Sunday, February 12, 2012

Siapa yang termakan cili akan merasai kepedasannya


Sokongan masyarakat Cina kepada BN/MCA: Antara harapan dan kepasrahan


12 FEB — Kebenaran adakalanya begitu sukar untuk ditelan, inikan pula untuk diterima lebih-lebih lagi bagi mereka yang merasakan dirinya senantiasa betul. Begitu sukar hinggakan ada kalangan pemimpin yang merasakan kebenaran yang didedahkan itu merobek ego, status dan kebijaksanaannya. Ibarat kata-kata orang tua; siapa yang termakan cili akan merasai kepedasannya. Kesukaran untuk menerima kenyataan terhadap realiti semasa yang terjadi, berkemungkinan disebabkan oleh pihak terbabit sentiasa berada dalam zon selesa. Keselesaan yang berterusan itu secara tidak langsung telah mencambahkan sikap sambil lewa pihak tersebut yang sudah biasa dengan persekitaran lamanya. Apabila menularnya sikap sedemikian, maka pelbagai kritikan atau nasihat yang dibuat dengan niat baik bertujuan untuk menyelamatkan keadaan, diketepikan begitu sahaja dan sebaliknya dilihat sebagai seorang “pengacau.” Justeru, apabila Mantan Presiden MCA, Dato’ Sri Ong Tee Keat menyifatkan sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) kian tenat dalam temuramah eksklusifnya dengan Sinar Harian baru-baru ini, ternyata ia merupakan satu pembuka mata yang wajar dijadikan sebagai renungan.

Sudah tentu, ada yang menyokong, ada yang membantah dan tidak kurang juga memaki hamun beliau dan menuduhnya sebagai celupar yang suka mencari pasal. Yang menyokong kenyataan beliau itu sudah tentulah individu dan rakyat yang sentiasa dahagakan kebenaran dan kejujuran. Manakala yang marah dan memaki-hamun beliau adalah mereka yang tidak mahu dirinya diubati serta sentiasa mahu hidup dalam sindrom penafian.

Bukan mudah untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa yang kontroversi kerana mungkin ada pemimpin yang ditekan untuk tidak mendedahkan kebenaran. Namun berpegang teguh kepada prinsip kejujuran dan ketelusan, ia harus didedahkan agar umum mendapat gambaran yang sebenar-benarnya. Dari satu sudut, ia merupakan satu kenyataan jujur, berani dan berterus-terang yang keluar daripada mulut seorang politikus. Maklumlah tidak ramai politikus sekarang yang berani mengeluarkan kenyataan berterus-terang dan lahir daripada hati nurani mereka kerana bimbang ia bercanggah dengan kepimpinan tertinggi. Maklum juga seorang politikus yang tipikal tidak mungkin akan menggadaikan kedudukan tinggi yang dinikmatinya dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan panas. Hanyalah selepas mereka tidak berjawatan tinggi, baharulah kelantangan itu ketara. Sudah terlalu kerap rakyat mendengar kalangan politikus kita yang hanya pandai bercakap benda-benda baik sehinggakan parti-parti politik yang disertai mereka seolah-olah tidak ada cacat celanya. Apa yang disuarakan oleh Tee Keat ini sesungguhnya menunjukkan usaha murni kerajaan dalam meraih semula sokongan pengundi Cina masih jauh dari genggaman. Pandangan lama yang mengatakan pemberian bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Cina dan penumpuan kepada isu ekonomi akan melonjakkan kembali sokongan pengundi Cina kepada BN sudah berakhir.

Hakikatnya, isu-isu semasa yang lebih mendesak seperti keadilan sosial, ketelusan, keterbukaan dan hak asasi manusia turut mendapat perhatian mereka. Ini bagaimanapun tidak bererti bahawa kerajaan selama ini tidak membantu masyarakat Cina tetapi berkemungkinan pendekatan yang digunapakai tidak kena pada tempatnya.

