Wednesday, January 18, 2012

SPRM: Ahli keluarga menteri akan diwajib isytihar harta

azlanAhli keluarga dan pasangan menteri kabinet tidak lama lagi akan diwajipkan mengisytiharkan harta dan aset mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut portal berita the Star yang memetik pengerusi lembaga penasihat panel SPRM Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh tindakan itu bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau juga dipetik berkata bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara prinsip telah bersetuju dan berharap ia akan dilaksanakan tidak lama lagi.

"Pasangan dan ahli-ahli keluarga mereka dalam pentadbiran Persekutuan juga akan diperlukan untuk melakukan perkara yang sama.

"Ahli-ahli keluarga akan mengisytiharkan semua aset mereka melalui akuan berkanun untuk memudahkan bagi SPRM untuk memulakan apa-apa siasatan apabila diperlukan," katanya lagi.

Minggu lalu, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli exco majlis kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengisytiharkan harta mereka secara terbuka manakala Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria juga membayangkan semua hakim juga akan dikehendaki berbuat demikian.

Kemelut terbesar timbul apabila keluarga Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil diheret dengan skandal projek ternakan lembu syarikat Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ia sehingga menyaksikan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat itu terpaksa bercuti tiga minggu sementara menunggu siasatan dijalankan.

Sementara itu Bernama melaporkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mencadangkan salinan fail pengisytiharan harta anggota pentadbiran persekutuan termasuk anggota kabinet, disimpan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Pengerusinya Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh berkata selain mencerminkan ketelusan, usaha itu memudahkan siasatan jika berlaku dakwaan rasuah.

"Jadi kita cadangkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) supaya apa yang telah diisytiharkan di Jabatan Perdana Menteri, satu salinan dipanjangkan kepada kita untuk disimpan di bawah Pejabat Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini.

Katanya cadangan itu dikemukakan semasa perbincangan dengan Perdana Menteri pada 12 Dis lalu.

Zaitun berkata pengisytiharan harta itu meliputi anggota keluarga terdekat iaitu isteri, suami dan anak, serta perlu dibuat secara akuan berkanun untuk memudahkan tindakan diambil jika berlaku penipuan dalam pengisytiharan.

"Kalau pengisytiharan hanya melibatkan individu itu seorang sahaja, tidak termasuk anggota keluarga, harta atau aset miliknya boleh dipindahkan kepada nama anak, isteri atau suami," katanya yang berharap cadangan tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata sebagai permulaan, langkah itu hanya kepada anggota pentadbiran persekutuan dan berharap dapat disusuli kerajaan negeri selepas ini.

Mengulas mengenai kerajaan Pulau Pinang yang melaksanakan langkah itu tanpa memasukkan anggota keluarga terdekat, Zaitun Zawiyah berkata: "Saya fikir mereka wajar masukkan anggota keluarga, sebab jika individu itu sahaja tidak memadai.

"...jika mereka tidak ada apa yang mahu disorokkan mengapa tidak."

Berhubung cadangan supaya pembiayaan politik dibuat atas nama parti dan bukan akaun individu, Zaitun Zawiyah berkata saranan itu telah dipersetujui dan dibentangkan di Parlimen.

Diharap semua parti politik akan ambil serius cadangan itu demi kebaikan semua, baik parti pembangkang mahupun kerajaan, katanya. Mkini

KMPP gesa wakil rakyat UMNO isytihar harta untuk yakinkan rakyat

2012/01/18 GEORGETOWN: Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) hari ini menggesa semua 11 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) UMNO di negeri ini mengisytiharkan harta bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Setiausaha KMPP, Mohd Noor Mohd Abdul Kader, berkata langkah itu akan membuktikan ketelusan mereka sekali gus meyakinkan rakyat untuk menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

"Selain Adun UMNO di Pulau Pinang, KMPP juga mahu wakil rakyat dari pakatan pembangkang turut mengistiharkan harta mereka secara telus agar rakyat negeri ini dapat menilai kedudukan mereka," katanya pada sidang akhbar di sini.

"KMPP membuat gesaan itu susulan tindakan 10 Exco kerajaan negeri termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengisytiharkan harta masing-masing baru-baru ini," katanya.

Selain itu, Mohd Noor berkata, KMPP yakin UMNO mampu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang jika parti itu memberi peluang kepada muka baru yang berkelayakan.

"Kami percaya jika calon 'winnable candidate' bertanding lebih banyak kerusi UMNO akan menang dan ini secara tidak langsung akan membantu orang Melayu di Pulau Pinang," katanya. - BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...