Sunday, January 8, 2012

Suara hati Lim Guan Eng: Impian Bangsa Malaysia

8 January 2012 Selepas hampir empat tahun sejak gelombang tsunami politik pada 8 Mac 2008, kita kini berada di ambang Pilihan Raya Umum yang bakal menjadi pilihan raya yang paling penting dalam sejarah Malaysia.

Untuk kali pertama, kita akan bertanding sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat. Untuk kali pertama, kita akan bertanding bukan untuk sekadar menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional tetapi untuk meraih kuasa daripada mereka. Untuk kali pertama, rakyat Malaysia akan mempunyai pilihan alternatif yang bersatu padu, berdaya maju dan terbukti.

Empat tahun lalu, rakyat Malaysia telah mengamanahkan satu peluang yang besar kepada kita. Pakatan Rakyat telah berjaya menguasai lima negeri, dan di Pulau Pinang, Selangor dan Perak, DAP telah diberi amanah untuk mentadbir sebagai rakan dalam kerajaan.Namun begitu, Perak telah kehilangan akibat kudeta atau rampasan kuasa yang tidak bermoral oleh Barisan Nasional pada tahun 2009.

BN telah mengalami kekalahan bersejarah kerana mereka merupakan ejen rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan ekstremisme. BN sudah ketandusan idea dan ideal. BN tidak pernah bertaubat atas janji-janji kosongnya tetapi sebaliknya menjadi lebih sombong dan takbur. Rakyat telah memilih DAP dan PR kerana kita dilihat sebagai ejen perubahan, kesederhanaan dan harapan. Lebih pentingnya, kita juga bersih.

Harapan rakyat sudah ditunaikan

DAP dan PR sudah pun menunaikan harapan rakyat dalam menjadi ejen perubahan, kesederhanaan dan harapan. Walaupun kurang berpengalaman, kita telah menunjukkan bahawa kita boleh mentadbir dengan jauh lebih baik berbanding dengan BN. Sama ada di Pulau Pinang atau Selangor, DAP dan PR telah menujukkan prestasi yang lebih baik dalam tempoh 4 tahun ini berbanding dengan 51 tahun pemerintahan BN. Kita telah menjadikan negeri-negeri PR lebih bersih, hijau dan selamat, dan kita akan menjadikan Malaysia lebih bersih, hijau dan selamat.

Kita harus memenuhi aspirasi rakyat Malaysia, terutamanya aspirasi anak muda yang menginginkan perubahan daripada sistem yang sudah rosak dek rasuah dan undang-undang yang menindas hak asasi manusia. Rakyat Malaysia menginginkan kepimpinan yang berintegriti, kerajaan yang demokratik dan berjiwa rakyat dan yang mendengar rakyat, bekerja untuk rakyat dan memberi harapan kepada rakyat.

Kita telah berjaya dengan mengamalkan kesederhanaan dan menolak ekstremisme, mengamalkan persaudaraan dan bukan kebencian, menghormati satu sama lain sebagai rakyat Malaysia terdahulu dan Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban kemudian. Kesederhanaan bermakna keadilan, kebebasan dan kebenaran. Kesederhanaan adalah jalan ke arah kejayaan untuk merealisasikan Impian Bangsa Malaysia untuk sebuah negara yang bersih dan maju dan yang boleh dinikmati semua.

Bagaimana mahu bersihkan Malaysia?

Dalam membersihkan Malaysia, kita mesti elak daripada mengulangi kesilapan-kesilapan BN. Aset DAP yang paling bernilai merupakan integriti dan daya kita untuk menolak rasuah. Oleh sebab itu, DAP akan mengambil tindakan ke atas mana-mana ahli yang terlibat dalam tindakan-tindakan haram atau rasuah. Kita mencadangkan 6 langkah integriti:

Pertama, parti-parti politik harus diharamkan daripada melibatkan diri dalam perniagaan, yang lazimnya membawa kepada konflik kepentingan. Bagaimana politik boleh bercampur dengan perniagaan, apabila politik itu bertujuan untuk menjaga kepentingan awam manakala tujuan perniagaan adalah untuk keuntungan peribadi? Contoh parti politik yang telah menjadi kaya melalui perniagaan boleh dilihat dalam kes MCA yang sekarang berupaya untuk memberi wang kepada ahli-ahlinya setiap tahun.

