Saturday, November 19, 2011

Siapa Nurul Izzah? ... "Kalau tak mampu, tak dapat kawal, letak jawatanlah…"

Siapa Nurul Izzah Anwar? Maaf, soalan yang sepatutnya ialah, siapa yang tidak mengenali Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Ahli Parlimen Lembah Pantai yang telah menewaskan dan menjadikan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kelihatan seperti anak kecil dalam permainan politik baru Malaysia pasca-reformasi?

Rata-rata rakyat Malaysia, malah masyarakat dunia sekali pun kenal akan nama ini. Anak sulung kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan suatu ketika terkenal dengan jolokan Puteri Reformasi ini memanjat karier politik umpama menaiki jet ke angkasa – laju, berapi, dan kadang panas.

Begitu pun, gosip-gosip politik di kedai kopi tidak dapat tidak akan mengaitkan karier politik beliau dengan nama ayahnya.

Namun, Izzah punya idealisme politik tersendiri yang terhasil dari pengalaman aktivisme beliau sebelum terjun dalam gelanggang politik, langsung menjadikan beliau sebagai aktivis politik – gelaran yang menurut Izzah, selesa baginya.

Bagaimana pun, bukanlah pula niat Roketkini untuk mengorek lanjut kisah pancaroba kepahitan beliau dan keluarganya kerana umum sudah sedia maklum melalui internet.

Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, begitulah lebih kurang apa yang terjadi apabila Roketkini hendak mengadakan sesi wawancara ini di Parlimen baru-baru ini. Mengikut dengan lebih dekat kehidupan beliau sehari suntuk di Parlimen, Izzah sememangnya sentiasa sibuk, sama ada berurusan dengan rakyat, bermesyuarat bersama rakan dalam Pakatan, mengadakan sidang media dan sebagainya.

Justeru, secara tidak langsungnya sebagai lambang persahabatan antara DAP dan PKR, kami persiapkan wawancara ini sekadar seadanya, tentang ‘itu-ini’ dalam lingkungan politik Malaysia.

PKR abang besar dalam Pakatan Rakyat?
“Sebelum nak tuding jari kata PKR sebagai abang besar, telitilah dahulu, sebab kadang kala PKR terpaksa buat pengorbanan yang bukan mengikut kehendak kita,” ujarnya apabila ditanya mengenai tuduhan bahawa PKR berlagak sebagai abang besar dalam Pakatan Rakyat.

Beliau kelihatan sedikit tidak selesa dengan soalan tersebut, walau kelunakan suaranya tidak pula melambangkan kegelabahan dirinya.

Jelas Izzah, walau pun PKR memenangi kerusi yang terbanyak dalam PRU 2008 sejak penubuhan parti itu pada 14 April 1999, ia merupakan satu dugaan yang terpaksa melalui proses belajar “yang amat perit dalam masa singkat.”

“Kita membuat perkiraan dan diimbangi dengan kepentingan untuk menjadi sebuah parti yang dilihat majmuk dan sebagai tulang belakang Pakatan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, PKR sentiasa berkompromi dengan DAP dan PAS, dan telah pun terbukti kerjasama erat itu dengan wujudnya Dasar Bersama, Buku Jingga, Belanjawan Alternatif 2012 Pakatan dan sebagainya.

“Jadi saya lebih sukalah kalau ambil kira – bukanlah nak cakap sebagai abang besar dan sebagainya – realiti politik semasa.

“Tidak guna kalau rakan-rakan dalam Pakatan saling berbalah, sedangkan yang menang nanti ialah kerajaan pusat sedia ada,” katanya.

PKR-DAP-PAS: Persamaan dan perbezaan

Mengakui bahawa PKR sebagai parti termuda dalam Pakatan, Izzah berkata tidak ada salahnya jika PKR menimba pengalaman dari DAP dan juga PAS.

“Alhamdullilah, kita banyak belajar daripada pengalaman mereka. Cuma bezanya, DAP dan PAS punyai jarak masa yang begitu panjang sebelum diberi kemenangan yang begitu besar dalam PRU 2008,” jelasnya menambah beliau membesar di bawah pimpinan dua parti tertua dalam Pakatan itu sebelum Parti Keadilan Nasional ditubuhkan.

