Sunday, January 15, 2012

Tunku Aziz: Jangan lupa sejarah

ALOR SETAR, 14 JAN: Sejarah seolah mengulang dirinya, dan Malaysia kini berada di persimpangan jalan di mana rakyat mempunyai peluang keemasan untuk melakukan perubahan positif.

Demikian intipati ucapan Naib Pengerusi DAP Senator Tunku Abdul Aziz di Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Stadium Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah di sini hari ini.

Mengimbas kenangan pasca tahun 1969, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim pernah memegang jawatan yang sama pada saat transisi 1970 sewaktu negara sedang pulih daripada tragedi rusuhan tahun sebelumnya; di mana parlimen telah digantung dalam keadaan hubungan antara kaum yang sedang retak dan tegang.

“Kali ini pula, Seri Paduka sekali lagi menaiki takhta dalam keadaan negara berada di persimpangan jalan. Sejak tahun 2008 rakyat Malaysia sudah mula menyuarakan rintihan mereka,” katanya kepada hampir 3,000 perwakilan PAS, PKR dan DAP yang membentuk Pakatan Rakyat dari seluruh negara.

Menurutnya, beliau masih ingat selepas transisi, PAS telah menyertai Barisan Nasional yang baru ditubuhkan pada awal 1970-an sebagai menggantikan Perikatan.

“Saya juga harap PAS akan sekali lagi menyertai Kerajaan Persekutuan, cuma kali ini bukan dengan Barisan Nasional tetapi bersama parti DAP dan PKR dalam Kerajaan Pakatan Rakyat!” tambah beliau, disambut gelak tawa oleh para hadirin.

Tunku Aziz menjelaskan tentang berkurangnya kepercayaan rakyat terhadap institusi awam berikutan gejala korupsi yang menular di segenap lapis badan-badan kerajaan yang menjejas proesionalisme dan kredibiliti mereka sebagai pemegang amanah rakyat.

“Malaysia telah mencatat prestasi terburuk selama 20 tahun, dan kadar CPI kita telah menurun untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3. Dalam skala 1 hingga 10, 10 adalah yang terbaik. Ini jelas menunjukkan kegagalan usaha Kerajaan Pusat untuk membasmi gejala rasuah,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa adalah menjadi tugas Pakatan Rakyat untuk melaksanakan agenda perubahan demi memulihkan perkhidmatan awam daripada penyakit yang disebabkan oleh tadbiran korup UMNO dan Barisan Nasional.

“Kerajaan BN tidak berminat untuk melakukan reformasi institusi. Sebaliknya, mereka sedang mengambil kesempatan ke atas kelemahan-kelemahan yang sedia ada.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai kerajaan yang akan datang untuk memulihkan institusi-institusi awam demi menyelamatkan negara kita,” kata beliau. – Roketkini.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...