Kedua, pengharaman percampuran politik dengan perniagaan harus diikuti dengan kewujudan sistem tender terbuka untuk menghentikan kapitalisme kroni. Sistem tender terbuka akan memastikan kontrak yang tidak adil di mana Penjana Elektrik Bebas (IPP) dan syarikat-syarikat pengendali tol tidak akan mendapat keuntungan luarbiasa sebanyak berpuluhan ribu bilion ringgit sementara 27 juta rakyat dibebankan.

Rakyat Malaysia sudah pun kehilangan “satu dekad yang telah hancur dek korupsi”, di mana wang haram (termasuk wang rasuah) sebanyak RM1,077 bilion telah dibawa keluar dari negara kita dalam tempoh 10 tahun dari 2000 hingga 2009, mengikut unjuran laporan badan pemerhati kewangan Washington Global Financial Integrity (GFI). Skandal RM250 juta ““lembu dan kondo” baru-baru ini di mana wang pinjaman untuk projek penternakan lembu yang telah diberikan kepada syarikat kepunyaan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dua tahun sebelum perjanjian ditandatangani,telah digunakan untuk pembelian kondominium mewah, menjadi bukti bahawa BN tidak akan berubah.

Tidak hairanlah mengapa laporan terbaru Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2011 badan pemerhati rasuah Transparency International (TI) telah menunjukkan bahawa Malaysia telah jatuh kepada tangga ke-60 daripada 183 negara, berbanding tangga ke-37 pada tahun 2003 apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih pucuk pimpinan negara sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya di Pulau Pinang, kita telah dipuji oleh TI kerana mengamalkan sistem tender terbuka.

Ketiga, Akta Maklumat Bebas untuk memastikan ketelusan dan juga pendedahan umum kontrak-kontrak kerajaan.

Keempat, semua penjawat awam yang memegang amanah awam hendaklah mengisytiharkan harta mereka.

Kelima, 125 cadangan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM 2005 hendaklah dilaksanakan tanpa apa-apa syarat, terutama sekali penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). IPCMC ini bertujuan untuk mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa polis. Kegagalan untuk menubuhkan IPCMC hanya menunjukkan ketidak sanggupan Kerajaan BN untuk menangani persepsi negatif awam tentang polis.

Terakhir, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hendaklah dihukum untuk kegagalannya untuk bertindak atau menuntut tindakan daripada pihak berkuasa ke atas rasuah pilihan raya, terutama sekali kegagalannya untuk mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mengenakan had perbelanjaan pilihan raya sebanyak RM200,000 untuk kawasan parlimen dan RM100,000 untuk kawasan dewan undangan negeri.

Untuk merealisasikan Impian Bangsa Malaysia untuk sebuah negara yang maju, kita wajib menolak “negara polis” dan memilih “negara berpolisi” yang memberi tumpuan kepada peningkatan mutu hidup dan pengurangan kos sara hidup rakyat. Polisi-polisi haruslah membawa manfaat kepada rakyat dan bukan menjadikan Malaysia sebuah negara polis.
Kenapa BN harus menghabiskan begitu banyak masa dan usaha untuk mewajarkan kenapa perhimpunan Bersih patut diharamakan, perhimpunan aman tidak boleh dibenarkan berdekatan dengan stesen minyak, tempat beribadat atau tempat umum, yang pada hakikatnya mengharamkan perhimpunan aman? Tidakkah lebih baik masa dan usaha itu digunakan untuk menguruskan mutu hidup yang makin merosot dan kos sara hidup yang makin melambung?

Masalah sebenar setiap individu rakyat Malaysia

Harga daging, sayur-sayuran dan ikan telah naik dalam tempoh satu tahun yang lalu. Susu bayi juga telah naik sebanyak 50%. Komoditi-komoditi asas lain telah naik seperti berikut:

1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58% dalam 18 bulan.
2. Telur:Greg B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang).
3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.
4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).
5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011.
6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).
7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).
8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.
9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm
10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.

Apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan program Anak Emas dengan memberi RM200 kepada setiap anak Pulau Pinang yang baru lahir bermula 1.1.2011, ibu bapa memberitahu saya bahawa RM200 hanya boleh membeli susu selama 3 bulan berbanding dengan 5 bulan pada tahun 2010. Ini hasil daripada kadar inflasi yang telah meningkat 3.2% untuk tempoh Jan-Nov 2011 berbanding dengan 2010. Kadar inflasi hanya telah meningkat sebanyak 0.6% pada tahun 2009 dan 1.7% pada tahun 2010. Pada bulan November 2011, harga makanan telah meningkat 4.7%, pengangkutan 4.6%, restoran dan hotel 5.8%, alkohol dan tembakau 5%.

