Tuesday, January 24, 2012

Ali Rustam: Isytihar harta perlu persetujuan semua

Jan 23, 2012 Pengisytiharan harta milik ahli UMNO kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bergantung pada persetujuan semua pihak termasuk presiden parti Datuk Seri Mohd Najib Razak, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Mohd Ali, yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata langkah itu perlu dipersetujui semua ahli parti termasuk wakil rakyat kerana ia melibatkan beberapa perkara seperti keselamatan.
"Sesetengah wakil rakyat tidak mahu mengisytiharkan harta mereka kerana ia akan diketahui umum sehingga boleh mengancam keselamatan mereka dan keluarga," katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA Melaka di Dewan Sekolah Menengah Pay Fong di Melaka, hari ini.

Mohd Ali berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga mursyidul am PAS, akan kesediaan mengisytiharkan hartanya kepada SPRM jika peraturan memintanya berbuat demikian.

Nik Aziz berkata demikian ketika mengulas kenyataan Naib Presiden Pertubuhan Angkatan Generasi Muda Melayu Kelantan (AGENDA), Arif Hakimi Zulkifli yang mendesak beliau dan keluarganya mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM bagi memastikan mereka benar-benar telus dan bersih daripada kegiatan rasuah.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ali berkata kerajaan negeri akan membayar pampasan bernilai RM7.2 juta, Khamis ini kepada kira-kira 10 syarikat bas henti-henti di negeri itu yang terpaksa menghentikan operasi berikutan masalah kewangan.

Beliau berkata kerajaan negeri akan mengambil alih pengurusan bas henti-henti di Melaka di bawah kendalian PMCT, anak syarikat Perbadanan Ketua Menteri menggunakan jenama Panorama bermula 1 Februari ini.

"Kita telah pun temuduga semua pemandu bas dan semua bas akan ditukar secara berperingkat. Setakat ini kita ada 10 buah bas Panorama baru dan 131 buah lagi akan ditambah," katanya.

Katanya orang ramai tidak perlu bimbang terhadap perkhidmatan bas henti-henti kerana ia akan diperluaskan di semua jalan-jalan di seluruh negeri ini.

Pada majlis itu, seramai 5,000 rakyat tempatan daripada pelbagai kaum dan umur hadir dan tetamu dijamu dengan pelbagai hidangan seperti nasi lemak, rendang, nasi himpit dan kuih-muih.

Turut hadir Pengerusi MCA negeri Datuk Gan Tian Loo, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Belia dan Sukan. -  Bernama

Isytihar harta: Kita perlu telus, kata Mustapa
WARTAWAN SINAR HARIAN
January 24, 2012

Datuk Seri Mustapa Mohamed
KOTA BHARU - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akur dengan keputusan mewajibkan ahli Kabinet mengisytiharkan harta.

”Apabila sudah diputuskan kerajaan, maka sudah tentu ia akan menjadi peraturan dan kita akur dengan apa juga peraturan, kita perlu telus dan harus diadakan kaedah,” katanya di Sekolah Kebangsaan Mulong di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Umno Kelantan berkata, semua pihak perlu terlibat termasuk pemimpin pembangkang kerana ia bukan sahaja membina keyakinan rakyat terhadap pemimpin, malah juga kerajaan.

Mustapa mengulas cadangan supaya ahli Kabinet dan ahli keluarga mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan integriti kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, Malaysia masih menikmati pertumbuhan ekonomi menggalakkan hasil kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) merangka dasar yang boleh menjana pertumbuhan yang baik.

Menurutnya, sehingga kini, ekonomi negara mampu mencatat kadar pertumbuhan sekitar lima peratus dan ia satu pertumbuhan baik berdasarkan dagangan dan pelaburan dunia yang tidak menentu.

”Kejayaan kerajaan menguruskan negara dengan baik memberi pelbagai manfaat kepada rakyat dan ini berbeza dengan negara lain yang menghadapi banyak masalah,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...