24 JAN — Negara kita ini adalah sebuah negara Persekutuan (federation) dan bukannya sebuah negara ‘unitary’. Putrajaya itu bukan pusat pentadbiran kerajaan pusat tetapi pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia. Persekutuan kita terbentuk pada 2hb Februari 1948 dalam mana kesebelasan negeri-negeri yang berada dalam Semenanjung menandatangani perjanjian untuk bersatu dan membentuk sebuah persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu (PTM).
Justru, kesemua negeri-negeri bersekutu dan tidak bersekutu serta dua buah negeri Straits Settlement Pulau Pinang dan Melaka membentuk sebuah persekutuan yang berpusat di Kuala Lumpur. Tidak perlu diulangi bagaimana persekutuan ini terbentuk kerana sudah terlalu banyak saya tulis sejak 3 tahun yang lepas. Tetapi yang penting di sebut pada hari ini ialah negeri-negeri merupakan negeri-negeri yang berlainan di bawah jajahan Raja-Raja nya dan kerajaan mereka sendiri.
Tetapi dengan wujudnya Persekutuan Tanah Melayu itu, negeri-negeri Sembilan negeri yang beraja dan dua negeri selat itu bersatu di bawah sebuah persekutuan. Maka selepas merdeka wujudlah sebuah negara persekutuan yang berdaulat dan tentunya kedaulatan kerajaan persekutuan itu datangnya dari kedaulatan negeri-negeri di dalam persekutuan itu.
Dalam sesebuah negara persekutuan, kerajaan persekutuan wajib menghormati kerajaan-kerajaan negeri di bawahnya sebagai negeri-negeri yang berdaulat. Kerajaan Persekutuan wajib menghormati rakyat negeri-negeri itu kerana rakyat negeri-negeri itu mempunyai legislatifnya sendiri. Siapa yang rakyat pilih itu wajar dihormati oleh pimpinan persekutuan.
Tetapi sejak 3 dekad yang lalu pimpinan persekutuan tidak menerima semangat persekutuan itu dengan kerelaan malahan persekutuan seolah-olah menjajah negeri-negeri di bawahnya terutamanya kepada negeri-negeri yang dipilih rakyat itu bukannya dari parti atau kelompok kumpulan pemimpin di peringkat persekutuan. Kerana apa semuanya ini? Politik kepartian dan lebih-lebih lagi politik peribadi mengatasi segala-galanya, waimma lebih kuat dari agama dan Tuhan.
Semangat dalam Perjanjian Persekutuan itu telah dilacurkan secara terang-terangan dalam isu royalti minyak bagi negeri Kelantan dalam mana Petronas (Kerajaan Persekutuan) enggan membayarnya kepada Kelantan semata-mata rakyat Kelantan memberikan mandat kepada PAS untuk memerintah negeri itu.
Barang diingat perjanjian ‘vestine’ di antara Petronas dengan kerajaan negeri Kelantan yang ditandatangani pada bulan Mei 1974 jelas adalah perjanjian Petronas dengan rakyat Kelantan yang diwakili oleh Dato Mohamad Nasir, Menteri Besar PAS Kelantan, semasa itu. Petronas yang diwakili oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato Mohamad Nasir itu menanda tangani ‘vestine deeds’ semasa itu merupakan perjanjian di antara Petronas dengan rakyat Kelantan. Ia bukan perjanjian di antara Petronas dengan Umno Kelantan.
Perjanjian yang serupa telah ditanda tangani oleh Petronas dengan semua kerajaan-kerajaan negeri tidak kira yang ditadbir oleh Umno, PAS atau mana-mana parti sekali pun. Ia merupakan perjanjian Petronas dengan rakyat negeri-negeri yang berdaulat dalam persekutuan ini.
Tindakan Dr Mahathir untuk tidak menghormati perjanjian di antara Petronas dengan rakyat Terengganu selepas pilihanraya 1999 dahulu menjelaskan kepada kita semua yang beliau (Mahathir) telah melanggar perjanjian di antara Kerajaan Persekutuan dengan rakyat negeri Terengganu dan sekarang dengan rakyat negeri Kelantan pula.
Tetapi Petronas telah kembali membayar royalti itu kepada negeri Terengganu setelah Umno mengambil alih kerajaan Terengganu tetapi dalam bentuk dan cara yang agak pelik dan tidak begitu telus. Bagi Umno Petronas hanya akan membayar royalti apabila rakyat negeri-negeri memberikan mandat kepada Umno selepas mana-mana pilihanraya.
Ini merupakan pencabulan secara terang-terangan terhadap perjanjian ‘vestine’ yang ditanda tangani itu dan juga merupakan pelacuran terhadap semangat persekutuan yang kita telah wujudkan itu. Itulah sebabnya saya selalu berkata yang pimpinan UMNO hari ini hanya bernafsu uintuk berkuasa tetapi tidak tahu asas keperluan untuk memimpin sebuah negara persekutuan seperti negara kita ini.
Bagi mereka, kuasa itu modal untuk membina kekayaan dan membentuk beberapa ‘warlords’ yang akhirnya mempengaruhi sistem berpersekutuan kita ini. Bagi mereka itu ‘kuasa’ adalah ‘ultimate’. Samada moral itu terpilihara atau tidak itu tidak menjadi hal. Negara jahanam dan rakyat porak peranda, itu bukan tanggungjawab mereka.
Saya mencadangkan kepada mana-mana pihak untuk mengadakan forum terbuka tentang isu ini kerana ia adalah isu yang sangat penting Isu ini telah dilalaikan sehinggakan pimpinan sekarang sendiri tidak memahami konsep ‘Federalism’ yang kita sepatutnya amalkan selama ini.
Oleh kerana tidak memahami Perjanjian Persekutuan dan semangat yang ada bersamanya itulah yang menyebabkan masih ada rakyat yang masih menyokong kumpulan yang hendak menjahanamkan persekutuan kita ini.
Kita tidak mahu lagi melihat semangat persekutuan ini terus menerus diporak perandakan oleh elemen-elemen penjajahan seperti tindakan-tindakan yang menyerupai seperti Malayan Union dilakukan oleh kerajaan persekutuan terhadap negeri-negeri yang berada di dalam wilayah persekutuan, bernama Malaysia ini.
Rakyat telah menolak Malayan Union dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, kenapa pula dalam perlaksanaannya diperlakukan seperti kita masih berada di dalam kerajaan Malayan Union? — http://aspanaliasnet.blogspot.com/