Semalam Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa lima Institusi Pengajian Tinggi Awam - Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia and Universiti Teknologi Malaysia - akan diberikan autonomi. Walau bagaimanapun langkah ini tidak bermakna sekiranya Akta Universiti dan Kolej Universiti yang mencengkam kebebasan universiti masih berkuatkuasa.
Selama ini AUKU telah terbukti sebagai penghalang utama autonomi universiti dan kebebasan akademik. Keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 AUKU tidak membawa sebarang makna memandangkan pindaan ini tidak mengatasi budaya ketakutan dan pemusatan kuasa yang telah yang disebarkan oleh AUKU selama ini. Mahasiswa, masyarakat sivil dan pihak pembangkang telah secara konsisten menyatakan pendirian ini tetapi hanya keputusan UKM4 yang membuatkan pihak kerajaan menerima hujah ini.
Kami juga masih menunggu jawatankuasa dwiparti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah untuk menjadi realiti. Jawatankuasa tersebut - sekiranya menjadi realiti - akan meneliti akta alternatif kepada AUKU yang telah dicadangkan oleh pimpinan mahasiswa pada tahun 2008.
Pada masa yang sama, KEADILAN kesal dengan keputusan Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN) untuk menggunakan AUKU terhadap lima mahasiswanya. Kami berharap keadilan akan tertegak di dalam kes ini dan semua negeri Pakatan menunjukkan komitmen mereka menentang AUKU dengan tidak membenarkan peristiwa tersebut berulang. Kita telah berjuang sekian lama untuk menentang ketidakadilan tersebut.
*Kenyataan media oleh Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat.