Monday, February 20, 2012

AMK Johor mengutuk tindakan samseng penyokong BN dalam ceramah Anwar

Angkatan Muda Keadilan Negeri Johor (AMK Johor) mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas ala samseng oleh penyokong Barisan Nasional ketika program Ceramah Umum Anwar Ibrahim di Sembrong semalam. Sekumpulan penyokong BN yang bertindak ganas sehingga merosakkan kenderaan rasmi Anwar Ibrahim. Ketua AMK Johor, Mohamad Nazri bin Ismail, juga mengalami kecederaan apabila beliau yang ditarik oleh sekumpulan penyokong BN yang pada ketika beliau cuba menenangkan penyokong BN supaya berhenti dari memukul kenderaan yang dinaiki oleh Anwar Ibrahim. Beliau kemudian ditumbuk di bahagian kepala.
AMK Johor juga melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan pihak polis mengawal keadaan sehinggakan penyokong BN bertindak ganas dan melakukan sesuka hati mereka memukul kenderaan Anwar menggunakan kayu dan batu sehingga menyebabkan pintu sebelah kanan rosak teruk manakala cermin hadapan kenderaan rasmi Anwar pecah dipercayai dihentak menggunakan batu. Tidak cukup dengan itu, penyokong BN bertindak ganas membaling botol air, batu dan mercun ke arah orang ramai yang mendengar ceramah yang disampaikan oleh Anwar. Provokasi melampau penyokong BN berterusan kira-kira 30 minit namun pihak polis masih gagal bertindak terhadap kelompok tersebut.

Jelas tindakan ganas yang dilakukan oleh penyokong BN seolah-olah telah direstui oleh pihak atasannya dan AMK Johor melihat tindakan yang tidak bertamadun itu jelas menunjukkan bahawa UMNO/BN berada dalam keadaan terdesak untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong sehinggakan sanggup melakukan keganasan bagi menghalang rakyat mendengar penjelasan yang diberikan oleh Anwar.

Ketua Cabang Semberong, Yusof bersama Timbalan Ketua AMK Johor, Ezzadin Abdul Rahman telah membuat laporan Polis di Balai Polis Daerah Kluang berhubung dengan tindakan ganas penyokong BN sejurus program Ceramah Umum tersebut selesai.

Kejadian malam tadi sedikit pun tidak melunturkan semangat AMK Johor bahkan kami semakin bersemangat merealisasikan harapan rakyat agar Pakatan Rakyat dapat merampas negeri Johor dari Barisan Nasional.

*Kenyataan media dari AMK Johor.

ISU BERKAITAN : 



http://wartablogger.blogspot.com/2012/02/amk-johor-mengutuk-tindakan-samseng.html

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...