Jika diteliti secara mendalam sentimen pengundi Cina mutakhir ini, mereka sebenarnya lebih mengutamakan keikhlasan dan tindak-tanduk pihak berwajib. Selagi tindak-tanduk itu dilakukan secara tidak ikhlas, maka selagi itu penangan pengundi Cina terhadap BN akan berterusan. Pengundi Cina sebenarnya lebih gemar mengambil pendirian tunggu dan lihat. Lazimnya mereka tidak suka untuk memberikan komentar-komentar mengenai sesuatu isu yang dilontarkan. Sebaliknya, mereka akan menyatakan pendirian mereka pada sesuatu PRU. Di sini, terserlahnya kebijaksanaan pengundi Cina dalam percaturan mereka. Jumlah masyarakat Cina di Malaysia hanyalah sekitar 24 hingga 25% atau bersamaan dengan 7 juta orang dan angka ini dijangka merudum dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang. Oleh sebab jumlahnya semakin mengecil, mereka akan mengundi pihak yang mampu memberikan janji terbaik kepadanya. Oleh itu, walaupun angka pengundi Cina tidak sebanyak mana, tetapi ia tetap penentu yang signifikan kepada kemenangan seseorang calon atau parti. Di saat umum bercakap undi Melayu akan menjadi penentu kepada PRU13, undi Cina juga boleh memainkan peranannya. Sedia maklum tidak ada mana-mana parti politik di negara ini baik daripada pihak pembangkang mahupun pemerintah yang boleh membentuk sebuah kerajaan tanpa sokongan parti komponen lain. Kalau terbentuk sekalipun, ia mungkin sebuah ikatan yang longgar dan tidak stabil. Kesudahannya, ikatan itu tidak berpanjangan dan kembali ke status-quo. Itu sebabnya, kita jarang mendengar pemimpin parti pembangkang mahupun pemerintah yang mengisytiharkan secara terbuka bahawa parti itu dan ini tidak perlukan sokongan daripada parti lain. Sebarang percubaan ke arah itu hanya akan mencetuskan ketidakstabilan, kemarahan dan berkesudahan dengan perpecahan dalaman yang kronik. Sudah pasti ini bukanlah kesudahan yang ingin dilihat oleh mana-mana pihak.

Persoalan sama ada sokongan pengundi Cina akan benar-benar kembali secara total kepada BN pada PRU 13 nanti banyak bergantung kepada sejauhmanakah pucuk kepimpinan tertinggi MCA berupaya mengenal pasti punca sebenar kemarahan masyarakat Cina. Jika pemimpin-pemimpin mereka hanya tahu mengeluarkan kenyataan berbaur desakan ataupun cabaran kepada seteru politik mereka untuk membuktikan itu dan ini dalam media, nescaya taktik sedemikian akan mengundang kesudahan yang sebaliknya. Pendek kata, ia tidak akan berjaya. Apa yang ingin dilihat oleh rakyat terutamanya pengundi Cina ialah bagaimana pemimpin parti yang mewakili komuniti mereka mampu “walk the talk” dan mempamerkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang boleh dipercayai.

Seperti kata Tee Keat dalam temuramahnya dengan Sinar Harian, beliau telah mengenal pasti beberapa formula yang perlu direnungi oleh pucuk kepimpinan parti MCA jika mahu kembali meraih sokongan pengundi Cina. Yang pertama ialah kebolehan parti berkenaan mengerahkan tenaga dan jentera di peringkat akar umbi. Keduanya, kebolehan untuk mendapat keyakinan khasnya masyarakat yang diperjuangkan mereka. Dan yang terakhir sekali, apakah perjuangan parti yang dilaung-laungkan itu didasari oleh nilai perjuangan sejati ataupun dikaburi dengan kepentingan peribadi. Jelas, kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada MCA dan BN yang berterusan ini banyak disebabkan oleh kelemahan parti itu sendiri. Bagaimanapun, jika kelemahan ini dapat diatasi, tidak mustahil sokongan padu yang pernah ditunjukkan pengundi Cina kepada MCA dan BN seperti yang berlaku pada PRU 1995, 1999 dan 2004 akan kembali. Apa yang diperkatakan oleh penganalisis politik terhadap pola pengundian pengundi Cina yang bersifat “pendulum swing”, sememangnya berasas. MI

* Segala pandangan yang diberikan hanyalah pandangan peribadi penulis sahaja.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...