Wednesday, February 8, 2012

PAS Mahu Polis Ambil Tindakan Serius Tangani Provokasi Kaum

KUALA LUMPUR 8 FEB : PAS Johor menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah unit khas bagi menyiasat usaha untuk mengapikan semangat perkauman ekoran beberapa kejadian provokasi yang menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman berkata, adalah tidak wajar bagi pimpinan negara dan NGO untuk membuat ucapan berbaur perkauman kerana ini akan menyebabkan suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.

“Berdasarkan pengamatan kami tidak ada tindakan susulan yang dibuat oleh pihak polis,” Mazlan berkata, untuk menangani tindakan provokasi tersebut.

Mazlan berkata demikian selepas menyerahkan sebuah memorandum kepada PDRM yang diterima Superitenden Perhubungan Awam Bukit Aman, Norisah Abd Hamid.

Sebelum ini, beberapa kejadian yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman berlaku seperti pemberian ang pau menggunakan sampul berwarna putih pada majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh PERKASA.

Mengikut budaya masyarakat Cina, warna putih digunakan untuk upacara kematian. Sambutan meriah seperti Tahun Baru Cina lazimnya menggunakan warna merah yang dikaitkan dengan kemakmuran.

Manakala komuniti Melayu digemparkan dengan penemuan kepala babi di masjid di Johor Bahru, Johor pada Disember lepas dan terbaru, beberapa minggu lepas, di Rawang, Selangor dan Sentul, Kuala Lumpur.

Mazlan berkata, jika perkara-perkara ini terus berlarutan, dikhuatiri kejadian hitam 13 Mei 1969 tercetus kembali.

Beliau juga menggesa agar polis menganjurkan satu taklimat kepada pimpinan politik dan NGO bagi menangani isu-isu keselamatan negara.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas Negeri, Onn Jaafar berkata beliau difahamkan satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian kebakaran di rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.

“Kita mengaggap ini merupakan kejadian serius memandangkan bukan sahaja melibatkan harta benda bahkan nyawa mereka sekeluarga.

“Kita mengharapkan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan memandangkan PRU-13 (pilihanraya umum ke-13) semakin dekat dan mungkin provokasi yang lebih teruk akan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam Kejadian minggu lalu, tingkat bawah rumah dan kereta milik Dzulkefly di Taman Universiti, Johor Bahru, telah hangus terbakar dipercayai akibat sabotaj pihak tertentu.

Ketika kebakaran, beliau sekeluarga berada di dalam rumah tersebut dan berlaku 2 kali letupan yang kuat dari kereta yang terbakar.

Polis menjumpai sebiji tong minyak 5 liter yang terdapat kesan-kesan minyak tanah berhampiran rumah beliau.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...