Saturday, November 19, 2011

Surat Akhir Untuk Gaddafi, la ada kena mengena dgn Hj Jib & Hajjah Jambul!!!

Tuan yang saya muliakan,

INI adalah surat akhir dari saya. Saya berharap dua surat awal dahulu telah membuka mata hati tuan. Saya juga berharap surat awal itu telah memberi sedikit latar untuk kita sama-sama memahami bahawa apa yang kita baca dan apa yang didedahkan ke hadapan mata kita sebenarnya hanyalah gula untuk menggula-gulakan kita semua.

Saya menerima banyak kritikan malah ada juga tempelakan yang menuduh saya cuba melupakan jenayah dan kejahatan Gaddafi terhadap warga Libya. Saya tidak menafikan adanya kezaliman yang memusnahkan hak asasi warga Libya. Saya juga tidak menafikan adanya tahanan politik di Libya. Ada juga suara yang nemimbulkan perkara bagaimana Muammar Gaddafi menindas kumpulan Islam atau memenjarakan 慾ihadis? Tetapi bukan ini intipati yang ingin saya paparkan.

Dalam hal ?Jihadis Islam – saya agak berhati-hati kerana saya amat sedar peranan CIA yang membina dan menganjurkan jaringan kumpulan Islam. 

Sejarah politik telah membuktikan bagaimana CIA telah bekerjasama dengan kumpulan yang memanggil diri mereka Islam. Dari Indonesia ke Pakistan, Iraq, Mesir hinggalah ke Afghanistan kita bertemu dengan kumpulan ini. Hari ini terbukti bahawa Al-Qaeda dan Osama sendiri telah dieram dan dinetaskan oleh CIA. Ini fakta sejarah. Jadi, kita tidak perlu berbuih mulut menelan viagra untuk menegakkan benang basah ini.

Dalam surat akhir ini, saya ingin menyatakan secara terbuka bahawa pendemokrasian Libya bukan tugas Nato atau Amerika atau tugas negara Eropah. Mendemokrasikan Libya adalah tugas warga Libya sendiri. Ini sama seperti tugas menumbangkan kerajaan yang dikepalai oleh gerombolan United Malay National Organisation. Ini kerja politik dalaman warga Malaysia sendiri. 

Menumbangkan gerombolan United Malay National Organisation bukan kerja Amerika, China, Singapura atau Saudi Arabia. Menjatuhkan United Malay National Organisation bukan tugas Nato atau Obama atau Sarkozy. Ini tugas anak semua bangsa warga yang cintakan negara kita ini. Saya harap perkara ini jelas.

Pada tahun 1945, perang dunia kedua tamat. Benua Eropah terbahagi kepada dua blok yang mengamalkan dua sistem ekonomi yang berlawanan. Eropah Barat dengan sistem ekonomi kapitalis manakala Eropah Timur dengan sistem ekonomi sosialis. Sistem ekonomi kapitalis dipimpin oleh Amerika Syarikat manakala sistem ekonomi sosialis dipimpin oleh Rusia yang telah mendirikan Soviet Rusia semenjak berjayanya Revolusi Bolshevik pada tahun 1917.

Sistem ekonomi kapitalis berkiblatkan keuntungan maksima untuk dimasukkan ke dalam suku kaum pemodal. Manakala sistem ekonomi sosialis berkemudikan kebajikan umum untuk orang ramai. Kesejahteraan ummah menjadi panduan sistem ekonomi sosialis. Dua perbezaan yang amat jelas. Negara Eropah pengamal sistem kapitalis menganggap negara sosialis sebagai musuh. Perlawanan dua sistem ekonomi ini dipanggil perang dingin. Perlawanan ini cukup sengit dan mengancam dunia.

Tuan yang saya muliakan,

Dalam kancah perang dingin, kaum pemodal merasa mereka terancam. Mereka tidak dapat mengembangkan modal mereka untuk menjarah dan merembat harta kekayaan negara-negara bekas tanah jajahan di Asia, Afrika dan Amerika Latin. Kaum kapitalis melihat sistem ekonomi sosialis menjadi halangan untuk kaum kapitalis mengaut keuntungan maksima.

