Tuesday, February 7, 2012

PAS Sahkan Salehuddin Bertanding Di Johor

Salahuddin ke Johor, kerusi belum muktamad
SHAH ALAM – Teka-teki berhubung keputusan Pas meletakkan Salahuddin Ayub bertanding di negeri kelahirannya, Johor terjawab apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali (gambar) mengesahkan Naib Presiden itu akan beralih kawasan kali ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberitahu kawasan yang mungkin ditandingi Salahuddin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Salahuddin sudah dua penggal menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Mustafa mengakui terdapat perbincangan mengenainya, namun keputusan itu masih belum muktamad dalam menentukan kedudukan Salahuddin, yang merupakan anak jati Tanjung Piai, Pontian, Johor.

“Nak dikatakan khabar angin, tidak khabar angin juga, namun belum lagi muktamad. Dari segi bertanding kawasan mana, ia akan ditentukan kemudian,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis perkahwinan anak Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu di sini, semalam.

Sebelum ini, terdapat desas-desus, Salahuddin akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor sebagai calon Menteri Besar jika Pakatan Rakyat (PR) menguasai Johor.

Malah, beberapa kawasan juga didakwa merisik Salahuddin supaya bertanding di bahagian Parlimen Pasir Mas, Kelantan, dan Titiwangsa, Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, Salahuddin akan mengumumkan dalam beberapa minggu lagi, berhubung keputusan itu untuk menyatakan kawasan yang akan ditandinginya dan beliau juga mengakui, sudah memutuskan kerusi yang akan ditandinginya nanti.

Dalam pada itu, Mustafa ketika ditanya berhubung persiapan pembahagian kerusi Pas pada PRU akan datang, beliau berkata, 90 peratus hampir selesai.

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata tidak timbul isu perselisihan berhubung pembahagian kerusi dengan rakan sekutunya, PKR di beberapa negeri termasuk Terengganu.

Sebaliknya, Abdul Hadi berkata, pemilihan sudah hampir di peringkat akhir dan hanya tinggal 10 peratus sahaja yang belum selesai. -SH

PRU13: Pas sahkan pilih Salahuddin ke Johor

SENAI – Pas Johor mengesahkan khabar angin bahawa Naib Presidennya, Salahuddin Ayub bakal menyertai persaingan di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sambil menekankan, ia sebahagian daripada strategi mereka mahu bertapak di selatan Semenanjung.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, idea itu telah dicadangkan oleh beliau kepada pimpinan pusat agar dapat memberi suntikan ke atas kepimpinan negeri memecahkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.

“Memang itu idea saya, kita pilih Salahuddin sebab dia merupakan anak jati Johor dan banyak memberi sumbangan dalam perkembangan politik di negeri ini.

“Malah, dia juga merupakan antara pemimpin tertinggi Pas di peringkat pusat dan dikenali ramai, baik dari kalangan kawan mahupun lawan.

“Tetapi bukan dia saja... kita juga alu-alukan anak kelahiran Johor lain yang juga berada di pusat, misalnya Mazlan Aliman (AJK Pas Pusat),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian Online awal minggu lalu, Salahuddin berkata, beliau akan menjawab teka-teki negeri dan kawasan yang akan ditandinginya akhir bulan ini.

Ketika ditanya sama ada akan keluar dari Kelantan kali ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian ini hanya berkata: "Itu tunggulah. Bila sampai masa, saya akan adakan sidang media untuk menyatakan di mana saya akan bertanding."

Pengumuman itu akan dibuat dalam beberapa minggu lagi.

Salahuddin mengakui beliau secara peribadi sudah memutuskan kerusi yang hendak ditandingi.

Banyak pihak membuat andaian Parlimen akan dibubarkan bulan ini.

Pada pilihan raya umum 2008, beliau yang lahir di Kampung Serkat, Tanjung Piai, mempertahankan kerusi Parlimen Kubang Kerian.

Selain dicalonkan oleh Pas kawasan Kubang Kerian, beliau juga dirisik agar bertanding di bahagian Parlimen Pasir Mas di Kelantan dan Titiwangsa (Wilayah Persekutuan).

Beliau mengekalkan kerusi Naib Presiden Pas pada pemilihan parti Jun lalu.

Dalam responsnya, Mahdfodz juga berkata, strategi berkenaan menunjukkan komitmen dan kesungguhan kepimpinan Pas untuk mengukuhkan kedudukan mereka dan mengambil alih kerajaan negeri.

“Saya percaya Umno sekarang dah mula rasa risau dan tergugat kerana bukan calang-calang pemimpin yang akan bertanding di Johor.

“Kita juga sedang memperkukuhkan barisan kepimpinan dan sedang mencari orang mungkin dari kalangan Perkasa, orang-orang kerajaan, tentera dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Mazlan pula berkata, penyertaan Salahuddin bersama kepimpinan Pas Johor dalam PRU13 merupakan tindakan tepat dan bakal mewujudkan persaingan seimbang antara BN dan Pakatan Rakyat (PR).

“Kita amat mengalu-alukan beliau kerana Salahuddin telah sedia dikenali masyarakat setempat di Johor.

“Jika sebelum ini Johor dikenali sebagai kubu kuat BN tapi bagi saya itu, adalah 20 tahun dahulu kerana sekarang sudah wujud peluang yang seimbang kepada PR,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai penyertaannya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Johor dalam PRU13, beliau menyerahkan perkara itu kepada kepimpinan pusat.

“Sama ada bertanding atau tidak, itu bergantung kepada pimpinan pusat, kita hanya akur,” katanya. -SH

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...