Monday, February 6, 2012

Pejabat MB ambil serius ‘serang’ peribadi Exco

Elizabeth Wong
6 Februari 2012 SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor mengambil berat spekulasi tidak berasas susulan laporan penahanan seorang lelaki oleh pihak berkuasa Indonesia, yang dikaitkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong.

Kenyataan media dikeluarkan Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini berkata, Kerajaan Negeri akan meneliti laporan yang dibangkitkan media dan akan membuat tindakan susulan jika ia memberi implikasi ke atas kerajaan, pemimpin serta pentadbiran Negeri Selangor.

Perkara itu juga akan dibawa ke Mesyuarat Biro Politik PKR pada Rabu ini dan sebarang keputusan akan diumumkan kepada rakyat dengan kadar segera, kata kenyataan itu.

Wong, wakil rakyat penggal pertama, pernah berhadapan dengan isu yang sama tiga tahun lalu dan memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri. Bagaimanapun tawaran itu ditolak oleh kerajaan negeri.

Beliau juga merupakan salah seorang anggota Majlis Pimpinan Negeri.

"Kerajaan Negeri berpendirian bahawa adalah tidak beretika jika terdapat sebarang cubaan daripada pihak-pihak tertentu untuk menyalahgunakan isu ini bagi mempertikaikan kredibiliti seseorang individu," menurut kenyataan itu lagi.

Kerajaan Negeri menyeru rakyat supaya tidak mengizinkan politik kotor dan serangan peribadi digunakan untuk mengalih pandangan terhadap agenda utama Kerajaan Negeri yang mentadbir Negeri Selangor secara telus, berkesan dan efektif yang diterapkan dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media dari Indonesia dan beberapa blog tempatan mendakwa seorang lelaki telah ditangkap oleh Imigresen Indonesia atas dakwaan memiliki pengenalan diri palsu dan tinggal melebihi masa yang dibenarkan.

Ketua Imigresen Batam, Gindo Ginting berkata, lelaki itu ditahan kerana berkelakuan mencurigakan ketika sedang membuat urusan passport di pejabat Imigresen, Jumaat lalu.

"Pemeriksaan mendapati, dia memiliki pasport Indonesia, kad pengenalan dan kad keluarga palsu yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Batam. Suspek juga memiliki passport Malaysia.

"Dia menggunakan nama Azmin Heli dan berasal dari Kuala Lumpur dengan alamat terakhirnya Jalan 4H, Ampang dan dilahirkan pada 27 Mei 1975," katanya yang dipetik dari portal Detiknews.com, hari ini.

Menurutnya, lelaki berkenaan memasuki Indonesia melalui pelabuhan Tanjung Balai Karimun pada 15 Februari 2009.

"Setelah disoal siasat, Helmi didapati tinggal lebih dari jangka masa yang dibenarkan menggunakan visa sementara. Dia juga mengaku menetap di beberapa buah bandar di Indonesia termasuk di Pekanbaru, Jakarta malah di beberapa daerah seperti Cengkareng, Cingkawang dan Pondok Kelapa," katanya.

Gindo berkata, suspek memberitahu dia dinasihatkan tinggal sementara di Indonesia oleh keluarga dan pimpinan PKR kerana didakwa diancam kerajaan Malaysia.

Katanya, selama dia melarikan diri ke Indonesia perbelanjaannya ditanggung parti itu dan keluarganya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...