Inflasi yang meningkat merupakan masalah serius kerana tahap hutang isi rumah yang tinggi. 60 peratus golongan bawahan dalam masyarakat kita mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan manakala 40 peratus yang terbawah terpaksa hidup dengan kurang daripada RM1,500 sebulan.Yang lebih merunsingkan, Laporan Tahunan Bank Negara 2010 telah mendedahkan bahawa hutang isi rumah Malaysia pada akhir 2010 berada di tahap RM581 bilion atau pun 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lantas “menobatkan” Malaysia sebagai negara dengan hutang isi rumah yang tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

Tambahan pula, nisbah bayaran hutang isi rumah Malaysia berada di tahap 47.8 peratus pada tahun 2010, atau dalam erti kata lain, setengah daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk pembayaran hutang. Biasanya, institusi kewangan tidak akan memberi pinjaman jika jumlah bayaran hutang melebihi satu pertiga pendapatan. Dengan kata lain, Malaysia kian menjadi negara penghutang.

Rakyat Malaysia seolah-olah terperangkap dengan kadar kenaikan pendapatan yang terbantut selama 10 tahun yang lepas. Ini telah mengakibatkan jurang pendapatan yang luas di mana jumlah pendapatan 40 peratus golongan bahawan masyarakat kita hanya merangkumi 14.3 peratus daripada jumlah pendapatan negara manakala golongan 20 peratus atasan pula mengaut 50 peratus daripada jumlah pendapatan.

Lebih teruk lagi, hutang persekutuan sudah mencecah RM456 bilion pada akhir tahun lepas, sementara nisbah hutang-kepada-KDNK pula sudah hampir menyentuh siling hutang negara iaitu 55%. Sebaliknya, di Pulau Pinang kita telah mengurangkan hutang sebanyak 95% ataupun RM600 juta daripada RM630 juta pada 8.3.2008 kepada RM30 juta pada akhir Oktober 2011. Ini merupakan pengurangan hutang yang paling ketara dalam sejarah mana-mana negeri Malaysia.

Sebab itulah kita perlukan solidariti ekonomi

Oleh itu, sudah tiba masanya untuk memperkenalkan konsep “solidariti ekonomi”. Konsep ini bermaksud solidariti antara yang kaya dengan yang miskin, antara bandar dengan luar bandar, antara yang kuat dengan yang lemah. Hasrat yang ingin dicapai adalah satu masyarakat yang memperkasakan rakyatnya, terutama sekali 60 peratus golongan bawahan yang memerlukan pertolongan.

Lebih daripada itu, kita harus memastikan solidariti ekonomi akan dicapai melalui:

1. Pelaksanaan gaji minima.
2. Menghubungkan terus kadar kenaikan gaji minima dengan kadar inflasi.
3. Memupuk penyertaan tenaga kerja wanita.
4. Mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
5. Melonjakkan ekonomi melalui teknologi dan automasi.
6. Membanteras korupsi, rasuah dan ketirisan melalui pentadbiran berteraskan 7. prinsip CAT (Cekap, Akauntabel, Telus).
8. Meluhurkan undang-undang; dan Mempertahankan hak-hak sah pekerja.

Kita juga harus menangani kelemahan-kelemahan dalam sistem sedia ada seperti rasuah, kapitalisme kroni dan monopoli. Sebagaimana keadaannya sekarang, Malaysia merupakan satu-satunya negara pengeluar beras yang telah menswastakan pengeluaran beras, dan lebih teruk lagi telah mewujudkan monopoli di bawah hanya satu syarikat kapitalis kroni. Ekoran daripada itu, Thailand dan Indonesia merupakan negara mampu diri manakala kita bergantung kepada beras import untuk satu petiga penggunaan kita. Dan akibat monopoli beras yang wujud, kita terpaksa membayar lebih untuk beras import berbanding dengan Singapura.

Satu lagi contoh kapitalisme kroni adalah subsidi gas sebanyak RM20 bilion yang diberi kepada syarikat-syarikat Penjana Tenaga Elektrik Bebas (IPP) dan juga konsesi tol lebuhraya yang berat sebelah dan membenarkan pengendali tol untuk meningkatkan kadar tol secara berkala sepanjang tempoh konsesi yang panjang, walaupunkebanyakan daripada mereka sudah pun mengaut keuntungan yang jauh melebihi pelaburan asal.

