Saturday, December 10, 2011

Dio dapek kerusi, kito dapek ayat

Kadang-kadang ada juga rasa tidak ada ‘mood’ untuk menulis tentang perkara yang serius. Kali ini saya tidak akan menulis tentang isu yang berat; hanya hendak menulis tentang pengalaman yang ada sikit-sikit ini untuk saya tulis sebagai coretan peribadi saya.


Saya teringat kepada satu insiden berucap dan berceramah di Johor banyak tahun yang lalu. Salah seorang daripada orang ramai yang begitu marah dengan wakil rakyat mereka yang jarang-jarang datang menjengok mereka di kampung mereka yang agak jauh dari bandar.

Semasa pilihanraya dahulu wakil rakyat yang beliau maksudkan ini datang dengan berbagai-bagai cara dan penampilan untuk mendapatkan undi daripada pengundi di kampung serta peti undi itu. 

“Kami masih ingat lagi, semasa pilihanraya dahulu, wakil rakyat ini datang dengan membawa surah kursy yang dicetaknya untuk kami baca beramai-ramai kononnya untuk menolak bala dan hasutan pihak lain. Kami pun bacalah ramai-ramai dan dipendekkan cerita beliau menang dengan undi yang selesa.. Sejak beliau menang kami tidak nampak batang hidungnya lagi. Kami ingat kami telah diminta membaca ayat kursy itu berulang-ulang kali, akhirnya dia dapat kerusi, dan menjadi kaya-raya, kami hanya dapat ayat sahaja,” kata seorang yang pertengahan usia dan disambut dengan gelak ketawa hadzirin semua.

Apabila saya teringat insiden-insiden seperti ini saya merasa seronok pun ada, sedih pun ada dan geram pun ada. Walaupun ia sangat menggelikan hati saya tetapi kita boleh belajar daripada kata-kata rakyat yang berada di bawah ini.

Apabila saya teringat isu-isu seperti ini ia membuatkan saya tidak berapa berkenan dengan pemimpin-pemimpin UMNO menggunakan ayat-ayat suci untuk menutupi segala dosa dan noda yang dilakukan di hadapan mata dan kepala rakyat.

Saya teringat kepada insiden ini apabila saya mengikuti ucapan Muhyiddin Yassin dalam perhimpunan 3 sayap UMNO minggu yang lepas. Dalam ucapan beliau itu beliau telah membaca beberapa baris ayat Quran untuk dijadikan ‘insulation’ kepada segala noda dan perkara yang tidak semenggah yang berlaku di dalam UMNO.

Dalam pada membaca ayat-ayat suci Tuhan itu beliau telah memaki hamun pihak seterunya dengan menuduh bermacam-macam yang keji seperti menuduh parti lain hendak menjadikan negara ini sebagai negara republik dan anti Islam serta hendak membuang raja-raja Melayu. Semua tahu yang itu hanyalah merupakan tuduhan liar tetapi tuduhan-tuduhan liar itu di saluti dengan membaca ayat-ayat suci Tuhan. Apa maknanya semua ini?

Kalau tidak malu kepada tuhan, tidakkah beliau malu kepada diri beliau sendiri setidak-tidaknya? Kalau dahulu pemimpin ini menuduh PAS menggunakan ayat-ayat Quran untuk politik tetapi sedarkah beliau yang beliau telah menggunakan ayat-ayat suci untuk mengelirukan rakyat yang beliau sangka bodoh semuanya?

Kita orang Islam sejahil mana pun tahu yang Iblis itu adalah malaikat yang paling alim (berilmu) di kalangan ramai-ramai malaikat. Tetapi Iblis telah bersumpah dan berikrar untuk menyesatkan semua bani Adam dan iblis tidak mahu tunduk kepada Adam walaupun diperintah Tuhan untuk berbuat demikian.

Selebihnya saudara/saudari sambunglah sendiri. - Aspan Alias

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...