PAS Perak mahu kerajaan negeri bertanggungjawab dan menjawab kegagalan projek Ladang Satelit Fidlot Nasional di Gelung Pepuyu, Manjung yang masih belum beroperasi sehingga sekarang.
Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, dalam tinjauan ke tempat tersebut baru-baru ini mendapati tanah seluas 100 ekar di atas padang ragut telah terbiar walaupun seratus peratus siap dibina.
Katanya, menurut sumber, projek tersebut dimulakan sejak 4 tahun yang lalu di mana status tanah telah bertukar kepada taman kekal pengeluaran makanan.
Difahamkan Jabatan Pertanian telah membelanjakan RM6.7 juta untuk membangun infrastruktur seperti membina 2 kandang untuk muatan 600 ekor lembu pada sesuatu ketika, bekalan elektrik, pagar dan bekalan air.
Menurutnya, konon pesertanya dari kalangan orang-orang yang berkemampuan dari segi kewangan untuk membela lembu yang dibekalkan oleh Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).
Tambahnya, bagaimanapun diberitakan pihak NFC sehingga sekarang tidak mampu untuk membekal lembu-lembu yang dijanjikan, maka tinggallah ladang dan kandang tersebut kosong manakala pengurus projek itu juga telah diberhentikan kerja.
“PAS Perak menyifatkan projek yang menelan belanja berjuta ringgit duit rakyat ini dibazirkan begitu sahaja. Kami mahu kerajaan negeri menjawab isu ini,” katanya.
Katanya, timbul juga persoalan kemungkinan projek itu ada kaitan dengan isu NFC yang melibatkan suami kepada Ketua Pergerakan Wanita Umno yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
“Inilah contoh kerakusan dan salah urus tadbir pihak tertentu dengan melibatkan tanah kerajaan dan duit rakyat.
“PAS Perak mahu kerajaan negeri yang meluluskan tanah tersebut menjawab isu ini kepada rakyat, sekiranya berlaku penyelewengan atau amalan rasuah, tindakan sewajarnya hendaklah diambil,” ujarnya. -Harakahdaily
http://wartablogger.blogspot.com/2012/02/zambri-terlibat-ladang-fidlot-majung.html