Friday, January 20, 2012

Keengganan penjawat awam isytihar harta bahayakan negara

DAP menggesa Barisan Nasional untuk mengambil pendekatan dwipartisan untuk menggalakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam Malaysia dengan mengisytiharkan harta mereka secara terbuka. Walaupun pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri-menteri serta keluarga terdekat mungkin membahayakan bagi individu-individu tersebut, sebagai langkah pertama hanya mereka yang memegang jawatan awam harus mengisytiharkan harta secara terbuka.

Demi kepentingan dwipartisan, DAP boleh terima sebagai permulaan jika hanya menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri sahaja yang mengisytiharkan harta. Ahli keluarga mereka boleh dikecualikan. Sekadar mengisytiharkan kepada Perdana Menteri seorang ataupun kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memadai.

Atas sebab ini, keengganan pihak SPRM untuk mengiktiraf prinsip pengisytiharan harta secara terbuka oleh para menteri, timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu dikecam. Saya memahami kebimbangan BN bahawa pengisytiharan harta mungkin akan membahayakan penjawat-penjawat awam tersebut, namun BN juga harus memahami kebimbangan umum bahawa kegagalan untuk mengisytiharkan harta mungkin akan membahayakan Malaysia.

Sesiapa yang berhasrat untuk menjadi pemimpin harus mengutamakan negara mereka dan harus rela untuk membahayakan diri sendiri daripada membahayakan Malaysia. Oleh itu, pengisytiharan harta secara terbuka oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri adalah langkah pertama yang wajar untuk memastikan bahawa kepentingan umum akan terpelihara.

Minggu lepas, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pulau Pinang telah mencipta sejarah dengan menjadi anggota-anggota pentadbiran dipilih yang pertama di Malaysia untuk mengisytiharkan harta secara terbuka. Maklumat mengenai pinjaman-pinjaman dan liabiliti-liabiliti ahli-ahli EXCO telah didedahkan. Pendapatan mereka juga jelas diperolehi daripada satu sumber sahaja, iaitu elaun sebagai wakil rakyat dan badan-badan berkanun.

Elaun untuk Ahli-ahli EXCO Pulau Pinang boleh dirujuk daripada Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan)1980, yang turut dimuat naik. Maklumat ini boleh didapati di laman sesawang Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu www.penang.gov.my. Ini adalah satu pencapaian dalam usaha untuk memastikan tidak berlaku pengumpulan harta yang luar biasa dan yang tidak dapat dijelaskan oleh anggota-anggota pentadbiran.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah yang lebih dengan melantik firma akauntan dan audit antarabangsa yang terkenal iaitu KPMG dan rakan kongsi kanannya Akauntan Bertauliah Ooi Kok Seng, untuk mengesahkan dan menetapkan templat yang akan dipaparkan kepada umum. Ooi juga hadir semasa sidang akhbar pada 12 Januari 2012 di Pulau Pinang apabila pengisytiharan harta itu dibuat dan telah berkata bahawa KPMG telah mendukung standard profesional yang tertinggi untuk memastikan pematuhan kepada prinsip-prinsip keobjektifan, kebebasan dan tiada konflik kepentingan sebelum menjalankan apa-apa tugasan.

Kepercayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam SPRM sudah pun terhakis berikutan apa yang dilihat sebagai kegagalan untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin BN yang terlibat dalam kontrak-kontrak yang mencurigakan serta apa yang dilihat sebagai tindak-tanduk mereka yang seolah-olah tidak bebas dan sanggup digunakan oleh BN bagi tujuan politik. Ketidakpercayaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap komitmen SPRM untuk menangani rasuah adalah jelas bukan sahaja kerana kegagalan mereka untuk bertindak atas laporan-laporan yang dibuat oleh saya tetapi juga oleh Kerajaan Negeri PulauPinang.

Kemerosotan Malaysia dalam hal rasuah ini juga terserlah dengan penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dari tangga ke-37 pada tahun 2003 kepada tangga ke-60 tahun lepas. Oleh itu, pengesahan daripada sebuah firma audit dan akauntan antarabangsa yang terkemuka adalah lebih dipercayai dan boleh diharap berbanding dengan SPRM.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...