Thursday, February 9, 2012

Hasan Ali Perlu Buktikan DAP Mahukan Negara Republik

SHAH ALAM 9 FEB: Bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali diminta supaya tidak terus membohongi dan menakut-nakutkan orang Melayu dengan kenyataan DAP akan menjadikan Malaysia sebagai Negara Republik sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) menang dalam Pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, adalah tidak logik DAP mampu membentuk kerajaan sedangkan mereka hanya bertanding 15 kerusi di Selangor dan 46 kerusi Parlimen.

Oleh yang demikian, beliau mencabar Hasan Ali supaya mengemukakan perkiraan yang membolehkan DAP berkuasa di negara ini.

“Saya nak mintak dia gunakan PhDnya buktikan kepada saya macam mana bertanding 15 kerusi di Selangor boleh menang 29 kerusi. Gunalah PhD awak, tunjuk kepada saya. DAP hanya bertanding 15 daripada 56 kerusi di Selangor.

“Bertanding di peringkat pusat, DAP bertanding 46 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi. Kalau nak memerintah negara, sehingga ingin menjadikan Malaysia negara republik, dia memerlukan dua pertiga. Majoriti mudah mereka memerlukan 112 kerusi. Minta dia buat tesis macam mana bertanding 46 kerusi bagaimana boleh menang 112 (kerusi),” katanya.

Sekiranya gagal, adalah lebih baik Hasan mengambil pendekatan berdiam diri daripada terus menakut-nakutkan orang Melayu jelas beliau.

Sebelum ini, DAP melalui Penasihatnya, Lim Kit Siang menyatakan pendirian bahawa parti itu menyokong 100 peratus Islam sebagai agama rasmi negara serta bukan sebuah parti anti Melayu dan institusi DiRaja.

Beliau turut mencabar Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengemukakan bukti yang mengatakan DAP ingin menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Katanya, adalah lebih baik berhujah mengenai dasar masing-masing dan membiarkan rakyat membuat keputusan dalam menentukan pemimpin mereka.

Katanya, meskipun jumlah kerusi campuran DAP dan PKR berjumlah 27 kerusi tidak ada keperluan untuk PAS tunduk kepada DAP walaupun hanya memiliki 7 kerusi memandangkan untuk membentuk kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi.

Ujar beliau, sudah semestinya Pakatan tidak boleh membentuk kerajaan di Selangor tanpa PAS.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media hari ini. Selangorkini

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...