Thursday, February 9, 2012

Zuraida, Rafizi lantik kumpulan peguam hadapi Shahrizat


Saksi NFC sudah lama bersedia 

PETALING JAYA 8 Feb: Kesemua saksi yang bakal dipanggil berhubung skandal penyelewengan dana National Feedlot Corporation (NFC) sudah lama bersedia untuk tampil di mahkamah, kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau mengulas tindakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mengemukakan saman terhadapnya dan Pengarah Strategi KEADILAN, ekoran pendedahan yang dikaitkan dengan keluarga menteri itu.

“Saksi-saksi kami sudah lama bersedia untuk tampil bagi bagi membantu kes ini dan saman ini akan memudahkan rakyat mengetahui bagaimana wang mereka disalah guna dalam skandal NFC ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mengalukan saman itu, Zuraida menegaskan beliau dan rafizi tidak gentar menghadapinya dan sudahpun melantik empat peguam bagi menghadapi Shahrizat.

“Kami yakin saman itu tiada asas dan bersedia bertemu di mahkamah pada bila-bila masa sahaja dan bagi tujuan ini, kami sudah melantik pasukan peguam yang terdiri daripada Ranjit Singh, Sivarasa Rasiah, N Surendran dan Gopal Sreenevasan,” katanya.

Kesempatan dalam mahkamah kelak katanya, akan dimanfaatkan dengan mendapatkan maklumat terperinci mengenai penyelewengan NFC termasuk dokumen rasmi bagi membantu rakyat melihat gambaran sebenar skandal itu.

Sementara itu, Sivarasa berkata, pengurusan NFC masih gagal menjawab soalan mudah yang pernah dibangkitkan seorang bekas pegawai polis berhubung skandal itu.

“Keluarga Shahrizat perlu jawab samada segala perbelanjaan yang didedah sehingga kini adalah dari dana NFC atau tidak?

“Soalan ini juga pernah dibangkitkan Bekas Pegawai Kanan Polis, saudara Mat Zain Ibrahim dan sehingga kini tidak dijawab pengurusan NFC,” tegasnya.

Diakhir sidang media hari ini, kesemua mereka sepakat agar pentadbiran Datuk Seri Najib Razak segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi menyiasat skandal ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=26276

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...