Thursday, February 2, 2012

Berapa ramai pegawai, kakitangan kaum India dalam perkhidmatan awam?

IPOH, 2 FEB: DAP meminta kerajaan Barisan Nasional, termasuk MIC, yang mendakwa mereka membantu masyarakat India supaya menjelaskan tiga persoalan utama tentang kedudukan orang India dalam sektor perkhimdatan awam.

Timbalan Pengerusi DAP Perak V. Sivakumar berkata, BN perlu menjelaskan:

* Berapakah jumlah pegawai dan kakitangan kaum India yang berkhidmat dalam sektor awam pada masa ini?

* Berapakah peratus pegawai dan kakitangan kaum India dalam sektor awam dibandingkan dengan jumlah keseluruhan kakitangan sektor awam?

* Berapakah jumlah pengambilan pegawai dan kakitangan baru dari kalangan kaum India di seluruh negara dan pecahan mengikut negeri bagi tahun 2010, 2011 dan 2012?

Menurut beliau, hanya jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut dapat membuktikan sama ada kerajaan BN benar-benar membela kaum India atau hanya cakap kosong sahaja.

“Sebilangan besar daripada kaum India masih berada di bawah garis kemiskinan dan tidak dapat bersaing kerana beberapa faktor . Satu daripada faktor utama ialah mereka tidak diberi peluang pekerjaan dalam sektor awam.

“Pada satu ketika dahulu ramai kaum India bekerja dalam sektor awam. Sekarang kita dapat melihat di jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan tertentu langsung tidak mempunyai pekerja India.

“Kenapakah ini berlaku? Ini sudah semestinya akibat dasar diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan BN yang mempunyai agenda tersendiri. (Mereka) berjaya mengurangkan pengambilan pekerja-pekerja India secara strategik dalam tempoh 50 tahun sejak kemerdekaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sivakumar yang juga Adun Tronoh berkata, para pemimpin UMNO telah memperalatkan pemimpin-pemimpin MIC untuk menipu masyarakat India untuk kepentingan politik mereka.

Beliau mempersoalkan fungsi kepimpinan MIC diberi portfolio Menteri Sumber Manusia kerana menganggap tidak ada sebarang perubahan dalam pengambilan pekerja-pekerja baru dari kalangan masyarakat India ke dalam sektor awam.

“Sudah pasti jawatan Menteri Sumber Manusia itu adalah satu jawatan boneka yang tidak boleh membantu masyarakat India.

“Akhirnya terbongkar juga bahawa Menteri Sumber Manusia hanya layak menjadi bahan hiasan dalam kabinet Malaysia. Segala janji-janji yang diberikan masih tidak ditunaikan lagi,” ujarnya. – Roketkini.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...