Setakat 31.12.2010, pengendali tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan NSE tetapi sudah menerima RM24,266 juta dalam kutipan tol dan pampasan kerajaan. Dalam kata lain, pengendali tol NSE telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM18,321 juta setakat 31.12.2010 melebihi pelaburan asalnya.

Adakah masih perlu pengendali tol NSE untuk meneruskan kutipan tol daripada rakyat, apatah lagi menaikkan kadar tol? Sepatutnya, untuk kepentingan rakyat, kutipan tol NSE harus dihentikan serta merta kerana pulangannya sudah pun 3 kali ganda melebihi pelaburan asal. Ceritanya sama untuk Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip RM1,859 juta berbanding pelaburan asal RM944 juta, iaitu keuntungan sebanyak RM924 juta.

Sudah tiba masanya kita menggantikan ekonomi kapitalisme kroni dengan “Ekonomi Berjiwa Rakyat” yang akan menumpu kepada peningkatan pendapatan boleh guna dan meningkatkan perkara-perkara asas seperti kemahiran, teknologi dan produktiviti.

Kemakmuran ekonomi

Lebih 40 tahun dahulu, Malaysia dianggap sebagai negara yang kaya, apatah lagi dengan limpah kurnia dalam bentuk sumber-sumber asli. Pada masa itu, KDNK per kapita kita adalah USD350 sementara Korea Selatan hanya di tahap USD130. Hari ini, KDNK per kapita Korea Selatan sudah mencecah USD20,000 manakala kita jauh ketinggalan di tahap USD7,000. 40 tahun dahulu, rakyat Malaysia tiga kali ganda lebih kaya daripada rakyat Korea Selatan. Hari ini, mereka tiga kali ganda lebih kaya daripada kita.

Ini telah berlaku kerana modal insan kita tidak dihargai dan digunakan dengan maksima, kebebasan peluang tidak digalakkan dan suatu sistem telah diwujudkan di mana ganjaran diberi berdasarkan kenalan dan bukan pengetahuan. Daya usaha dan kecemerlangan telah digantikan oleh pengaruh politik.

Justeru, kita harus membina semula ekonomi kita untuk mencapai kemakmuran berdasarkan inovasi dan keupayaan untuk membentuk dan menyesuaikan diri dengan ekosistem yang baru dan relevan. Sebagai contoh, kita sekarang hidup dalam zaman internet. Untuk mencapai kemakmuran ekonomi, kita haruslah membina industri-industri yang berkaitan dengan internet dan juga kemahiran yang relevan kepada industri-industri ini.

Kita harus juga memupuk generasi usahawan yang disemai dengan semangat dan kepakaran. Namun begitu, keusahawanan mestilah dipacu oleh inovasi, kreativiti dan dorongan sektor swasta. Di sini, kita percaya bahawa tugas kerajaan adalah untuk mengurangkan penglibatan dalam sektor perniagaan. Cukup sekadar menyemai benih asas, perkembangan seterusnya haruslah diambil alih oleh sektor swasta.

Peranan kerajaan dalam merangsangkan kemakmuran ekonomi adalah untuk melabur dalam masa depan dengan tumpuan khas kepada dasar-dasar sosial seperti penyediaan prasarana awam, perumahan, pendidikan, pengangkutan awam dan perubatan. Sebagai contoh, pengangkutan awam yang lebih efisyen akan mengurangkan keperluan untuk membeli kereta dan dengan itu wang pinjaman kereta itu akan menjadi tambahan kepada pendapatan boleh guna. Hasilnya serupa jika kerajaan memainkan peranan yang positif dalam penyediaan perumahan mampu milik, subsidi pendidikan dan juga dalam perubatan.

Di Pulau Pinang, kita telah memulakan program-program sosial yang telah mengurangkan beban rakyat. Kita memberi RM100 setahun kepada warga emas, OKU dan ibu tunggal, serta bayaran “one-off” RM1,000 kepada waris apabila mereka meninggal dunia. Kita juga memberi RM1,000 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan. Tambahan pula, kita juga memberi RM200 untuk setiap bayi baru lahir di Pulau Pinang. Bagi membantu rakyat untuk menampung kos menyara anak, kita juga memberi RM100 kepada pelajar-pelajar yang memasuki Tahun 1 dan 4 serta Tingkatan 1 dan 4.

