Wednesday, November 23, 2011

22 ahli KWSP didenda tipu pengeluaran.. tipu pinjaman NFC tu macam mana pula?

Berita dari Lidah Rasmi UMNO ini melaporkan seramai 22 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati bersalah dan didenda sepanjang Julai hingga September lepas kerana terlibat dengan penipuan pengeluaran.
Seramai 22 ahli yang didapati bersalah telah didenda sebanyak RM17,400 oleh mahkamah bagi kesalahan yang melibatkan penipuan pengeluaran perumahan KWSP.


Salah seorang daripada mereka telah dijatuhi hukuman penjara, manakala 16 lagi berkemungkinan dipenjarakan sehingga enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

Itu adalah petikan berita tentang 22 Ahli KWSP yang telah didenda oleh Mahkamah kerana menipu pengeluaran.

Menipu di sini membawa maksud membuat pengeluaran kononnya untuk membiayai perkara yang berkaitan dengan perumahan tetapi menggunakannya untuk tujuan lain.

Biarpun wang yang dikeluarkan itu adalah wang simpanan mereka sendiri, perkara yang telah dilakukan oleh mereka adalah salah kerana tujuan ditubuhkan KWSP adalah sebagai tabungan untuk hari tua para pekerja.

Dalam isu Scandal ‘Feed The Lord’ pula kita menyaksikan sebanyak RM250 Juta dana dari wang milik rakyat telah disalurkan sebagai ‘Soft Loan’ kepada National Feedlot Corporation (NFC), Syarikat milik Suami dan Anak Shahrizat yang dianugerahkan melalui tender terbuka tapi terhad (Noh Omar kata).

Tujuan dana tersebut disalurkan ialah untuk untuk mengusahakan industri lembu pedaging di Gemas, Negeri Sembilan, untuk membangunkan projek tersebut bagi menampung keperluan daging negara kepada tahap sara diri sebanyak 38 peratus.

Namun begitu hingga ke hari ini kita telah melihat dana untuk tujuan menternak lembu tersebut telah diguna ikut suka mereka seolah-olah wang RM250 Juta itu milik Mak Bapak mereka yang punya.

Mereka telah dilaporkan menggunakannya untuk makan angin , mengerjakan umrah, membayar elaun kepada pihak yang tidak terlibat dengan projek ini  dan yang paling menarik menggunakan wang milik rakyat itu untuk melabur membeli Kondominium berharga RM9.8 Juta untuk pelaburan kononnya ..

Kenapa pihak yang menyalahgunakan wang sendiri didenda oleh Mahkamah tetapi hingga kini pihak yang menyalahguna pinjaman untuk tujuan memelihara lembu hingga sekarang tidak disentuh oleh pihak berkuasa?

Jawapannya mudah.. 22 ahli atau pencarum KWSP itu adalah rakyat biasa tetapi seorang lagi yang telah menyalahguna pinjaman RM250 Juta wang rakyat itu isterinya adalah pemimpin UMNO… Anak Sungai Derhaka

*************************

22 ahli KWSP didenda tipu pengeluaran

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Seramai 22 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati bersalah dan didenda sepanjang Julai hingga September lepas kerana terlibat dengan penipuan pengeluaran.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, sejumlah lima saman baru untuk kesalahan yang sama juga telah difailkan di mahkamah dalam suku tahun berkenaan.

Menurut beliau, tindakan yang dikenakan itu merupakan usaha berterusan pihaknya dalam membanteras dan mencegah kegiatan penipuan.

"Sebanyak 22 ahli yang didapati bersalah telah didenda sebanyak RM17,400 oleh mahkamah bagi kesalahan yang melibatkan penipuan pengeluaran perumahan KWSP.

"Salah seorang daripada mereka telah dijatuhi hukuman penjara, manakala 16 lagi berkemungkinan dipenjarakan sehingga enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

"Adalah menjadi keutamaan kami untuk memastikan simpanan ahli terus dilindungi termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang didapati bersalah mengeluarkan simpanan persaraan mereka secara tidak sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Nik Affendi berkata, mereka yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan hanya akan dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama dalam tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan.

Bagaimanapun, kata beliau, bagi ahli yang tidak memulangkan wang atau berbuat demikian selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, maka mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama untuk selama-lamanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penipuan pengeluaran turut membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran simpanan KWSP mereka.

Justeru itu, katanya, setiap permohonan pengeluaran dan dokumen sokongan yang diterima oleh pihaknya akan disemak secara terperinci dan dirujuk dengan pihak berkaitan untuk menentukan kesahihannya.

"Sistem KWSP berkemampuan mengesan ahli yang telah membuat penipuan walaupun selepas pengeluaran dibuat.

"Pegawai KWSP juga dari semasa ke semasa dilengkapkan dengan maklumat terkini berkaitan kes penipuan terutama modus operandi yang digunakan oleh ahli atau sindiket terbabit," katanya. Lidah Rasmi UMNO

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...