Friday, January 20, 2012

Tiada sebab pendakwa perlu halang kes qazaf Anwar- peguam

KUALA LUMPUR 19 Jan: Peguam Syariah yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan hujah balas terhadap bantahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua yang lain, berhubung permohonan qazaf ketua pembangkang itu, pada 30 Januari ini.

Penghujahan itu ekoran notis rayuan yang dikemukakan peguam Anwar, dibantah peguam yang mewakili Jamil Khir, Ketua Pendakwa Syarie, Shamsuddin Hussain dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.

“Pada 30 januari ini, kedua-dua pihak akan mengemukakan hujah masing-masing,” kata peguam yang mewakili Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman.

Menurut Kamar Ainiah, notis rayuan itu dibantah oleh peguam yang mewakili ketiga mereka atas alasan terdapat kesilapan teknikal pada satu perkataan dalam notis itu.

“Alasan yang dikemukakan peguam Jamil Khir adalah bersifat teknikal dan mereka tidak ada isu untuk membuat bantahan,” katanya.

Menurutnya lagi, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan membebaskan Anwar dari kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, tidak ada sebab mengapa mahkamah Syariah perlu menolak kes qazaf tersebut.

“Alasan pendakwa mahu menunggu kes itu diputuskan di mahkamah tinggi telah selesai. Tidak ada sebab kenapa pendakwa untuk tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful,” ujarnya.

Anwar Ibrahim pada 23 April tahun lalu memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur ekoran mahkamah membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya Saiful didakwa mengikut qazaf.

Anwar pada Ogos tahun lalu juga mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam samannya terhadap jabatan itu.

Beliau menamakan peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar sebagai responden dan memohon mahkamah supaya Zainul ditegah dan tidak dibenar mewakili Shamsuddin Hussain, Che Mat Che Ali dan Jamil Khir Baharom.

Antara alasan yang diberikan ialah sebab penyalahgunaan wang zakat oleh mereka untuk membayar yuran guaman Zanoil Rizal.

Keadilandaily difahamkan zainol telah menarik diri atas alasan beliau telah dilantik untuk menjadi anggota Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Difahamkan, Pengerusi MAIWP adalah Jamil Khir manakala Setiausaha MAIWP adalah Che Mat Che Ali.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=25729

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...