Lagi suara desak Gerakan keluar BN
KOTA BHARU, 19 Jan: Barisan Nasional (BN) tidak mampu lagi mempertahankan hegemoninya apabila pakatan pelbagai parti hampir 55 tahun dalam gabungan itu kini semakin rapuh.
KOTA BHARU, 19 Jan: Barisan Nasional (BN) tidak mampu lagi mempertahankan hegemoninya apabila pakatan pelbagai parti hampir 55 tahun dalam gabungan itu kini semakin rapuh.
Retak menunggu belah semakin jelas sekarang, lebih-lebih lagi Gerakan yang bergabung dalam BN selepas menawan Pulau Pinang pada pilihan raya umum 1969, mulai berani mempersoalkan keikhlasan Umno.
Gerakan diasaskan Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas bersama Tan Sri Dr Tan Chee Khoon, Dr J.B.A Peter, Tun Dr Lim Chong Eu, Prof Wang Gangwu dan V. Veerapan pada 1968.
Bagaimanapun hasil pujukan Tun Razak Hussin parti itu menyertai BN pada 1972 dengan alasan mengelakkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang kembali.
Sejak itulah Gerakan mulai hilang identiti sebagai parti pelbagai kaum apabila lebih didominasikan kaum Cina.
Kini selepas hampir 40 tahun mimpi sebahagian pemimpin Gerakan dan Umno mulai berlainan, lebih-lebih lagi selepas Pulau Pinang terlepas ke Pakatan Rakyat pada Mac 2008.
Suara-suara muak dan kecewa semakin nyaring apabila ramai pemimpin menyuarakan mereka sekadar menjadi alat Umno bagi mencengkam kuasa politik Malaysia.
Sebulan selepas tsunami Mac 2008 Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Lee Kah Choon menjadi pemimpin kanan pertama keluar parti itu.
Pada 8 Mac tahun lepas seorang lagi pemimpin pusat Gerakan, Dr Hsu Dar Ren mengikut jejak langkah Kah Choon.
Beliau secara anak jantan menunding jari ke arah Umno yang mendominasi kuasa politik gabungan BN.
Tidak lama selepas itu pada 19 Oktober 2011 Setiausaha Gerakan Kedah yang juga Ketua Bahagian Padang Serai, Tang Hiang Lye mengambil langkah serupa.
Suara-suara kecewa dan mendesak Gerakan bersendirian seperti sebelum 1972 bergema hebat apabila Setiausaha Gerakan Kelantan, Lau Chin Chua (gambar) pada ucapannya di Mesyuarat Agung parti itu pada September tahun lepas secara terus terang mempersoalkan keikhlasan Umno.
“Pada peringkat awal Gerakan Kelantan mahu usul supaya Gerakan keluar daripada BN dimuatkan dalam usul peringkat pusat, namun mereka tolak.
“Namun saya tetap mahu berucap pada perhimpunan itu. Ekoran itu Setiausaha Agung meminta saya tidak menyebut perkataan mendesak keluar daripada BN.
“Saya memang tidak sebut permintaan itu, namun saya tanya kepada 2,100 perwakilan, siapa yang mengkhianati Gerakan, adakah DAP, PKR atau PAS, perwakilan menjawab tidak.
“Saya sebut lagi adakah Umno yang sabotaj Gerakan, tiba-tiba perwakilan dengan nada kuat menjawab ya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Chua bersara sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Bahagia, Kuala Krai tiga tahun lalu, memberi ingatan kepada Presiden, Tan Sri Koh Tsu Koon supaya segera membawa keluar parti itu sebelum terlambat.
Menurutnya, Gerakan perlu bertanding secara bersendirian seperti sebelum 1972 sekiranya mahu parti kembali kuat, memandangkan sekarang mereka banyak disabotaj Umno.
Bagaimanapun katanya beliau amat kecewa dengan pemimpin di atas apabila enggan mendengar keluhan sebahagian besar ahli di peringkat akar umbi.
Ekoran kedegilan Tsu Koon akhirnya pada 3 Januari lalu Cikgu Chua menghantar surat meletak jawatan sebagai Setiausaha Gerakan Kelantan yang disandangkan 21 tahun lalu.
Dan pada 14 Januari lalu beliau berceramah di pentas PAS di Wakaf Baru bagi menyedarkan masyarakat Cina dan Siam terhadap hipokrasi pemimpin Umno. - Harakah