

Najib berkata, ini sebaliknya mengukuhkan pemisahan kuasa yang jelas bagi setiap cabang institusi dan begitu juga cabang lain tidak campur tangan dalam urusan cabang yang lain.
"Sebagai ketua cabang eksekutif, saya hormati keputusan cabang lain dalam kerajaan, badan kehakiman," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebaik kepulangan beliau hari ini daripada lawatan rasmi dua hari ke Afrika Selatan.
Mahkamah Tinggi pagi Isnin telah melepaskan dan membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, pada 2008.
Najib berkata, kes ini dibawa oleh seorang individu persendirian dan adalah penting tuduhan beliau itu didengar di mahkamah.
"Jauh daripada menjadi satu perbicaraan bermotifkan politik, ia telah menjadi satu gangguan yang tidak dialu-alukan daripada hal yang lebih penting untuk mentadbir negara kita demi kepentingan rakyat Malaysia," katanya.
Ini merupakan tuduhan meliwat yang kedua dihadapi Anwar. Pada 8 Ogos 2000, dia disabitkan dan dihukum penjara sembilan tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana meliwat pemandunya, Azizan Abu Bakar.
Bagaimanapun, empat tahun kemudian, dia dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengubah sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara. -mStar

“Segala-galanya tentang teori konspirasi ini hanyalah pandangan serong Anwar bahawa dia akan disabitkan dengan kesalahan untuk membuat dia hidup sengsara.
“Tetapi keputusan mahkamah hari ini (Isnin) adalah bukti bahawa tidak wujud sebarang konspirasi sebelum atau sekarang untuk mengenakannya,” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir juga berkata, sebelum ini pun kerajaan pernah kalah dalam beberapa kes di mahkamah termasuklah Umno diharamkan oleh mahkamah.
Ini, kata Dr Mahathir menunjukkan di Malaysia, sistem kehakiman negara adalah bebas dan berkecuali dan tidak ada mana-mana pihak termasuklah kerajaan mahupun pembangkang boleh campur tangan,” katanya lagi. -mStar