplah tu, itu pun percuma juga, dengan biayaan wang rakyat yang saya berhak membelanjakannya untuk kepentingan rakyat.
Pujian dunia untuk saya
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,
Seperti mana saya katakan tadi, saya pemimpin yang dihormati dunia. Lihatlah pujian pemimpin agung benua Amerika Utara kepada saya baru-baru ini. Lihatlah bagaimana saya disambut oleh seorang ratu sebuah negara Barat yang mengenakan pakaian berwarna kuning tanda menyokong usaha saya menggalakkan reformasi dan demokrasi di Malaysia.
Tentunya baginda menyokong usaha saya mengenakan tindakan yang keras kepada rakyat Malaysia yang berbaju kuning menuntut pilihan raya bersih. Mereka yang mengadakan demonstrasi haram ini, walau pun saya sudah janjikan sebuah stadium untuk mereka, mereka benar-benar tidak faham dengan demokrasi negara kita ini.
Jika mereka faham demokrasi, tentu mereka akan menurut kata saya. Bukankah demokrasi itu bererti pilihan raya diadakan setiap empat atau lima tahun sekali dan parti serta pemimpin yang menang akan menentukan segala-galanya untuk rakyat? Itu pun mereka tidak faham.
Saya adalah demokrat yang sebenar. Saya sudah umumkan bahawa saya akan memansuhkan undang-undang zalim yang membenarkan penahanan tanpa bicara. Bila saya akan laksanakan pemansuhan itu, tak perlu ditanya. Saya sudah umumkan, jadi terima sahajalah.
Soal kerajaan saya masih menahan orang di bawah akta zalim itu, juga tak perlu dipersoalkan. Pihak berkuasa tentu lebih arif tentang masalah keselamatan dalam negara kita. Rakyat jangan sekali-kali mempersoalkan tindakan kerajaan saya.
Flip flop itu strategi politik saya
Tuan-tuan dan puan-puan,
Jika semua ini tidak dapat dinilai dengan sejujurnya, maka sia-sialah saya memimpin rakyat. Kembalilah melihat dan menilai semua kata-kata dan tindakan saya menerusi rekod saya sebagai pemimpin.
Apa yang saya kata, akan saya kota. Cuma kadang-kadang saja saya tak dapat kotakan. Maklumlah saya sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat perlu mendengar tuntutan dan desakan kumpulan-kumpulan pelampau dari dalam dan di pinggir parti saya.
Janji yang saya buat, pasti akan saya tunaikan walau pun kadang-kadang saya tak mampu berbuat demikian. Apa salahnya? Saya sebagai pemimpin besar berhak untuk tidak menunaikan janji saya. Itu kan politik namanya.
Soal sama ada saya tunggang terbalik atau flip flop, itu cuma fitnah pembangkang, terutamanya di kalangan para penyokong Lelaki X. Mereka semua tidak faham bahawa dalam politik kita tidak boleh jujur dan ikhlas kerana itu akan dilihat sebagai lemah dan takut.
Apabila saya tunduk dengan kehendak kumpulan pelampau, ia bukan kerana saya takut tetapi ia adalah strategi politik saya. Percayalah, yang dikatakan flip flop itu adalah muslihat politik saya yang terbaik.
Jika anda yakin bahawa negara kita tidak memerlukan demokrasi, hak asasi, kebebasan, keadilan, hak dan peluang sama rata, maka teruslah menyokong usaha saya ini. Saya berjanji saya akan tunaikan segala janji-janji saya…cuma bersabarlah, sebab kadang-kadang saya sendiri tak mampu nak tunaikan semuanya.
Selama lebih 50 tahun, tuan-tuan dan puan-puan telah sanggup bersabar dan menderita menerima pemerintahan kerajaan pimpinan parti saya, mengapa perlu ubah sekarang? – Roketkini.com