Untuk memastikan keuntungan terus berlipat ganda dan segala rintangan dihapuskan, kaum pemodal telah menggunakan universiti sebagai kubu pusat. 

Kaum kapitalis telah mengeluarkan dana yang lumayan untuk mengupah pemikir di universiti dan di lembaga-lembaga keilmuan. Para ilmuan dan ahli akademik ini dibayar untuk mengeluarkan buku, kertas kerja atau berkonferensi dengan tujuan mengeluarkan dakyah dan tohmah yang licik dan teratur. Semua ini dilakukan untuk memastikan sistem ekonomi sosialis ini tidak dapat mengampuh dunia. Radio dan TV diwujudkan untuk memastikan kefahaman orang ramai terhadap apa itu sosialisma terus songsang dan tunggang terbalik.

Kempen dan dakyah kaum kapitalis international ketika Perang Dingin tidak jauh berbeza dari apa yang sedang dilakukan oleh United Malay National Organisation terhadap Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat. Tipu, bohong, tangkap, beli dan bunuh menjadi garis perjuangan. Kalau boleh tipu, maka orang ramai akan ditipu. Kalau bohong boleh menyelamatkan keadaan, maka bohong akan sampai. Jika keadaan terus tegang, maka penjara akan digunakan. Dalam keadaan selesa – harta, duit dan pangkat boleh digunakan untuk membeli sokongan. Jika semua ini gagal, letupan C4 akan digunakan untuk menenangkan keadaan.

Hasil dari kempen yang licik lagi teratur ini, ramai warga dunia telah diperangkap untuk diternak dan diasuh untuk melihat sosialisma sebagai musuh. Dalam reban CIA ini, ternakan yang paling setia datang dari kumpulan-kumpulan Islam. Kumpulan ini terpengaruh dengan dakyah CIA yang mengatakan sosialisma tidak percaya kepada tuhan. Kumpulan ini telah tidak mendapat penerangan secara tuntas tentang sosialisma sebagai satu sistem ekonomi bukannya agama atau sistem kepercayaan.

Tuan yang saya hormati,

Surah di atas telah berlaku di zaman Perang Dingin. Serangan dan kepungan kaum pemodal Anglo-Amerika berjaya meruntuhkan sistem ekonomi kapitalis. Pada 1989, Tembok Berlin runtuh dan negara Eropah Timur kembali menjadi pengamal sistem ekonomi kapitalis.

Sekali lagi kaum pemodal antarabangsa telah mengupah para pemikir dan ilmuan untuk merencana satu strategi baru ?strategi pasca Tembok Berlin. Para pemikir kanan yang telah lama bersarang di Rumah Puteh telah menetaskan apa yang dipanggil: Project for the New American Century (PNAC).

Para pemikir yang menelurkan PNAC ini adalah ahli falsafah kanan dan saki baki wira-wira dan penjihad Perang Dingin. Kekalahan Rusia dalam Perang Dingin telah meyakinkan mereka bahawa anak semua bangsa dalam dunia tidak ada lagi pilihan melainkan menghambakan diri di bawah telunjuk Empire Amerika.

Falsafah PNAC inilah yang telah dan sedang diguna pakai oleh pentabiran Rumah Puteh semenjak George W.Bush menjadi Presiden. Falsafah PNAC ini bukan susah untuk difahami. Asas utamanya ialah: Amerika menang dalam Perang Dingin maka Amerika tidak akan membenarkan negara mana-mana pun berpeluang untuk menandingi kekuatan Amerika seperti di zaman bertelagah dengan Russia dahulu. Amerika akan memastikan tidak ada negara baru akan muncul untuk berani bersaing atau menandingi kekuatan bala tentera Amerika.
PNAC memiliki 4 rukun imannya:

- Amerika perlu meneruskn perbelajaan persenjataan
- Amerika wajib menyokong kawan dan menibai musuh yang bertentangan dengan budaya dan sistem Amerika
- Kebebasan politik dan ekonomi kapitalis wajib diluaskan ke seluruh dunia
- Amerika wajib menerima tanggungjawab yang unik untuk menjaga dan mengawal dunia agar dunia ini aman untuk keselamatan, kekayaan dan dapat ditegakkan prinsip yang dipegang Amerika.