“Jadi saya melihat dunia politik, dunia hak asasi manusia dari kaca mata PAS dan DAP, termasuk juga Suaram kerana pendedahan sebegini yang akan membentuk justifikasi kepada apa yang saya mahu perjuangkan,” tambahnya.

Ini kerana beliau melihat dengan mata kepalanya sendiri akan kebobrokan sistem perundangan dan kelemahan sistem undang-undang drakonian yang ada.

“Tentunya tidak boleh kita biarkan begitu sahaja kesemua masalah ini berterusan,” katanya.

Tambah Izzah, PKR merupakan parti berbilang kaum yang berteraskan slogan Keadilan Untuk Semua, yakin mampu mewakili aspirasi masyarakat Malaysia sebagai microcosm kepada kemajmukan negara.

“Daripada peringkat permulaan, tekad kita untuk melaksanakan reformasi politik, ekonomi dan sosial supaya benar-benar dapat membina Malaysia yang lebih baik,” katanya menerangkan sedikit tentang PKR.

Konsep yang diperkenalkan DAP ialah Malaysia Untuk Rakyat Malaysia yang diperhalusi menjadi Jalan Tengah Malaysia, manakala PAS dalam muktamarnya pada Mei lalu memperjelaskan perjuangan Islamnya yang universal melalui konsep Negara Berkebajikan.

Termasuk Keadilan Untuk Semua oleh PKR, ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat ini walau berlainan agenda dan slogan, aspirasinya tetap satu – mahu membawa Malaysia ke landasan yang betul dan bagus.

Sekurang-kurangnya itulah harapan rakyat prihatin yang mahu melibat perubahan positif untuk Malaysia.

“Mungkin, tapi pada saya ada keterbatasannya kerana pada akhirnya untuk menjadi microcosm kepada Malaysia ianya perlu dilihat sebagai mewakili semua kaum. Itu sahaja,” jawab Izzah, mudah dan padat.

Isu semasa I – Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)

“Saudara pernah dengar tak, selain dari era komunis Soviet, sebuah kerajaan bagi kedai yang menawarkan produk macam itu?” soal Izzah membawa kepada isu hangat politik tanah air yakni berkaitan produk-produk KR1M yang terbukti kualiti dan kandungan beberapa produknya telah melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Beliau meluahkan rasa terkilan dan sedih megenai penipuan KR1M itu yang memangsakan golongan berpendapatan rendah dan miskin.

“Mereka bercakap dengan begitu gah sekali dan Kedai Rakyat 1Malaysia itu mereka jual kepada orang miskin dengan makanan yang sebegitu…

“Perkara-perkara sebegini menyayat hati saya kerana saya pun tak sangka mereka boleh sampai ke tahap begitu. Fikirlah, buatlah ujian yang sepatutnya sebelum dijual kepada rakyat berpendapatan rendah dan miskin,” jelasnya.

Jika agensi-agensi awam mahu pun swasta mempunyai rasa tanggungjawab, memberanikan diri memikirkan tanggungjawab terhadap masyarakat, maka tidak perlulah pemimpin politik pembangkang yang tepaksa pergi periksa produk-produk KR1M.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kelantangan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang aktif menerangkan kepada rakyat tentang kualiti dan penipuan produk oleh KR1M.

Bagaimana pun, Izzah menambah, beliau tidak benci dengan KR1M. “Nak buka sebanyak mungkin KR1M itu tak ada masalah. Isunya ialah mereka kenalah ikut garis panduan undang-undang,” katanya.

Isu semasa II – Klinik 1Malaysia

Perkara kedua yang diluahkan Izzah adalah berkenaan Klinik 1Malaysia yang ketika permulaan klinik itu dibuka didapati bercanggah dengan undang-undang perubatan, kerana tidak ada pegawai perubatan yang bertauliah.

“Oleh itu di Lembah Pantai, saya wujudkan klinik bergerak. Kita bawa doktor walau pun bangunan tak ada, dewan tak ada, tetapi dihalaunya kami.

“Jadi kami buatlah di mana-mana. Surau ke, dalam khemah ke…Yang penting rakyat miskin yang bependapatan rendah mendapat khidmat doktor yang berkualiti.

“Ini (KR1M dan Klinik 1Malaysia) nak tunjuk mereka layan orang semata-mata. Okay, bagi subsidi kemudian cakap, ‘Okay nah ambilah barang berkualiti rendah’,” katanya.

Jelas Izzah, itu bukan caranya pemimpin menunjukkan kasih sayang dan amanah. Semua rakyat, sama ada kaya raya atau miskin mestilah mendapat perkhidmatan dari doktor yang berkualiti, tambahnya.

Reformasi pilihan raya dan PRU13

“Kalau dulu bila orang cakap reformasi pilihan raya, siapa yang ambil kisah? Maklumlah BN selalu menang besar melalui cara-cara yang tak sah, tak adil.

“Tapi bila rakyat Malaysia nampak dan sedar tentang isu pendatang tanpa izin (PATI) khususnya yang ditawarkan jadi warga negara dengan syarat mesti undi BN, saya rasa pengkhianatan sedemikian oleh kerajaan barulah akan memberi impak,” katanya menjawab mengenai pandangannya tentang kesedaran rakyat Malaysia dewasa ini yang semakin sensitif akan hak sebagai rakyat.

Izzah berkata, hak warga negara Malaysia akan terhakis jika pendaftaran mengundi dan menjadi warganegara dilakukan secara besar-besaran oleh pihak-pihak tertentu dalam kerajaan kepada PATI.

“Di kala sama, berlaku penambahan pengundi pos dalam ribuan jumlahnya di kerusi-kerusi yang strategik, dan pengundi-pengundi yang meragukan dengan alamat yang tidak sah bertambah serta penduduk tetap dijadikan pengundi,” jelasnya.

Nampaknya UMNO dan BN masih belum serik dengan bermain politik kotor walau pun sudah berjanji untuk membersihkan sistem dan amalan pilihan raya.

Izzah menjelaskan, rakyat perlu sedar dengan perbuatan keji ini yang mencerminkan UMNO-BN masih tidak memahami aspirasi rakyat yang muak dengan penipuan dan salah guna kuasa.

“Pada saya, mereka sedia menipu, kerana Perdana Menteri sendiri pernah berkata, beliau akan mempertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir. Apa maksud beliau ini? Rasanya tak ramai Perdana Menteri lain yang berkata seperti itu, kecuali (pemimpin Libya Muammar) Gaddafi lah,” katanya sinis.

Apakah mungkin ia adalah isu perebutan kuasa di mana Najib takut hilang kuasa manakala Pakatan pula kemaruk Putrajaya?

Izzah menangkis tohmahan itu, menjelaskan bahawa ini bukan isu Pakatan tergilakan Putrajaya.

“Saya rasa kita kena ada sikap yang lebih rendah diri. Rakyat yang patut buat pilihan dan pilihan rakyat itu dizahirkan melalui pilihan raya umum yang adil dan telus,” jelasnya.

Dalam masa sama beliau mahu rakyat sentiasa mengingatkan kerajaan, malah memaka jika perlu, supaya melunaskan janji reformasi sistem pilihan raya, dan memastikan sekurang-kurangnya lapan tuntutan Bersih 2.0 ditunaikan sebelum PRU13.

“Pada saya, bercakaplah apa sekali pun, tapi kalau hasrat rakyat itu tak dapat digambarkan menerusi sistem pilihan raya yang telus dan adil, maka akan terhakislah peluang kita untuk menang.

“Itulah faktor pendorong kepada sokongan terhadap Pakatan Rakyat, iaitu rakyat Malaysia sendiri.”

Nostalgia tsunami politik 2008 dan peluang Pakatan Rakyat

“Semangat 2008 itu memang masih ada walau pun mungkin sedikit kurang. Seperti Barack Obama misalnya, akan wujud satu harapan atau euforia yang bakal terhakis dek masa dan keadaan semasa,” jawab Izzah mengenai sebarang kemungkinan berulangnya tsunami politik pada PRU13.

Secara realistik, beliau menjelaskan, Pakatan sudah pun membuktikan melalui negeri-negeri di bawah pentadbirannya tentang banyak perkara yang dilaksanakan jauh lebih baik dari negeri-negeri kawalan BN.

Berkaitan PRU13, beliau menerangkan dengan keadaan ekonomi yang lembap dan hutang negara berada di paras tertinggi dalam sejarah iaitu 52.7 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jadi “tak ada salahnya untuk bagi peluang pada Pakatan memerintah.”

