Tuesday, November 1, 2011

Jasa Menentang Komunis ..Bekas anggota Konstabel Khas dipinggir pemerintah

GERIK: Seorang bekas anggota konstabel Khas (SC), Abdul Rani Che Lah, 71, yang pernah pertaruhkan nyawa menentang komunis satu ketika dahulu berasa terkilan kerana permohonannya supaya diberikan elaun bulanan tidak pernah diberi perhatian.

Sebelum ini, dia bersama lebih 100 bekas SC Gerik pernah membuat beberapa kali permohonan termasuk meluahkan rasa kecewa melalui saluran media tetapi tiada maklum balas diterima.

Abdul Rani berkata, pada 1948, anggota SC yang berusaha keras berjuang demi keamanan rakyat, tetapi selepas berhenti tiada siapa menghargai jasa mereka.

Menurutnya, kebanyakan rakan seperjuangannya sudah meninggal dunia dan sebahagiannya pula sakit terlantar serta hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Saya berkhidmat sebagai SC selama enam tahun dan selepas berhenti kami seolah-olah dicampakkan begitu sahaja.

“Sebahagian rakan mengalami kecacatan kekal akibat terkena serangan komunis tetapi tiada siapa ambil peduli sedangkan dahulu kami bertungkus-lumus demi rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Abdul Rani berkata, dia berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan untuk mendapat elaun bulanan sebanyak RM500 dan dapat menampung kehidupan bekas SC yang sekarang sudah berusia.

Katanya, mereka tidak pernah minta diberikan penghargaan atau anugerah di atas pengorbanan dilakukan tetapi sekadar ingatan terhadap jasa mempertahankan negara bangsa.

“Kami tidak mendapat pembelaan dan kami tidak mahu minta lebih tetapi amat berharap jika pemimpin masyarakat dapat turun padang serta bertemu bekas SC,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...