Friday, January 20, 2012

Jenis UMNO bukan faham soal menghormati keputusan rakyat.

Penstrukturan Exco Kerajaan Negeri Selangor
20 Jan 2012 Sekembali saya ke tanah air setelah berada di Saudi Arabia selama 16 hari, maka saya dapati beberapa perkembangan menarik sedang berlaku.

Oleh itu, saya ingin mengupas secara ringkas beberapa perkara yang saya akan mulakan dengan penstrukturan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Pelantikan Dr Yunus mengemparkan ramai, termasuklah yang sudah pasti, Dr Yunus sendiri. Apabila ianya berlaku maka mula sibuklah pencacai UMNO yang telah terdiam terkedu setelah DSAI didapati tidak bersalah. Tiba-tiba ada isu, walaupun remeh dan kecil, yang memberi nafas baru kepada mereka untuk terus hidup.

Maka mulalah mereka menghasut setelah terbukti hasutan sebelum ini berhasil, supaya Dr Rani juga bertindak sepertimana sebelum beliau. “Tidak patut”, kata mereka, “Dr Rani PJ dan sepatutnya dialah yang dilantik menjadi Exco”.

Namun begitu, hasutan tukang hasut tidak berkesan ke atas manusia yang berjuang tanpa memikirkan jawatan atau pangkat. Atas sikap tidak peduli Dr Rani dalam soal hasutan ini, saya mengucapkan tahniah.

Jelas terbukti bahawa dakwaan beliau gilakan jawatan serta menjatuhkan mantan PJ kerana inginkan jawatanan Exco adalah tidak berasas dan amat meleset sama sekali.

Setiap individu di dalam PAS seharusnya mempunyai sifat tidak merajuk apabila tidak dipilih atau dilantik memegang sesuatu jawatan.

Malahan individu tersebut akan merasa lega apabila dilepaskan dari dipilih untuk menjawat sesuatu jawatan kerana dia faham bahawa jawatan itu adalah tanggung jawab dan amanah yang berat. Ianya bukan hadiah atau ‘ghanimah’. Ianya bukan pengiktirafan atau penghormatan, ianya adalah amanah.

Kita tidak lari dari tanggung jawab, tetapi kita tidak juga mencari-carinya sehingga menjadikan sesuatu jawatan itu sebagai impian hati dan matlamat perjuangan hidup.

Orang yang dikuasai keinginan jawatan akan dirosakkan oleh keinginan itu sendiri sehingga apabila ianya terlepas dari tangannya atau kelihatan semakin jauh darinya maka dia mula berhempas-pulas ketidak tentuan.

Segala yang dikatakan betul selama ini menjadi salah, segala rakan menjadi lawan sehingga; segala segala yang dimuntahkan sanggup dijilat balik.

Maka bermulalah dia mengorak langkah melalui ‘pendekatan baru’ untuk mendapatkan jawatan tersebut tanpa menghiraukan segala yang telah dikatakan dan diikrarkan sebelum ini, termasuklah yang dibaiahkan selama ini.

Alhamdulillah Dr Rani, tidak bersifat sebegitu. Beliau hadir pada majlis pelantikan Exco baru dan apabila ditanya, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap pelantikan Dr Yunus.

Sememangnya sebelum ini pun Dr Rani pernah menzahirkan kekhuatiran beliau terhadap persoalan menjawat jawatan PJ dan Exco, dalam suasana di ambang pilihan raya, dikhuatiri dirinya tidak termampu.

Maka akhirnya apa yang telah terjadi diterima dengan hati terbuka, sebagai penentuan Allah yang terbaik bukan sahaja bagi dirinya, tetapi bagi jemaah.

Ada pula yang dari golongan yang agak jahil menyatakan bahawa perlantikan Dr Yunus sebagai Exco Belia dan Adat Melayu adalah sesuatu yang memalukan PAS.

“Tidakkah PAS parti Islam,” tanya mereka, “mengapa tidak diberikan portfolio Exco Agama seperti dulu?”

Bagi mereka ini Islam adalah apa yang terkandung di dalam kerangka Jabatan Agama Islam. Tiada Islam dalam urusan Belia atau Adat Istiadat orang Melayu. Itulah apa yang disebut sebagai fahaman sekular.

Bagi PAS, Islam releven di dalam semua portfolio, termasuklah belia. Memandangkan pengundi Selangor adalah majoritinya di bawah umur 40 tahun, maka portfolio ini amat berharga bagi PAS. Masa inilah PAS perlu menarik sokongan golongan muda dengan membuktikan “orang muda geng kita”.
Dari sudut praktikalnya, dalam tempoh 2 ke 3 bulan sebelum pilihan raya, lebih mudah diserahkan kepada Exco baru portfolio yang sedang dia jaga selama ini, walaupun bukan sebagai Exco pada ketika itu.

Dr Yunus salah seorang yang membantu MB menjaga portfolio belia dan sukan sebelum ini. Ianya tindakan yang praktikal bagi menjamin kesinambungan tugas serta kelicinan peralihan jawatan yang sedang dilalui secara mendesak dan di ambang pilihan raya.

Adalah agak sukar bagi Exco baru menguasai portfolio baru dalam suasana sebegini. Lebih-lebih lagi sekiranya ianya portfolio Exco Agama kerana sekarang ini JAIS dan MAIS ingin dijadikan bagaikan lubuk UMNO dan BN.