Selain daripada bantuan kewangan kepada golongan-golongan tertentu, kita juga telah menubuhkan Pusat Dialisis CAT di Balik Pulau yang memberi rawatan dialisis yang disubsidi. Tambahan pula,kita juga menyediakan perkhidmatan bas percuma di dalam kota George Town serta untuk pekerja-pekerja yang berulang-alik dari Seberang Jaya ke Bayan Lepas. Lebih signifikannya, kita juga telah membasmi kemiskinan tegar setahun selepas mengambil alih pucuk pimpinan. Sekarang, kita berhasrat untuk membasmi kemiskinan menjelang 2015. Jika kita dapat melakukannya di Pulau Pinang, kita juga boleh melakukannya untuk seluruh Malaysia.

Tiga kumpulan pengundi yang harus dimenangi dalam PRU13

Untuk membawa kejayaan kita di negeri-negeri PR kepada seluruh Malaysia, kita harus meyakinkan rakyat untuk menaruh kepercayaan sekali lagi kepada DAP dan Pakatan Rakyat.

Tiga kumpulan pengundi akan menjadi penentu dalam pilihan raya yang akan datang – pengundi hantu, pengundi Malaysia Timur dan pengundi muda. Sekiranya kita tidak menangani isu pengundi hantu dan memastikan pilihan raya yang bersih, kita akan kalah sebelum kita bermula.

Untuk Sabah dan Sarawak, kita tidak boleh hanya memenangi 2 daripada 56 kerusi Parlimen seperti dalam pilihan raya 2008. Ini merupakan handikap yang terlalu besar kepada BN. Kita harus menang sekurang-kurangnya 1/3 atau 18 kerusi Parlimen. DAP boleh membantu dengan memenangi sebahagian besar daripada 18 kerusi itu. Oleh kerana kita lebih kuat di Sarawak berbanding Sabah, DAP Sarawak akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mencapai Putrajaya dalam PRU akan datang. Walaupun Johor adalah negeri barisan hadapan, Sarawak boleh menjadikan Ubah itu satu realiti.

DAP Sarawak sudah pun menerima cabaran yang dilontarkan saya untuk menerajui kempen di Malaysia Timur. Pengerusi DAP Sarawak Sdr Wong Ho Leng akan membentangkan laporan khas untuk membantu PR mencapai 18 kerusi dalam PRU yang akan datang.

Mengikut statistik, 72% ataupun hampir satu perempat daripada semua rakyat Malaysia berada di bawah umur 40 tahun. Ditambah pula dengan hakikat bahawa jumlah pengundi baru yang dijangkakan untuk PRU ke-13 akan mencecah 2 juta orang – jumlah yang paling besar dalam sejarah. Kita harus memenangi hati pengundi muda yang merupakan sebahagian besar 2 juta pengundi baru itu.

Kita harus juga memperkasakan wanita. PR memberi wawasan kepada wanita dengan menghormati maruah mereka, tidak seperti Shahrizat yang menggulung lengan bajunya untuk mempertahankan syarikat keluarganya dalam skandal “lembu dan kondo” tetapi tidak membuat apa-apa untuk pencabulan wanita Penan.

Membina institusi untuk melindungi rakyat

Kita menawarkan Impian Bangsa Malaysia. Impian Bangsa Malaysia adalah sebuah negara yang bersifat kemalaysiaan, di mana kita boleh berkongsi kekayaan negara, di mana terdapat peluang saksama untuk mencapai kemakmuran, di mana ganjaran diberi untuk mereka yang bekerja keras, dan di mana kemakmuran ekonomi dan martabat diri adalah dijamin. Untuk mencapai impian ini, kita harus membina 5 institusi berikut.

Pertama, kita mesti Utamakan Rakyat Malaysia. Ini adalah pertikaian besar antara DAP dan BN yang rasis. Media yang dikawal BN terus menggambarkan DAP sebagai rasis. Namun begitu, saya telah memenangi saman fitnah ke atas lidah rasmi UMNO iaitu Utusan Malaysia. Mereka telah diarahkan untuk membayar saya RM200,000 selepas mereka memfitnahkan saya sebagai anti-Melayu. Kita harus melawan fitnah dengan fakta dan rekod prestasi kita akan menunjukkan bahawa kita melayan setiap rakyat Malaysia, sama ada India, Cina, Melayu, Kadazan atau Iban sebagai adik beradik.

