Jan 18, 2012 Aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim mengundang kontroversi dengan melanggar norma dalam mencabar rakan-rakannya supaya bangkit mempertahankan hak mahsiswa. Kerana tindakan itu, beliau digantung selama tiga semester oleh universiti.
Pelajar berusia 22 tahun yang berada dalam tahun ketiga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu digantung pada 9 Januari lalu atas dakwaan merosakkan nama baik universiti berkenaan dan juga mengganggu ketenteraman awam.
Walau bagaimanapun, Adam berkeras akan meneruskan apa yang dimulakannya kerana berpendapat tindakan UPSI tidak memecatnya bermakna mereka mahu beliau kembali.
"Saya tertanya-tanya mengapa mereka tidak singkirkan saya ... adakah kerana mereka tahu saya akan kembali dan mengulangi perkara yang sama?
"Ini satu lagi masalah, bukannya saya malas untuk belajar, tetapi sekurang-kurangnya jika saya dibuang, saya boleh cari tempat lain untuk belajar.
"Tetapi tidak mengapa, nampaknya seperti mereka masih mahukan saya ... saya masih penting," lawak Adam, yang ketika ditemubual oleh Malaysiakini telah mendapat 36,169 sokongan atau ‘likes’ pada laman peminat Facebook "Kami Semua Adli Adam".
Bagaimanapun bagi memastikan momentum berterusan selama tempoh penggantungan 18 bulan itu, Adam, pelajar Sarjana Muda Pendidikan dalam pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), berkata beliau masih memikirkannya.
Katnya, jadualnya hanya dirancang setakat untuk dua hingga tiga bulan - yang akan termasuk mengadakan siri jelajah, ceramah dan dialog untuk menggalakkan kebebasan akademik dan autonomi di universiti.
"Saya akan kembali ke UPSI, tetapi apabila tiba masanya saya tidak lagi akan melihat kawan-kawan saya di sana ... mereka semua akan tamat pengajian di universiti dan saya perlu berfikir tindakan seterusnya," kata Adam sambil menambah beliau mungkin memilih mengikuti kursus jangka pendek dalam tempoh ini. - Mkini