Thursday, January 26, 2012

Penjelasan Ketua Audit Negara Hanya Untuk Bersihkan Nama NFCorp: Zuraida

Penjelasan Ketua Audit Negara Hanya Untuk Bersihkan Nama NFCorp: ZuraidaPETALING JAYA- Penjelasan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berhubung projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan pada Rabu sekadar dilakukan untuk membersihkan nama NFCorp yang merupakan pengendali projek berkenaan, kata Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin.

"Namun penjelasan itu sudah terlambat dan gagal menutupi skandal tersebut kerana duit telah digunakan untuk aktiviti-aktiviti lain," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, laporan audit jelas menunjukkan NFC gagal dikendalikan dengan baik.

"Angka dalam laporan audit menunjukkan beberapa kelemahan syarikat itu kerana tidak mencapai objektif penubuhannya," kata beliau.

Beliau menambah, wujudnya unsur 'penyelewengan' bukan diterjemahkan dalam bentuk perkataan tetapi dalam laporan audit yang jelas membuktikan kegagalan NFCorp dalam melaksanakan projek tersebut.

Kontroversi projek ternakan lembu itu bermula apabila pembangkang mendedahkan beberapa dakwaan berkaitan penyelewengan peruntukan kerajaan untuk projek berkenaan.

Pembangkang turut cuba mengheret Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil ke dalam isu itu kerana suaminya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail serta anak-anaknya adalah peneraju National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) yang merupakan syarikat pengendali NFC.

Pada Rabu, Ambrin menjelaskan laporan audit tidak ada menyebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir atau ‘in a mess’ mahuppun soal penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap NFC.

Sebaliknya, beliau berkata, “perkataan-perkataan ini telah digunakan oleh pihak-pihak lain dan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan".

Katanya, pada pendapat JAN, sama ada terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pelaksanaan projek itu bergantung kepada penyiasatan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menurut Ambrin, pada perspektif audit, hanya terdapat aspek kelemahan dalam pelaksanaan projek itu yang menyebabkan kerajaan menangguhkannya pada Mei 2009, iaitu sebelum pengauditan, sehingga satu kajian daya maju dan model perniagaan dijalankan.

“Perkara ini ada dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010. Ia membayangkan Kerajaan Malaysia sememangnya sedar akan kelemahan-kelemahan dalam pelaksanaan projek ini dan telah mengambil tindakan untuk menentukan hala tuju projek,” katanya dalam satu kenyataan semalam. -mStar

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...