Tuan yang saya muliakan,

Apa yang ingin saya terangkan dalam surat akhir ini ialah kita semua pada ketika ini adalah dalam kongkongan Empire Amerika. Dari laporan tahun 2003 untuk Jabatan Pertahahan Amerika, kita diberitahu bahawa pada ketika ini Amerika memiliki 6000 buah pengkalan tentera dalam negara. Amerika juga memiliki 702 pengkalan tentera laut, darat dan udara di 130 buah negara dalam dunia ini. Ada yang disewa dan ada yang diikat dengan penjanjian persenjataan. Seramai 253,288 soldadu Amerika bertugas di pengkalan luar negara ini. Seramai 44,446 anak tempatan bekerja di pengkalan-pengkalan Amerika ini.

Apakah maknanya semua ini?

Apa yang ingin saya terangkan disini ialah pembunuhan Saddam Hussein, pembunuhan Mummar Gaddafi , kacau di Iran, kacau di Pakistan, kacau di Syria ?semua ini hanyalah babak-babak perlaksanaan rukun iman PNAC. Apakah tuan tidak sedar bahawa rancangan untuk menyerang Iraq telah wujud lebih awal lagi – pada bulan September tahun 2000 lagi. Menyerang Iraq dan mengubah sistem politik Iraq adalah sebahagian dari rancangan PNAC. Rancangan ini telah ditelurkan oleh para pemikir kanan PNAC satu tahun sebelum George W Bush menjadi Presiden.

Tuan yang saya muliakan,

Sebelum saya akhiri surat saya ini, ingin saya nyatakan bahawa ledakan dua pesawat udara ke bangunan WTC di New York pada 9 September 2001 itu juga adalah sebahagian dari perancangan dan strategi yang telah ditelorkan oleh PNAC. Ledakan itu telah terbukti sebagai 慿erja orang dalam?sebagai strateji untuk memastikan falsafah PNAC diterima oleh warga Amerika. Warga Amerika perlu dikejutkan dahulu dan kemudian dilalikan dengan falsafah PNAC. Pasti ramai yang akan menangkis apa yang saya tulis ini sebagai fakta sasau dan hujah dari perawi gila. Tidak mungkin Amerika membunuh 3000 warganya sendiri?

Untuk ini, jawapan saya hanya angka dan jumlah. Ketika saya menulis ini, angka pertama ialah 1,455,590 warga Iraq telah gugur. Angka kedua ialah 4,801 soldadu Amerika telah juga tewas di Iraq dan 2,794 tewas di Afghanistan. Pada hemat saya, kaum kapitalis yang berkiblatkan keuntungan tidak mempedulikan nilai nyawa manusia ?sama ada manusia warga negara atau warga luar negara.

Tuan yang saya muliakan, rasa saya tugas kita pada ketika ini ialah untuk melihat babak babak yang terbuka dihadapan mata kita dengan kaca mata yang tajam. Dengan hati yang jujur. Saya berharap tuan dapat menganalisa satu perisiwa dari dalam atau dari luar negara dengan tepat. Hendaknya janganlah tuan cepat meloncat apabila mendengar laugan jihad. Bukalah mata dan pasang telinga untuk berhati-hati kerana CIA dan para sekutunya pandai melaungkan jihad ke jalan Allah. Malah tidak lama lagi tuan akan mendengar laungan berjihad yang kuat dari Rosmah dan Najib. Mereka baru sahaja pulang dari Mekah dan telah meminum air dari telaga Zamzam.

Hishamuddin Rais

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=23160

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...