Thursday, January 26, 2012

Merdekakanlah negara dari cengkaman bangsawan

Mobilisasi pertama yang pernah dianjurkan dalam perkembangan politik Melayu telah memilih Kuala Lumpur dan SITC sebagai tapak awal untuk merubah strata sosial dan politik Melayu yang sebelumnya berpaksikan kuasa kelas bourgeoisie - feudal. Di sini pernah tercambah benih awal dan pernah tegak berdiri pohon patriotik-demokrasi yang bertunjang kepentingan rakyat sehinggalah akhirnya dalam lekak-lekuk sejarah ia tercantas dan dilenyapkan bersama lembaran-lembaran sejarah yang dikoyak.


Jika Adam Adli, Safwan serta teman-temannya dari UPSI telah berjaya menjengkuh dan mencapai akar umbi masej perjuangan ini, bermakna mereka sudah bertemu dengan lembaran yang dikoyak itu. Di sinilah KMM yang terajunya adalah guru, wartawan, siswazah, pelajar SITC, Kolej Pertanian serta sebuah Sekolah Teknik Kuala Lumpur pada ketika itu tertubuh. Sebaliknya jika mereka masih kabur tentang fakta ini, bermakna mereka hanyalah seperti "berani senduk di belanga yang panas".

Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang tertubuh pada Mei 1937, dipimpin oleh Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Mustapha Hussain, Ahmad Boestamam, Dr. Burhanudin al-Helmi telah memimpin gerakan sosial pertama merekruit hanya tenaga intelektual Melayu. Tiada seorang pun bangsawan-aristokrat dipelawa menjadi anggotanya. Inilah benih reformasi yang pernah tumbuh demi mendukong idealisme politik kelas rakyat tertindas melawan bourgeoisie-feudal; kelas yang hidup mewah di bawah ketiak penjajah.

Akhbar Majlis ketika itu telah dijadikan wadah bagi menyuntik kesedaran kemerdekaan tulen dan perjuangan anti-British. Selepas perang (1942-1945) susuk-susuk ini jugalah mencetuskan PUTERA dalam satu gabungan bersama AMCJA. Kita melihat Hartal (1947) telah dilancarkan di seluruh negara telah menjadi tamparan paling hebat kepada Inggeris dan seluruh rakyat menyaksikan mobilisasi paling besar pernah berlaku dalam sejarah. Peristiwa ini telah menyebabkan British mula menyusun strategi baru mendampingi bangsawan Melayu dan mengasingkan kelas ini dengan rakyat bawahan. Tidak kurang 400,000 tentera British dari tanah-tanah jajahannya telah dibawa masuk ke Malaya dan selepas itu Darurat pun diistiharkan pada 20 Jun 1948 lalu terjadilah penangkapan beramai-ramai peminpin-peminpin Melayu yang berhaluan kiri. Mereka dinyahkan ke penjara, didera dan diseksa malah ramai juga dibunuh. Golongan bangsawan seluruhnya terselamat dan hidup mewah dan diberi berbagai kemudahan termasuk dihantar belajar ke London.

Pada selekoh genting ini UMNO menyambar kemudi dan lembaran sejarah dikoyak agar kabur dan terputus supaya ia tidak dapat dikesan oleh generasi yang mendatang. Yang terlepas dari tangkapan beramai-ramai ini telah mengambil sikap baru kerana PKMM, API, AWAS dan lain-lain telah diharamkan lalu masuk ke hutan bergerila bersama PKM - termasuk Mat Indera.

Tenaga yang pernah dicetuskan oleh KMM sebenarnya tidak boleh dimusnahkan oleh apa jua kuasa yang bersifat nisbi. Kini mahasiswa kembali berdiri seperti batang-batang magnet hidup menyemarakkan tenaga menghadapi situasi baru. Batang-batang magnet hidup ini sudah pasti berupaya bertindak balas mencerna kesedaran baru terhadap hak dan suara mahasiswa yang telah dirampas lebih 40 tahun yang lalu. Menjelang 24 Februari 1971 ini maka akan genaplah usia AUKU yang ke-41 tahun. Bermakna sudah 41 satu tahun tenaga kreatif dan minda mahasiswa dirantai. Setiap pelajar mewakili sebuah keluarga dan sebuah masyarakat tidak kira kecil atau besar. Bila pandangan dunia kaum mahasiswa dibongsai oleh sebuah pasu yang bernama AUKU bermakna sikap keluarga dan masyarakat yang mereka dampingi juga turut menjadi sangat pasif dan primitif.

PUTERA - AMCJA dan PAKATAN RAKYAT

Perkembangan sejarah ironinya sangat dialektis. Di atas teori ini masyarakat wujud dan terus berkembang. Dari gerakan kiri KMM kepada PKMM-PKM dan hinggalah terbentuk PUTERA- AMCJA. Gerakan-gerakan ini adalah gerakan seluruh rakyat kaum tani - proletariat menentang kuasa penjajah serta kelas bourgeoisie (bangsawan) Melayu UMNO. Kelas ini sedaya upaya berusaha untuk mempertahankan hegemoni dan struktur kuasa lama di mana kelas bangsawan - feudal adalah kelas berkuasa. Kononnya hanya mereka sahaja yang tahu mengurus negara.

