PETALING JAYA 20 Jan: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata rakyat akan menjadi hakim dalam kes skandal National Feedlot Corporation (NFC) milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, sekiranya kes itu dibicarakan di mahkamah kelak.
Beliau mengulas tindakan Shahrizat semalam memfailkan saman terhadapnya dan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berhubung pendedahan penyelewengan dalam NFC.
“Saya amat alu-alukan usaha Datuk Seri Shahrizat untuk membawa kes ini ke mahkamah kerana ia memberi ruang yang lebih besar untuk rakyat menghakimi skandal lembu negara ini,”
“Saya percaya dengan tindakan saman ini, ramai rakyat Malaysia akan tampil untuk bekerjasama dan membawa bukti serta menjadi saksi kepada kes ini .
“Alhamdulillah selepas terkeluarnya berita saman RM100 juta ini ramai yang telah menawarkan diri untuk memberi maklumat baru yang luar dari rekod kami,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zuraida, tindakan saman yang disifatkan sudah terlewat itu, akan ‘mendekatkan’ lagi jalan pintu keluar bagi Shahrizat di arena politik Malaysia.
Katanya lagi, saman itu tidak akan melemahkan mereka sebaliknya akan terus melipatgandakan usaha dan memperhebatkan kempen penerangan kepada rakyat, termasuk pelbagai penyelewengan kerajaan Umno-BN.
Tambah Zuraida, permohonan perintah injuksi bagi menghalang beliau dan Rafizi dari membuat sebarang pernyataan lisan atau kenyataan bertulis berkaitan NFC, atau syarikat-syarikat bersekutunya, menunjukkan Shahrizat kini semakin terdesak.
“Shahrizat tidak berhak menghalang kami untuk bersuara. Selaku Ahli Parlimen, saya berhak membela dan memperjuangkan isu rakyat, sama ada di dalam atau luar Dewan Rakyat. Demi Rakyat, saya akan terus bersuara,” tegas beliau.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=25737