Tuesday, February 21, 2012

Bukti Pakatan Telus : Selcat akan dengar lagi kes tuduhan salah guna kuasa

SHAH ALAM, 21 FEB: Berbeza dengan pentadbiran Barisan Nasional yang mahu menyembunyikan kesalahan, kerajaan negeri Pakatan Rakyat sentiasa bersikap telus dan terbuka untuk memastikan penyelewengan atau salah guna kuasa didedahkan kepada rakyat.

Terbaru, kerajaan Pakatan Selangor akan memulakan sesi pendengaran awam awal bulan depan untuk mendengar penjelasan tentang kes-kes yang melibatkan kerajaan negeri.

Antara kes yang akan didengar melibatkan dua buah syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang didakwa menyalahgunakan dana awam RM180 juta yang diterima dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beberapa orang yang bertanggungjawab berhubung pengurusan kewangan Yayasan Selangor seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 serta isu perlombongan pasir yang mengaitkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd, juga akan dipanggil memberi pendengaran

Siri pendengaran awam itu akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Pengerusi Selcat Datuk Teng Chang Khim berkata, kesemua pendengaran awam ini akan diadakan dalam tempoh tiga hari bemula 5 Mac ini.

Beliau berharap semua orang tidak kira sama ada orang awam mahu pun menteri-menteri yang mempunyai maklumat dalam kes-kes ini dapat tampil memberi kerjasama kepada beliau dan Selcat.

Tambah Teng yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Selangor, apa yang dilaksanakan oleh Selcat ini adalah perkara biasa dalam negara-negara Komanwel.

Beliau turut mengingatkan pihak-pihak tertentu yang menuduh Selcat sebagai “tidak berani” supaya menyedari bahawa undang-undang hanya membolehkan Selcat berfungsi dalam keadaan yang paling terhad kerana ia bukan badan penyiasat seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau pun Kastam Diraja.

Jelasnya, peranan Selcat adalah untuk memastikan ketelusan, memantau, mendengar pendapat sistem pentadbiran sesebuah institusi dan mendengar penjelasan dari pihak yang terlibat.

“Pihak yang menuduh jangan buat tidak faham tentang ini (Selcat). Kenapa hendak mempolitikkan? Jika ia melibatkan rasuah, laporlah kepada SPRM atau polis. Jangan jadi seperti anjing menyalak bukit.

“Tidak kira sesiapa sama ada menteri, ahli politik, pengurus syarikat, semuanya tertakluk dengan peraturan yang ditetapkan oleh dewan negeri,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini semalam.

Tiga isu yang akan dibangkitkan pada siri pendengaran awam itu nanti ialah:

1. Menyambung semula pendengaran awam mengenai pentadbiran Kumpulan Semesta Sdn bhd, anak syarikat negeri Selangor yang bertanggungjawab dalam isu perlombongan pasir. Sesi pendengaran kes ini terpaksa dipanggil semula setelah sebelum ini telah ditangguhkan untuk menunggu keterangan dan bukti-bukti yang akan dibentangkan oleh beberapa saksi.

2. Selcat juga akan mendengar penjelasan daripada mereka yang bertanggungjawab dalam Yayasan Selangor berdasarkan Laporan Audit Dalaman Selangor 2010.

3. Perkara yang berhubung dengan anak-anak syarikat PKPS yang melibatkan pinjaman RM180 juta oleh PKPS Agro Industry Sdn Bhd dan Premium Agro Products Sdn Bhd. – Roketkini.com

http://wartablogger.blogspot.com/2012/02/bukti-pakatan-telus-selcat-akan-dengar.html

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...