Wednesday, January 18, 2012

Wahai PM, sejak bila kes Teoh Beng Hock dipandang berat?

Sudah tahun 2012. Wahai Perdana Menteri, sejak bila kes Teoh Beng Hock dipandang berat?

Pada 2 Februari 2012, Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan untuk semakan semula kes Teoh Beng Hock.

Kami bakal menyambut Tahun Baru Cina ketiga tanpa Beng Hock, juga tanpa kebenaran, pada tahun 2012.

"Apakah sebenarnya yang terjadi pada 16 Julai 2009? Mengapa kemusykilan yang kami ajukan tidak terjawab?" Beberapa tahun kebelakangan ini, kami mengajukan soalan yang sama, di mahkamah, dalam media, dalam ceramah untuk ratusan dan ribuan kali, namun tetap tidak menemui jawapan. Dalam suasana hari raya yang bakal disambut dengan ahli keluarga bersama, kami masih berdepan dengan soalan yang berkali-kali menumpaskan kami.

Kebenaran diselubungi kemusykilan dan "jawapan andaian" yang nampaknya benar tetapi salah pada hakikatnya, gagal melakarkan kejadian sebenar yang berlaku pada hari tersebut. Ada yang bertanya, bukankah inkues telah dijalankan? Bukankah Suruhanjaya Diraja telah ditubuhkan? Bukankah laporan telah diumumkan? Memang benar kerajaan telah melakukan kesemua ini. Tetapi, adakah kita tahu siapa yang harus bertanggungjawab akhirnya? Pernahkah kita dengar unit atau pihak mana yang secara terbuka menyatakan kekesalannya? Adakah suspek telah disiasat? Adalah kemusykilan kita dijawab? Adakah kita telah mengetahui kebenaran?

Ada juga orang yang kata, kami harus terkeluar dari kesedihan, dan tidak lagi menagih simpati umum. Namun, apabila berdepan dengan sistem kehakiman yang gagal diyakini, yang mengecewakan - kami sekadar mampu memperingatkan, mempersoalkan berkali-kali, "Di manakah kebenaran yang kita tuntut?"

Saya masih ingat, ketika laporan Suruhanjaya Diraja diumumkan, pertikaian mengombak dalam masyarakat. Tidak sukar untuk kita perhatikan, bahawa Beng Hock menggalas harapan orang ramai untuk menemui kebenaran. Harapan sedemikian sebenarnya keprihatinan orang ramai terhadap satu masyarakat yang bebas dari kezaliman dan keganasan. Harapan sedemikian menunjukkan bahawa kebenaran adalah mustahak. Seandainya kebenaran tidak penting, maka keganasan dan kezaliman yang tidak dikecam dan dihukum berdasarkan undang-undang bakal kembali semula. Usah lagi kami berbicara untuk mempertahankan nilai masyarakat yang lain.

Kami hanya membuat rayuan pada tahap minima, untuk "mengetahui kebenaran", agar orang yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan. Jikalau tidak, apakah hati keluarga kita boleh terubat dengan satu jawapan yang kabur? Apakah ia boleh meredakan roh satu nyawa yang terpaksa ditamatkan pada usia 30 tahun?

Kes Anwar Ibrahim 901 memperlihatkan keprihatinan rakyat terhadap satu-satu kes mahkamah. Puluhan ribu rakyat membanjiri tempat letak kerata di luar mahkamah untuk menunjukkan keprihatinan dan sokongan mereka. Justeru itu, kami, keluarga Beng Hock, mengharapkan sokongan yang sama dalam kes Beng Hock. Kami menyeru agar rakyat hadir pada 2 Februari di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman di Putrajaya pada jam 9 pagi - hari Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan terhadap semakan semula keputusan kes Beng Hock. Ia mungkin peluang terakhir keluarga Teoh membuat rayuan.

*Alamat Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Presint 3, 62506 Putrajaya.
**Teks ini diterjemah dan disunting daripada tulisan Teoh Lee Lan (gambar atas), adik kepada mendiang Teoh Beng Hock dalam bahasa Cina.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...