Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengutuk tindakan polis dan kerajaan Malaysia kerana menahan 11 orang dari Tawau di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA). Angka ini adalah tidak rasmi kerana ada sumber yang mengatakan angkanya kemungkinan 14 orang.
Tindakan terkutuk ini amat dikesali kerana ianya bercanggah dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia pada 15 September berkenaan dengan pemansuhan ISA. Apakah rasional di sebalik penahanan? Adakah Perdana Menteri Malaysia cuba memperdayakan rakyat Malaysia dengan sikap hipokrasi beliau? PM perlu berasa malu atas penangkapan ini!
Menurut sumber kami, setakat ini tuduhan ke atas 11 orang ini masih tidak pasti dan dipercayai kemungkinan mereka dikaitkan dengan keganasan.
Berikut adalah nama-nama yang ditahan di bawah ISA pada 14 dan 15 November 2011 (Bukan rasmi):
1. Mohd Nazri Bin Dollah - Guru Agama SMK Kinabutan
2. Yusof Bin Saripuddin - Peniaga Ayam
3. Muhd Adnan Bin Umar - Guru Pusat Tuisyen MJU
4. Muhd Abduh Bin Umar - Pemandu Lori
5. Adwan
6. Faizal Bin Hamma - Pengedar Akhbar Harian
7. Joni @ Muadz - Pengedar Akhbar Harian
8. Azmi
9. Suriadi
10. Darto Bin Bandu Guru - Pusat Tuisyen MJU
11. Bakar Bin Baba - Guru Smk Umas-Umas
Tangkapan tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga / Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA).
Penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan dilakukan di hadapan isteri dan anak-anak terlalu tragis. Situasi ini dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan dan dirampas beberapa komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai.
BN tidak boleh hidup tanpa ISA
Penahanan terbaru ini mengesahkan kesangsian yang terdapat di kalangan rakyat Malaysia berkenaan pemansuhan ini. Kini ianya amat pasti bahawa pengumuman itu hanyalah untuk kepentingan politik Najib dan tidak serius dan jujur dalam memansuhkan akta zalim ini. ISA adalah akta yang zalim dan yang membenarkan penahanan tanpa bicara di mana ianya bercanggah dengan hak asasi manusia.
Kerajaan UMNO/BN memang tidak boleh bertahan tanpa ISA. Kerajaan UMNO/BN ini memerlukan alat politik ini terus berkuasa dan mewujudkan ketakutan di kalangan rakyat Malaysia. Tindakan penggunaan ISA sememangya telah memberikan satu tamparan kepada kerajaan BN dalam pilihan raya akan datang kerana masih menipu rakyat dengan masih menggunakan ISA secara rahsia.
Mansuhkan ISA sekarang
Kami juga ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa sejak beberapa dekad yang lalu, beribu-ribu orang telah ditahan tanpa bicara di bawah ISA bukan untuk apa yang mereka lakukan atau berkata tetapi berdasarkan tuduhan tanpa bukti dan sering palsu daripada pihak ketiga. Orang yang telah ditahan bukan untuk jenayah yang mereka lakukan atau dibuktikan di mana-mana mahkamah dan beribu-ribu dibiarkan merana di dalam sel-sel tahanan rahsia di seluruh negara.
Oleh itu, SUARAM dan GMI menyeru Perdana Menteri untuk mansuhkan ISA dengan segera dan membebaskan semua tahanan. Kami juga menyeru kerajaan untuk menghentikan menggubal undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan dan untuk menangani isu-isu keganasan dengan undang-undang yang sedia ada.
*Kenyataan media oleh Syed Ibrahim Syed Noh (Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA) dan Nalini Elumalai (GMI Secretariat / SUARAM).