ALOR SETAR, 14 JANUARI : Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh pentadbiran Umno-Barisan Nasional merupakan contoh paling ketara kegagalan mereka untuk menggunakan kekayaan negara untuk mengangkat martabat komuniti Melayu.
Ini kerana, perlaksanaan DEB oleh Umno-BN didorong prinsip pengagihan peluang dan pinjaman perniagaan kepada segelintir kroni tanpa kerpertanggungjawaban. Ini mengakibatkan peluang-peluang tersebut disia-siakan dan duit rakyat dihabiskan tanpa menguntungkan negara mahupun orang Melayu.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan pengurusan DEB oleh Umno-BN selama lebih tiga dekad telah hanya menguntungkan segelintir tauke perniagaan Melayu yang juga merupakan kroni mereka.
“Kita tidak lagi memerlukan Umno untuk menguruskan Dasar Ekonomi Baru. Kita juga menyatakan penswastaan tidak boleh menjadi asas DEB kerana ianya mencengkam rakyat.
“Kita tidak mahu lagi cara pentadbiran dikuasai oleh politik pengagihan kroni,” kata Abdul Khalid ketika membahaskan ucapan Tawaran Jingga dengan tajuk “Anti-monopoli” di konvesyen Pakatan Rakyat di sini hari.
Menurutnya, pentadbiran Pakatan yang sekarang sudah menguasai empat negeri dan bakal mengambilalih Putrajaya perlu menghapuskan program yang tidak mementingkan rakyat sebagai usaha membetulkan kesalahan pentadbiran Umno-BN.
Beliau juga berkata ekonomi negara perlukan pertumbuhan supaya keuntungan yang diperolehi dapat diberikan kepada rakyat dan bukannya membebankan rakyat dengan hutang negara.
“Perkara terpenting dalam pengurusan ekonomi ialah membetulkan yang salah dan mengutamakan yang betul.
“Bererti kalau program itu salah dan tidak memberikan manfaat kepada rakyat kita hapuskan dan tidak membiarkan ia berlaku. Melalui perkara ini pemberian terus kepada rakyat dapat dilakukan.
“Kalau tiada pertumbuhan kita akan memberikan hutang dan hanya menambahkan masalah. Konsep yang diutarakan membangun negara supaya lebih mewah dengan asas kemewahan diagihkan kepada rakyat bukan mengambil harta orang lain dan berikan kepada orang lain,” katanya.