Friday, January 20, 2012

Isytihar harta: Pemimpin harus berani berdepan dengan bahaya demi selamatkan Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Walau pun pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri-menteri serta keluarga terdekat mungkin “membahayakan” bagi individu-individu tersebut, ia perlu dilakukan bagi menggalakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban para pemimpin.

Justeru, DAP boleh menerima sebagai permulaan jika hanya menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri sahaja yang mengisytiharkan harta.

DAP juga berpendapat buat masa ini ahli keluarga para pemimpin tersebut boleh dikecualikan.

“Sesiapa yang berhasrat untuk menjadi pemimpin harus mengutamakan negara mereka dan harus rela untuk membahayakan diri sendiri daripada membahayakan Malaysia.

“Oleh itu, pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri adalah langkah pertama yang wajar untuk memastikan bahawa kepentingan umum akan terpelihara,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dilaporkan sebagai berkata bahawa pengisytiharan harta para pemimpin secara terbuka kepada umum boleh mengundang bahaya jika orang tahu mengenai kekayaan mereka.

Guan Eng menjelaskan bahawa sekadar mengisytiharkan kepada Perdana Menteri seorang atau pun kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memadai.

Katanya keengganan SPRM untuk mengiktiraf prinsip pengisytiharan harta secara terbuka oleh para menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu dikecam.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini telah mencipta sejarah dengan mengisytihar harta bersama Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Langkah tersebut telah menarik perhatian umum dan tambah memperkuat keyakinan masyarakat terhadap prinsip pentadbiran CAT (cekap, akauntabel, telus) yang diamalkan sejak pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang diambil alih oleh Pakatan Rakyat pada Mac 2008.

Perisytiharan tersebut mendedahkan maklumat mengenai pinjaman-pinjaman dan liabiliti-liabiliti Ahli-Ahli EXCO bersama sumber pendapatan mereka yang jelas diperolehi daripada satu sumber sahaja, iaitu elaun sebagai wakil rakyat dan badan-badan berkanun.

Menurut Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak begitu percaya kepada SPRM berikutan kegagalan untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang mempunyai sumber-sumber kewangan yang meragukan, selain tindak-tanduk SPRM yang dilihat seperti tunggangan politik parti pemerintah itu.

“Ketidakpercayaan kerajaan negeri Pulau Pinang terhadap komitmen SPRM untuk menangani rasuah adalah jelas bukan sahaja kerana kegagalan mereka untuk bertindak atas laporan-laporan yang dibuat oleh saya tetapi juga oleh kerajaan negeri Pulau Pinang,” ujar beliau.

Oleh yang demikian, katanya, pengesahan daripada sebuah firma audit dan akauntan antarabangsa yang terkemuka adalah lebih dipercayai dan boleh diharap berbanding dengan SPRM.

Beliau menambah bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah yang lebih dengan melantik firma akauntan dan audit antarabangsa yang terkenal iaitu KPMG dan rakan kongsi kanannya Akauntan Bertauliah Ooi Kok Seng, untuk mengesahkan dan menetapkan templat yang akan dipaparkan kepada umum. – Roketkini.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...