Monday, January 30, 2012

Tak Puas Hati Keputusan Hakim, Peguam Anwar Keluar Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR, 30 JAN : Peguam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertindak keluar dari Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Datuk Zohdi Toha yang memberi kebenaran kepada menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan dua lagi, untuk mendengar permohonan mereka bagi mengetepikan rayuan Anwar berhubung kes qazaf.

Peguam Kamar Ainiah Kamaruzzaman dipetik Malaysiakini berkata, pihaknya tidak dapat menerima keputusan tersebut kerana berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih dahulu dan memutuskannya sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri sebelum mengetepi rayuan.
Post Pic
Beliau bersama-sama tiga lagi peguam, mengemaskan fail-fail mereka selepas tiga hakim mahkamah rayuan memutuskan demikian dan terus keluar daripada mahkamah bersama-sama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokongnya.

"Kami tidak boleh sertai (prosiding), ia terang-terang satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemohon.

"Jadi kami terpaksa untuk keluar. Kami akan mengambil tindakan susulan iaitu menyemak keputusan kehakiman," kata Kamar Ainiah kepada pemberita di luar mahkamah.

Selain Kamar Ainiah, Anwar diwakili oleh Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie Shafie dan Mohamad Burok.

Manakala pemohon diwakili oleh tiga peguam iaitu Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...