Pembentukan PUTERA-AMCJA adalah kemuncak perjuangan kemerdekaan berpelembagaan yang telah disanggah dengan kejam oleh British dan UMNO hingga ramai daripada para pejuangnya merengkok di penjara dan dibunuh. Pembentukan Pakatan Rakyat walaupun belum semasak PUTERA-AMCJA namun ia adalah tenaga raksaksa rakyat yang sedang mara bagi memerdekakan kita semua daripada cengkaman hegemoni bangsawan Melayu yang sangat korup dan kotor itu.

Walaupun Pakatan Rakyat tidak semasak PUTERA-AMCJA namun tenaganya kini telah berjaya mengembalikan harapan untuk sebuah negara bangsa yang lebih patriotik dan demokratik. Perubahan daripada sebuah politik yang penuh akta dan ugutan kepada politik harapan untuk seluruh rakyat.

Dunia dikuasai pemberani

Dunia ini sebenarnya hanya boleh dikuasai pemberani... ! Yang takut tidak kira sama ada takut apabila dicabar berdebat, atau takut untuk turun ke mahkamah apabila disapina atau takut pada bini sama sekali tidak sewajarnya dipilih untuk memimpin. Pemimpin yang boleh disandarkan harapan ialah pemimpin yang berani. Orang yang berani adalah susuk pemimpin yang bertanggungjawab dan begitu juga sebaliknya.

Selama dua belas tahun rakyat telah menyaksikan bahawa Anwar Ibrahim adalah seorang yang benar-benar berani. Tidak ada di dalam dunia ini seorang yang telah dihina begitu buruk tetapi masih boleh bangun. Penghinaan terhadap Anwar serta keluarganya oleh pemimpin UMNO yang mengaku Islam tidak pernah dilakukan oleh mana-mana regim paling zalim negara di dunia ini. Tidak ada perbuatan yang lebih keji dari penghinaan yang dirancang oleh pemimpin UMNO terhadap Anwar serta keluarganya sepanjang 12 tahun yang lalu. Ini hanya kerana Anwar Ibrahim berani menyanggah dan menggugat takhta kuasa kelas bangsawan Melayu UMNO yang menjadi beban kepada rakyat.

Rakyat juga telah menyaksikan dengan mata kepala mereka "sikap melampaui batas" pemimpin-pemimpin UMNO dengan rekayasa mengaibkan seorang pemimpin lain yang menggugat kedudukan mereka. Rakyat juga menyaksikan tiada ulama’-ulama’ dan Majlis Fatwa yang berani mengajak pemimpin-pemimpin UMNO untuk meneliti ratusan ayat al-Quran yang menyebut Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Mereka juga tidak berani dan akan terhumban bersama apabila kuasa mungkar ini terbungkas. Mereka adalah makluk-makluk jahat yang sentiasa bersekongkol dengan sesiapa sahaja demi sedikit upah yang mereka terima.

Jika Adam Adli adalah anak-anak kayu yang kini sedang menyangkarkan akar pada bumi dan melonjak untuk tumbuh berdiri tegak maka Anwar Ibrahim adalah sebatang tongkat yang cukup keras dan mampat untuk disandarkan harapan. Hanya pohon-pohon yang hidup puncak di gunung dan sentiasa dipulas angin menjadi keras dan tumpat. Semakin keras angin memulas semakin kuat akarnya mencengkam bumi untuk ia tegak menjadi keras dan tumpat.

Dia sudah diuji. Dibalun, ditendang dan ditelanjang. Dihina dicaci dikeji, difitnah dan dipenjara. Sudah tentu aib yang diterima bukan kepalang untuk mengadap anak-anak, saudara, keluarga, teman-teman dan sahabat di dalam dan di luar negara.

Kini Anwar Ibrahim benar-benar untuk rakyat sandarkan harapan. Mengembalikan semangat juang 1937 yang mendukong kepentingan rakyat. Solidariti rakyat untuk Anwar pada 901 menunjukkan bahawa rakyat benar-benar yakin bahawa Anwar akan berjuang membela nasib mereka. Cengkaman regim bangsawan UMNO sejak 54 tahun lalu yang bergelumang rasuah, menindas dan salah gunakuasa sebenarnya tidaklah mudah untuk dibungkaskan melainkan kita mempunyai suatu kekuatan yang seimbang dengannya.

Anwar kini sedang memasuki tahap ketiga dalam hayat politiknya, menjadi tongkat untuk rakyat anak semua bangsa menyandarkan harapan dan menyelamatkan negara dari muflis kerana hutang negara kini sudah mencecah RM446.7bilion (Dec 2011) lebih kurang 54% dari KDNK Malaysia. Hutang yang tersangat besar ini sudah tentu mempunyai kesan komulatif (cumulative effect) berganda (kerana kadar bunga) dan akan mencecah 1 trillion pada 2019. Malaysia akan bankrup. Jika tidak benar unjuran ini maka Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan mengungkapkan "kekalahan UMNO adalah lebih baik untuk Malaysia". Selamatkanlah negara kita Malaysia!

*Tulisan ini dipetik dari blog Tongkat Bahaman.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...