Thursday, January 26, 2012

Misi PR tawan Johor, pertahan Selangor

Azmin AliKUALA LUMPUR – Selepas berjaya merampas negeri Selangor dan tiga negeri lain yang dikatakan sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), kini Pakatan Rakyat menyasarkan sebuah lagi negeri yang menjadi kubu kuat BN - Johor.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, adalah tidak mustahil untuk merampas negeri Darul Takzim itu kerana yakin rakyat Johor telah mula ingin melihat wahana politik baru di negeri itu.

Azmin melahirkan keyakinan itu ketika negara bersiap sedia untuk mengadakan PRU13, yang ramai menjangkakan akan diadakan menjelang pertengahan tahun ini.

Pada Mac 2008, PR yang dianggotai PAS, DAP dan PKR menawan Kedah, Pulau Pinang dan Perak, selain mengekalkan Kelantan yang dikuasai Pas sejak 1990.

Bagaimanapun PR hilang kerajaan negeri Perak pada awal 2009.

“Jika Johor berjaya dirampas, ini merupakan permulaan yang baik untuk Pakatan Rakyat (PR) menyusun langkah bagi menawan Putrajaya tetapi perkara ini tidak mungkin berlaku jika Sabah dan Sarawak tidak berada dalam genggaman,” kata beliau dalam satu wawancara bersama Sinar Harian Online semalam.

“Dalam usaha untuk menawan Johor, kami juga akan berusaha untuk mempertahankan Selangor dan dalam masa yang sama kami akan memperluaskan pengaruh ke daerah-daerah yang telah ditakluki,” katanya.

Sementara itu, Azmin turut mengulas kenyataan terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor yang meminta kepimpinan BN Selangor untuk merampas Selangor dengan apa cara sekalipun.

“Jelas kenyataan itu menunjukkan Najib menggalakkan ahlinya boleh menghalalkan apa cara sekalipun termasuk rasuah, mengugut ataupun merampas demi mencapai matlamat yang ingin dicapai.

“Jika beliau (Najib) merupakan kelompok yang sederhana, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana boleh membimbangkan rakyat,” kata Pengerusi PKR Selangor ini.

Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak menambah, Najib sebagai seorang pemimpin yang demokrat sewajarnya menghormati keputusan rakyat Selangor yang telah memilih PR sebagai peneraju baru negeri itu.

Beliau bagaimanapun tidak bimbang tentang situasi ini kerana merasakan apa yang berlaku sekadar retorik dalam politik semata-mata.

Katanya, maklum balas yang diterima oleh rakyat Selangor terhadap kepimpinan PR adalah sangat positif terutamanya kini rakyat Selangor dapat merasai hasil dari khazanah negeri itu. Sinar Harian

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...