Media cetak beberapa hari yang lalu telah melaporkan bahawa Pengerusi SPR telah mencadangkan supaya perarakan calon semasa hari penamaan calon pilihan raya ditiadakan dalam pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan dengan itu, Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengambil pendirian dengan tegas menolak cadangan berkenaan. Tiada sebarang alasan yang munasabah diberikan untuk memansuhkan perarakan ini khususnya daripada sudut keselamatan.
Perarakan calon semasa penamaan calon pilihan raya ini sudah dilaksanakan sejak sebelum merdeka lagi dan ianya telah menjadi sebahagian dari proses demokrasi berpilihanraya di dalam negara kita ini. PAS juga ingin mengingatkan SPR, supaya tidak sibuk merangka peraturan baru yang belum dibuktikan mengganggu proses pilihanraya, sedangkan 8 tuntutan rakyat terhadap proses pilihan raya yang lebih adil dan telus masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
PAS ingin menegaskan bahawa pilihan raya bukan sekadar memangkah calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen semata-mata tetapi melibatkan seluruh proses demokrasi dan menunaikan hak rakyat untuk mendapat maklumat secara adil dan saksama. Sepatutnya SPR juga memberikan perhatian untuk menghalang aktiviti merasuah dan megugut pengundi oleh parti yang memegang tampuk kekuasaan selama lebih 50 tahun ini agar dihentikan dengan segera. - Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang