Wednesday, January 18, 2012

MB Selangor Terima Surat Dari Hasan Ali

SHAH ALAM, 18 JANUARI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa beliau ada menerima surat daripada Datuk Dr Hasan Ali yang berpendapat bahawa pelantikan Dr Ahmad Yunus sebagai exco baru mungkin terlalu awal kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura PAS.

Menurut Abdul Khalid, beliau telahpun membalas surat tersebut dengan menyatakan keputusan untuk menggugurkan Hasan adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Januari lalu yang melucutkan beliau sebagai ahli PAS.

“Surat dari jawatankuasa PAS bertarikh 10 Januari 2012 telah mengesahkan keputusan pemecatan beliau berkuatkuasa serta merta dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.

Proses rayuan adalah amalan yang dipraktikkan oleh PAS sebagai sebuah parti politik dan saya percaya ia tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Justeru, Abdul Khalid berharap supaya bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dapat menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan bersikap terbuka.

Beliau dalam pada itu turut mengambil kesempatan dengan mengucapkan terima kasih di atas peranan yang dilaksanakan Hasan ketika berkhidmat sebagai ahli MMKN.

“Akhirnya kerajaan negeri amat menghargai segala nasihat dan pandangan yang diberikan DYMM Sultan Selangor dalam mengendalikan isu melibatkan pelantikan ahli MMKN ini.

Saya berharap dengan sempurnya pelantikan ini, akan menguatkan lagi barisan pimpinan negeri Selangor dalam melaksanakan reformasi pentadbiran dan pengurusan negeri,” jelasnya.

Hasan sebelum ini diminta mengosongkan jawatan exco Selangor kerana beliau telah dipecat daripada PAS pada 8 Jan dan dengan itu, tidak lagi mewakili parti berkenaan dalam kerajaan negeri.

Adun Gombak Setia itu dipecat daripada PAS kerana tindakannya yang dikatakan menyalahi dan merugikan kepentingan parti itu.

Tarikh rayuan Hasan kepada PAS tamat 7 Februari ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...