Ianya medan pertahanan terakhir mereka dan mereka ingin menggunakannya sehabis-habisnya untuk menggagalkan usaha PR mengekalkan kerajaannya di Selangor.

Tindakan mengekalkan mantan PJ PAS Selangor sebagai Timbalan Pengerusi MAIS, walaupun saya tahu ada yang mereka tidak begitu suka pada dirinya, jelas menunjukkan niat jahat mereka.

Dalam suasana yang ‘hostile’ sebegini, seorang Exco baru akan dihadapkan dengan bermacam-macam masalah. Jenis UMNO bukan faham soal menghormati keputusan rakyat. Mereka akan jadikan tempoh 3 bulan pertama satu tempoh yang sukar bagi Exco baru seperti Dr Yunus.

Oleh itu, memandangkan tempohnya singkat dan perjalanannya penuh dengan cabaran, maka adalah lebih baik MB sendiri yang memegangnya. Baru bertemu buku dengan ruas.

Ada pula yang berkata, “apa MB tahu pasal syariat Islam?” Jawab saya, “Exco Agama ini perlu keluarkan fatwakah?” Lagipun, bagi saya, beliau adalah jauh lebih baik dari Rahman Palil yang boleh duduk bersekongkol dengan Khir Toyo serta UMNO dan BN.

Mungkin juga lebih baik fahamannya berbanding mantan Exco yang mungkin hanya sekadar bersemangat dan bermotivasi tinggi sahaja tetapi sekarang sudah cukup jelas kefahamannya agak terencat.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Exco agama: Yang pentingnya amanah, kata Mohd Sabu

KUALA LUMPUR, Jan 20: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) berkata, bukan semestinya orang belajar agama sahaja yang boleh mengambil tugas Exco hal ehwal agama, tetapi perlukan seorang Muslim yang amanah, jujur dan ikhlas.

Lagipun, katanya, Pembantu Exco Hal Ehwal Agama adalah kekal dipegang Adun PAS iaitu Dr Shafei Abu Bakar (Bangi).

Beliau berkata demikian ketika menyokong hujah Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam isu jawatan exco agama kerajaan Selangor.

Semenjak Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Hal Ehwal Agama yang disandang oleh bekas ahli PAS, Datuk Dr Hasan Mohd Ali yang dipecat, media Umno telah bertubi-tubi menyerang isu ini kononnya PAS tidak Islam lagi tanpa portfolio tersebut.

Menjawab serangan tersebut, Mohamad berpendapat langkah Khalid adalah tepat kerana dengan pilihanraya umum yang semakin dekat, adalah perlu untuk satu institusi yang lebih besar untuk mengawal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“(Oleh itu), adalah lebih baik untuk Tan Sri Khalid mengambil exco agama. Bukan semestinya orang agama sahaja yang boleh ambil tugas itu, asalkan ia amanah, jujur dan ikhlas.

"Nasib yang melanda (Datuk Seri) Jamil Khir dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin memberitahu kita, yang penting ialah amanah dan takut pada Allah, bukannya siapa yg menduduki satu jawatan,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Kedua-dua menteri Umno yang disebut Mohamad itu kini terlibat dalam skandal dakwaan salahguna kuasa dan wang.

Jamil terpalit dengan skandal menggunakan wang zakat untuk membayar kos guamannya, manakala Muhyiddin pula tertekan sebagai menteri yang meluluskan projek RM250 untuk Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC) kepada keluarga Ketua Umno Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil.
(Dr Shafei Abu Bakar...Pembantu Exco Hal Ehwal Agama yang kini dipegang portfolionya oleh MB Selangor.)

Awal pagi ini, Tuan Ibrahim menegaskan amanah merupakan benda terpenting dalam memegang jawatan dalam apa bidang sekalipun.

“Dalam satu peringatan Rasulullah kepada Abu Zar Radiallahu'anhu, baginda menyatakan:

"Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah, sedangkan jawatan ini adalah amanah, dan ianya adalah penyesalan di hari akhirat, melainkan kamu menerimanya di atas kelayakan kamu dan kamu menunaikan hak kepada yang berhak menerimanya (tunaikan amanahnya).

"Jelas apa yang penting penyandang adalah mesti seorang yang amanah. Apa makna jawatan tertentu kalau diserahkan kepada golongan agama sekalipun, jika wang zakat pun boleh disalahgunakan seperti yang diledakkan Ketua Audit Negara?” kata beliau.

Menyambung hujah Tuan Ibrahim, Mohamad berkata tiada gunanya sekiranya seorang ustaz diletakkan di sesuatu jawatan “kalau dana zakat yang terang-terang salah boleh dihujahkan sebagai betul.”

“Buat apa? Tapi untuk Umno, lainlah, mereka parti yang suka tegakkan benang basah. Laporan ketua Audit Negara dah kata NFC bermasalah, masih nak buat audit baru untuk confirm audit ketua negara,” sindir beliau.

Muhyiddin yang turut terpalit dengan isu skandal NFC telah secara ironisnya mengumumkan hasrat kerajaan melantik sebuah firma perunding perakaunan bagi tujuan menjalankan penelitian wajar untuk mengaudit projek Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Cadangan tersebut dibantah oleh Jingga 13 dengan alasan Muhyiddin sebagai menteri yang terlibat dalam skandal tersebut sudah tidak mempunyai kredibiliti dan integriti lagi untuk berbuat demikian kerana sudah pasti ia akan menimbulkan prejudis oleh seluruh rakyat Malaysia. - Harakah

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...