
Mengapa perlunya kira-kira 800 peti undi? Ini kerana kita mempunyai 222 kawasan parlimen dan 576 kawasan ADUN. Seandainya 13 DUN dibubarkan serentak dengan pembubaran parlimen, maka terdapat 798 kawasan pengundian. Namun, apakah setiap Kedutaan Besar Malaysia akan mempunyai pengundi yang datang dari kesemua 798 kawasan?
Pengundian tidak hadir semestinya perlu didaftarkan. Seandainya hanya pengundi dari 20 kawasan mengundi di satu Kedutaan Besar, apa perlunya untuk menyediakan 798 peti undi? Justeru itu, jikalau pengundi dari 30 kawasan parlimen dan 90 kawasan DUN tampil mendaftarkan diri, apakah kita perlu menyediakan 120 peti undi?
Semestinya tidak. Malah jika kesemua 798 kawasan pengundian mempunyai pengundi yang tampil untuk membuang undi sekalipun, mustahil setiap kawasan pengundian mempunyai ratusan orang pengundi. Jadi, melainkan kawasan pengundian yang mempunyai bilangan pengundi yang ramai, lantas memerlukan peti yang khusus, kawasan yang lain boleh berkongsi peti berdasarkan negeri/wilayah - hanya diasingkan semasa perkiraan undi. Dengan ini, kita mungkin hanya memerlukan 16 peti untuk parlimen dan 13 peti untuk negeri, atau lebih kurang - untuk menyempurnakan pengundian pos di luar negeri.

Anda yang cerdik mungkin akan menemui satu lagi persoalan, seandainya dikatakan berdepan dengan tekanan logistik seandainya hak pengundian diberikan kepada warga yang menetap di luar negeri - maka bagaimana pula dengan pengundi pos yang sedia ada, termasuk diplomat, penuntut dan keluarga mereka? Apakah mereka tidak memerlukan 798 peti undi?
Seandainya kita kerap membaca buletin antarabangsa, akan kita mendapat tanggapan bahawa mereka bakal pergi mengundi di Kedutaan Besar, sebagaimana yang dilakukan buruh asing dari Indonesia atau Filipina. Namun, hakikat di sebaliknya, mungkin tiada orang yang pernah membuang undi yang berkesan dari luar negeri!

Hj Rahim Salleh yang pernah menjawat Pengarah SPR di Kedah (1999), Pulau Pinang (2004) dan Kelantan (2008), pernah membuat kenyataan dalam ceramah selepas dirinya bersara, bahawa dirinya tidak pernah menjumpai satu pun undi yang dikirim dari luar negeri.
Ini mengapa tiada masalah logistik dalam hal mengundi oleh warga Malaysia yang menetap di luar negeri - pengundian luar negeri tidak memberi makna selain pada namanya.

M.Bakri Musa yang kini berada di Amerika Syarikat berkata, warga Malaysia yang menetap di luar negeri untuk jangka panjang, terutamanya mereka yang mempunyai hak menetap di negara asing, tidak harus memiliki hak mengundi di Malaysia, kerana pertama, mereka tidak menanggung akibat daripada keputusan pengundian; kedua, mereka tidak membayar cukai; dan ketiga ia bakal menambah kos pilihan raya.
.jpg)
Dalam zaman globalisasi, semakin ramai yang mana kehidupan, kerja, pemilikan harta dan pembelanjaan seseorang tidak terbatas di satu tempat. Seandainya kita masih mengharapkan lebih ramai pakar pulang dari luar negeri, maka kita perlu menghargai mereka yang berada di luar negeri, tetapi enggan melepaskan hak mereka untuk mengundi. Untuk persoalan cukai pula, kita tidak seharusnya hanya tertumpu pada cukai pendapatan. Mereka yang berada di luar negeri masih memiliki harta dan saudara mara di sini, malah sering juga menghantar wang balik ke rumah - tidak harus dianggap tidak membayar cukai langsung.
Pada dasarnya, pilihan kita adalah bersifat politik: adakah kita mahu pakar ini pulang dari luar negeri? Jika mahu, maka ia tidak harus hanya tertumpu kepada faktor ekonomi, tetapi perlu merangkumi hak politik, perlu menyambut dan bukannya menolak mereka.

Jikalau warga Malaysia di luar negeri ingin memperjuangkan hak dirinya, maka mereka seharusnya menyahut Global BERSIH 2.0, untuk memprotes pada 26 November di seluruh dunia, agar kerajaan memandang serius kemarahan yang terpendam dalam hati rakyat.
*Wong Chin Huat ialah pengkaji politik dan kolumnis MerdekaReview. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 16 November 2011.