KOTA BHARU- Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berazam untuk mempastikan PAS menang cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang tanpa memikir apakah jawatan yang beliau akan pegang selepas itu.
Beliau yang sampai kini belum pasti akan bertanding di Kubang Kerian atau dipindahkan ke tempat lain sebagaimana yang diura-urakan berkata, beliau tidak pernah mengejar apa-apa jawatan sebagaimana yang diura-urakan.
“Bukan matlamat saya untuk menjadi Menteri Besar, yang saya nak adalah untuk melihat PAS menang dalam pilihan raya umum nanti,” katanya.
Salahudin mengulas ura-ura beliau adalah calon Menteri Besar Johor jika Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagi Salahudin, terlalu awal untuk bercakap tentang jawatan MB itu buat masa sekarang kerana ia hanya akan dibincangkan selepas Pakatan menang dalam pilihan raya umum nanti.
Sebuah akhbar harian hari ini menyiarkan berita kononnya Salahudin adalah bakal MB Johor jika Pakatan menang di Johor nanti.
Namun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS belum membuat sebarang keputusan akhir mengenai calon-calonnya dalam pilihan raya umum akan datang.
“Begitu juga soal siapa yang akan menjadi Menteri Besar Johor belum lagi dibincangkan di kalangan Pakatan Rakyat atau di peringkat pimpinan PAS Pusat.
“Ini kerana, soal siapa yang akan menjadi MB Johor hanya diputuskan setelah pilihan raya selesai dan Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya tersebut,” kata Mustafa dalam kenyataannya hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pihak media khasnya Sinar Harian tidak sepatutnya membuat spekulasi siapa bakal menjadi MB Johor sebagaimana laporan mereka hari ini.
“Sehingga kini, kita hanya berbincang soal bagaimana mahu memperkuatkan PAS di Johor dalam pilihan raya umum akan datang dan nama Salahudin hanya disebut sebagai salah seorang calon untuk menjadi pemangkin PAS di Johor,” kata beliau.
Sebagai ahli PAS, Salahuddin memberi laluan dan kepercayaan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya kerana beliau tidak berhak tentukan.
Salahudin belum pasti apakah beliau akan kekal di Kubang Keriang atau balik ke Johor sebagaimana yang disebut-sebut media.
"Terpulanglah kepada parti. Saya sedia bertanding di mana-mana kerusi yang ditetapkan nanti,” katanya. -Harakahdaily