DAP Melaka menyambut baik saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya setiap pemimpin di negara ini diwajibkan mengisytiharkan harta dan aset masing-masing kepada badan terbabit.
Ia bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan dan sebagai usaha memperlihatkan corak pentadbiran yang bersih di samping menyakinkan terhadap kepercayaan rakyat.
Justeru, ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him berkata, sekiranya Pakatan Rakyat diberi kepercayaan untuk mentadbir negeri terbabit, pihaknya juga akan berbuat demikian.
Menurutnya, pemimpin BN di Melaka kini juga wajar berbuat demikian.
"Kita DAP Melaka memang bersetuju untuk mengumumkan harta dan pendapatan kepada SPRM sebelum mentadbir kerajaan negeri ini supaya rakyat dapat melihat pemimpin yang dipilih betul-betul bersih dan telus.
"Itu memang pendirian kita dan saya ingat untuk Melaka pemimpin BN perlu mencontohi negeri yang ditadbir Pakatan.
"Ini janji kita sekiranya Pakatan diberi kepercayaan dan kita juga akan berbuat sebegini dalam usaha untuk merapati dengan rakyat berbilang kaum tak kira apa bangsa," katanya.
Beliau ditemui ketika menghadiri satu majlis rumah terbuka salah seorang penduduk di Bandaraya Melaka hari ini.
Sempena tahun baru ini, beliau turut berharap tuah berpihak kepada Pakatan dan akan mendatangkan sesuatu perubahan kepada rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Semoga dengan sambutan tahun naga ini segala impian akan bersama-sama membawa kemajuan dan keharmonian rakyat akan termakbul.
"Kita mesti ada satu impian dan kali ini memang kita bersama dengan rakyat kita ada satu impian untuk membawa satu perubahan sebab itu kita laungkan slogan 'Kerajaan baru impian baru'," katanya.
Turut serta, ADUN Bachang Lim Jak Wong dan beberapa pemimpin DAP tempatan. - Mkini