Kedua, Rakyat Malaysia layak untuk menikmati hak asasi dan masyarakat madani. Kita menyokong Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan dan juga kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, di samping kebebasan beragama dan hak-hak masyarakat lain. Di Pulau Pinang, kita telah meningkatkan peruntukan hal-ehwal Agama Islam daripada RM12.5 juta pada zaman BN kepada RM63 juta dan juga mewujudkan portfolio hal-ehwal agama bukan Islam dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Ketiga, haruslah ada peluang saksama untuk semua di mana pengetahuan adalah lebih penting daripada kenalan. Kita percaya bahawa setiap rakyat Malaysia berupaya dan berdaya maju dan warna kulit tidak mentukan keupayaan.

Keempat, undang-undang harus diluhurkan di mana rakyat akan dijaga oleh institusi dan bukan pemimpin.

Kelima, kita harus membina integriti dan masyarakat bandar yang pintar untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan ekonomi berdasarkan pengetahuan.

Dalam membina institusi, kita haruslah bebas daripada ketakutan. Thomas Jefferson pernah berkata bahawa apabila rakyat takut kepada kerajaan, itu dipanggil kezaliman; Apabila Kerajaan takut kepada rakyat, itu dipanggil kebebasan. Kerajaan haruslah menghormati rakyat dengan memberi kepercayaan dan menaruh harapan ke atas kebijakan dan kepintaran mereka.

Sebelum saya mengakhiri saya ingin menjelaskan keperluan untuk meminda perlembagaan parti untuk melanjutkan pemilihan parti selama 6 bulan untuk membolehkan Kongres Kebangsaan Parti diadakan di bulan Disember dan bukan Ogos tahun ini.

Menteri Besar Selangor telah pun mengulangi komitmennya untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Selangor selepas Jun atau Julai tahun ini.Adalah menjadi tanggungjawab dan keutamaan bagi kita untuk mengekalkan dan memenangi Selangor untuk PR. Oleh kerana pindaan ini bermakna hanya perbezaan 4 bulan, Jawatankuasa Tertinggi Pusat telah sebulat suara menerima cadangan untuk mengadakan Kongres Kebangsaan Parti pada bulan Disember 2012 supaya kita tidak akan kehilangan fokus untuk mengekalkan Selangor.

DAP tetap bersama Anwar

Saya ingin juga menegaskan sekali lagi komitmen dan semangat kesetiakawanan parti kita dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang. Kita berdiri teguh di belakangnya sebagai Perdana Menteri alternatif dan walaubagaimanapun keputusan perbicaraan esok, kita akan terus menyokongnya. Tumpuan harus diberi bukan kepada Anwar Ibrahim tetapi kepada Pilihan Raya Umum yang akan datang. Kita harapkan beliau berjaya esok dan semoga beliau dapat mengecapi Impian Bangsa Malaysia bersama kita.

Empat tahun dahulu, kita telah diamanahkan dengan peluang untuk membuktikan daya kita untuk melaksanakan perubahan. Dalam tempoh masa itu, kita telah menunjukkan kebolehan kita. Kita telah menunjukkan bahawa melalui agenda solidariti ekonomi dan pendemokrasian, kita boleh membawa perubahan yang ketara. Kini, kita ingin membawa agenda ini ke peringkat kebangsaan.

Parti kita telah tabah menunggu 46 tahun untuk saat ini. Marilah kita berdiri bersama, bersatu dalam kepelbagaian dan komited kepada cita-cita bersama.Sehubungan dengan itu, parti kita harus memberi tumpuan bukan sahaja kepada pengukuhan organisasi, penjanaan dana yang agresif untuk memenuhi sasaran pilihan raya dan penyebaran maklumat yang komprehensif, tetapi kita juga harus mengeratkan hubungan perpaduan dalam parti.

Selama 46 tahun yang lalu, DAP telah memilih jalan yang penuh keperitan untuk merealisasikan impian kita untuk negara Malaysia yang bebas, adil dan demokratik. Pengorbanan pemimpin-pemimpin kita adalah konsisten dengan ciri-ciri keberanian kita sebagai parti. Kita berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin yang terpaksa mengorban banyak.

Kita memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kita tidak akan sekali-kali menjual martabat kita kepada BN. Dalam usaha untuk merealisasikan Impian Bangsa Malaysia kita tidak mahukan kemenangan berdasarkan kekuatan tetapi kemenangan berdasarkan kebenaran.

Marilah kita mengecapi Impian Bangsa Malaysia!

Disesuaikan daripada Ucapan Pembukaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Persidangan Kebangsaan DAP di Shah Alam, Selangor, pada 8 Januari 2011.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...