Friday, January 20, 2012

Jika harga kapal RM9 bilion, mengapa BN kata RM6 bilion? +Video

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Berapakah harga sebenar untuk enam unit kapal pertempuran generasi kedua (kelas frigate) sebenarnya?

Adakah harganya RM6 bilion seperti yang disebut oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi pada Februari tahun lepas atau pun harganya RM9 bilion seperti yang diumumkan baru-baru ini?

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, daripada memeningkan kepala rakyat Malaysia, kerajaan patut mewujudkan segera Jawatankuasa Pemantauan Parlimen bagi mengkaji ketelusan dalam sistem pertahanan dan biarkan rakyat Malaysia mempertimbangkannya.

Tambah beliau, hanya dengan wujudnya jawatankuasa pemantauan seperti yang diamalkan negara-negara maju, akan menjelaskan secara terperinci harga enam kapal peronda tersebut.

“(Malah) rakyat Malaysia juga dapat menilai dan memutuskan sama ada kenyataan dikeluarkan kementerian pertahanan boleh dipercayai atau pun tidak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata demikian sebagai respon susulan selepas perjumpaan bersama Zahid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Ismail Ahmad semalam.

Semalam, beliau bersama Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan PAS Dr Dzulkefly Ahmad telah bertemu dengan wakil kerajaan dan Barisan Nasional di Kementerian Pertahanan membincangkan isu harga kapal peronda itu.

Tambah Pua, ketika mesyuarat itu Ismail Ahmad telah mengesahkan bahawa harga enam kapal peronda itu bernilai RM9 bilion, bukannya RM6 bilion seperti yang dikatakan Zahid pada sidang Parlimen 5 Februari 2011.

“Saya turut menyoal jika benar harganya RM9 bilion dan bukan RM6 bilion, kenapa memakan masa lebih dari sembilan bulan untuk ‘memperbetulkan’ harganya yang mana ‘pembetulan’ itu dibuat melalui kenyataan Boustead (Holding Sdn Bhd)?” katanya.

Justeru Pua menyifatkan kontroversi harga enam kapal peronda itu boleh dijadikan satu contoh jelas kenapa perlu wujudnya Jawatankuasa Pemantauan Parlimen menyiasat perbelanjaan pertahanan negara. – Roketkini.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...