KUALA LUMPUR, 20 Jan: PAS Wilayah Persekutuan mengharapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang turun melawat ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini, tidak hanya menabur janji kosong buat rakyat.
Ketua Penerangannya, Suhaimi Abdul Aziz berkata, paling dinanti adalah kehadiran perdana menteri di Kampung Baru bagi mendengar bantahan penduduk terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUUPPKB).
"Jika Menteri Besar Selangor sanggup turun dan bersemuka dengan rakyat dengan usaha membantu penduduk, apakah PM pula berani mendengar pertikaian penduduk Kampung Baru terhadap Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang diluluskan oleh kabinetnya.
"Apakah PM sanggup membaca sendiri sepanduk dan kain rentang yang membantah tindakan kerajaan meluluskan RUU tersebut," soalnya.
Selain itu, PAS Wilayah Persekutuan katanya mahu lawatan perdana menteri itu menginsafkan dirinya betapa kehidupan sebahagian warga KL tertinggal jauh dari arus kemodenan dan memisahkan jauh antara mereka dengan golongan berada.
Turup diharap katanya, agar Najib sedar bahawa betapa penting melantik pemimpin yang berwibawa menjaga rakyat dan bukannya di kalangan mereka yang berusaha menggadai hak rakyat khususnya di Kampung Baru.
"Mungkinlah lawatan ini menjadikan PM lebih prihatin dengan masalah rakyat disamping bertegas untuk membanteras segala penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang sedang membarah di dalam parti dan pemimpin kanannya seperti yang didakwa ramai hari ini.
"PM perlu jadikan lawatan ini untuk mengajar beliau supaya melantik pemimpin-pemimpin bawahannya yang benar-benar membela rakyat dan mengerti kesusahan mereka, bukan mengkayakan diri mereka sendiri," katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan untuk melakukan penambahbaikan terhadap Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) di Kampung Baru bagi menjaga kepentingan penduduk tersebut.
Antaranya ialah dengan membuka keanggotaan MAS kepada pelbagai kelompok masyarakat dan kumpulan profesional supaya ia lebih berkesan dalam memastikan kepentingan pemilik tanah dapat dipertahan.
Hari ini pula Najib memulakan lawatan kerjanya ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kunjungan ke kawasan Parlimen Wangsa Maju.
Selepas itu beliau dijangka melawat Kampung Puah Lembah di Jalan Gombak dan akan ke kawasan Parlimen Bandar Tun Razak untuk bersama penduduk di situ bersolat Jumaat di Masjid Az-Zubair.
Selepas itu, beliau akan menghadiri majlis jamuan makan tengah hari bersama rakyat di Padang Bola Sepak Sri Johor, Bandar Tun Razak, sebelum meneruskan program lawatannya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci di Lembah Pantai pada petang. HarakahDaily