“Setelah memberi mandat kepada Pakatan, tidak mengapa jika rakyat tidak suka kepada Pakatan yang mengambil alih Kerajaan Persekutuan, kerana pada pilihan raya seterusnya, rakyat boleh memilih semula BN atau parti-parti lain. Inilah demokrasi.

“Yang penting, demokrasi itu adalah untuk kesejahteraan, kebahagian dan keselesaan rakyat yang dijamin hak dan kebebasan. Demokrasi bukan mainan parti politik kerana ia adalah milik rakyat,” ujarnya.

Masa depan Malaysia

“Saya percaya bahawa majoriti rakyat menghargai dan mahu membina Malaysia yang lebih baik, masa depan yang lebih menitikberatkan keperluan mereka dengan menolak rasuah.

“Majoriti rakyat juga mahu memastikan agensi-agensi seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak media dan sebagainya menjalankan tugas dengan jujur dan bertanggungjawab,” jawab Izzah tentang pandangan beliau mengenai masa depan Malaysia.

Selama 54 tahun pemerintahan UMNO-BN, pimpinan agensi-agensi awam lebih menumpu untuk menjaga kepentingan politik politik pemerintah daripada kepentingan rakyat, jelasnya.

“Tetapi, kalau lebih ramai rakyat memberanikan diri melakukan perubahan, ia akan memudahkan pembentukan Malaysia yang lebih baik. Kalau semua agensi ini berani… contohnya, Laporan Ketua Audit Negara yang terbaru ini, kenakan tindakan yang keras tehadap menteri-menteri dan pimpinan yang rasuah.

“Dan tidak perlulah kita nak mengambil Performance Management and Delivery Unit (Pemandu), agensi-agensi lain dan juga para perunding kerana ini hanya akan membazirkan lagi dana negara,” jelas Izzah.

Rakyat harus bersama-sama menyedarkan sesama sendiri tanpa meletakkan tanggungjawab mentadbir dan mengurus negara kepada orang yang di atas sahaja.

“Saya fikir, pada masa depan, rakyat akan lebih sensitif dan peka kepada perkara-perkara ini – sensitiviti terhadap rasuah, pemahaman mengenai hak asasi manusia, tiadanya sifat perkauman tebal, pelampau agama – dan saya pasti apa-apa pun jangan ambil remeh orang muda.

“Mereka sudah ada pendedahan dan sokongan terhadap anti-AUKU (Akta Universiti dan Universiti Kolej) semakin kuat berbanding dahulu. Perubahan sedang berlaku. Nak cuba patah balik? Tak mungkin,” katanya.

Malah, jelas Izzah, aura perubahan semakin kuat dari masa ke semasa sehinggkan Perdana Menteri sendiri dipaksa mencedok cadangan-cadangan Pakatan Rakyat dalam Bajet 2012.

“Perdana Menteri juga dipaksa mengakui perlunya reformasi sistem pilihan raya. Maksudnya beliau mengaku sistemnya yang sedia ada memang tempang.

“Dan dia dipaksa untuk katakan era darurat sudah berlalu,” jelas Izzah mengenai usaha Datuk Seri Najib Razak yang terpaksa mengikut tuntutan zaman dan kehendak rakyat.

Kalau tak mampu, tak dapat kawal, letak jawatanlah…

Walau pun begitu, menurutnya, PKR dan Pakatan sentiasa bersedia mendokong dan bersama Perdana Menteri asalkan segala usaha benar-benar jujur untuk kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Untuk itu, kenalah berhentikan pendakwaan terhadap Anwar Ibrahim… Hentikanlah dakwaan, kekasaran, serangan terhadap Tony Pua dalam media, serangan terhadap PKR yang digelar pengkhianat,” ujarnya.

Beliau juga menyindir usaha Najib yang cuba mengangkat dirinya di luar negara sebagai pemimpin sederhana, seolah-olah mahu mengabui mata masyarakat dunia.

“Kalaulah beliau betul-betul menggambarkan diri sebagai pemimpin sederhana, takkanlah beliau tak boleh ubah rasisme Utusan Malaysia yang merupakan lidah rasmi partinya sendiri?

“Dan kalau beliau tak mampu, tak boleh kawal, baik letak jawatanlah. Tak guna jadi Perdana Menteri,” kata Izzah tegas dengan bahasa dan nada yang lemah lembut. – Roketkini.com

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...